Total Pageviews

Thursday, November 1, 2012

Riang-riang Yang Riang



Perjalanan ke HUKM dengan komuter, sendirian. Di pertengahan jalan, rasa loya. Barangkali kesan membaca dalam tren. Ada orang tidak boleh membaca waktu kenderaan sedang bergerak. Mungkin sudah berjangkit.

Tren berhenti agak lama juga di separuh jalan. Nampak dua ekor gagak sedang melompat-lompat di landasan yang berbatu kerikil. Mematuk-matuk, kemudian mencangak-cangak awas, saling menyuapi! Laki bini agaknya.

Pemandu teksi, lelaki Cina pertengahan umur, mengeluh tentang panasnya cuaca dan hujan yang tiba-tiba.

"Semua tempat begitu," kata saya sambil kami menampar-nampar nyamuk yang licik menyelinap ke dalam teksi waktu pemandunya membuka sedikit tingkap ketika menunggu penumpang.

Selesai mengambil nombor, terus turun ke kafe. Ada guru muda duduk di hadapan meja. Dari Bentong, Pahang menaiki bas seawal jam tujuh pagi. Rupa-rupanya jam dua petang baru gilirannya mengambil darah. Tidak saya tanya sakitnya apa sebab nampak sihat sejahtera. Baru setahun berkahwin dan suaminya guru di Jempol, lulusan J-Kof IPG Kampus Raja Melewar!

Ada seorang anak kecil juga, duduk di seberang meja, barangkali dalam usia delapan atau sembilan tahun. Perempuan. Dia bertopi. Namun jelas, kepalanya botak. Juga memakai penutup mulut dan hidung. Mungkin dia menjalani kimoterapi di sini. Saya mendengar dia riang menyanyi! Telinga saya tidak dapat mengesan lagu apa yang dinyanyi, tetapi saya kagum sekali. Mudahnya anak kecil menangani kesengsaraan! Ajaibnya kuasa-Mu, Ya Rabb!

Jam 11.45 pagi, saya masuk ke Bilik 2. Tiada lagi doktor dari Iran, tetapi seorang doktor muda, perempuan Melayu. Sesi bertanya-tanya, sesi mengulang-ulang jawab. Saya sebut apa yang profesor di Klinik Surgeri cadangkan. Buat MRI. Mula-mula doktor sudah mahu menempah tarikh, tetapi kemudian tidak jadi.

“Sekejap lagi ada apoinmen dengan klinik audio, kan? Saya akan minta mereka buat ujian audio yang lebih terperinci. Saya akan tambah ubat. Lagi dua bulan, kita tengok bagaimana...”

Saya ke klinik audio. Dibawa masuk ke bilik yang pengap bunyi dan diminta baring. Dicuci hujung dahi dan belakang telinga. Dilekapkan entah apa, macam benda bulat-bulat, tapi rasa dingin.

“Kalau boleh, puan relaks, kosongkan fikiran. Lebih tepat bacaan kalau puan tidur,” dan orang itu meletakkan alat di kedua-dua telinga. Mula-mula di telinga kanan, mengerutup bunyinya. Kemudian di kiri pula. Sesi audio ini lebih kurang 15-20 minit. Mana boleh tidur dengan bunyi macam orang makan mamee yang rangup! Saya kawal minda dengan menyebut nama-Nya.

Selepas itu, saya ke bilik Cik Lim Bee Ying. Dia mencadangkan saya mendengar muzik jika ada gangguan ketika mahu tidur. Kawal kesedihan dan kemarahan.

Saya pernah gunakan kaedah mendengar itu tetapi bukan muzik. Saya memasang radio IKIM sehingga pagi. Dengar orang mengaji, dapat juga pahala!

Dalam teksi sekali lagi. Kali ini pemandunya pak cik Melayu, berkopiah. Dia bercerita tentang tabiat pelupa yang mula datang kepadanya sehingga dimarahi penumpang pagi tadi.

"Mudah-mudahan janganlah saya jadi lupa pada kematian. Takut saya kalau Allah ambil nyawa kita dalam keadaan lupa," dia mentazkirah saya dan dirinya juga. Kami bicara tentang politik semasa.

Waktu menunggu tren untuk balik di stesen BTS, langit meraung. Sampai di Serdang, dia menangis pula. Lebat. Di cermin, tempias hujan seperti beribu ekor berudu yang kepalanya berebut-rebut meluru ke bawah, menyerong ke arah belakang selaras angin yang terhasil daripada kelajuan gerabak.

Gerabak kosong, tidak macam selalu. Budak-budak sekolah ramai ponteng agaknya, menjelang cuti semester mereka yang panjang.

Di Seremban, cuaca tenang tapi buminya basah. Mengelak-elak lopak, saya menuju ke kereta.

Saya sangat riang hari ini seperti seekor cicada yang berbunyi. Dapat pengalaman baharu dan cerita-cerita baharu.Perjalanan gembira awal pagi, Allah memberikan laluan mudah sehingga waktu kembali. Terima kasih Allah!