Total Pageviews

Wednesday, November 7, 2012

Nyanyi Sunyi



Seorang penulis dan kartunis telah dijemput pulang ke negeri abadi dalam lena tidurnya.

Seorang rakan penulis kemudiannya menulis di laman maya, welcome to the era when one by one of your friends starts to die of natural death.

Dalam usia yang hanya tiga tahun lagi mahu memanjat tangga lima puluh, ngeri kepada “rasa” mati itu selalu menjagakan lena. Kadang-kadang kita bangun terduduk apabila membayangkan gelap lubang sempit tempat kita bakal berada. Meraup wajah dan berdoa, “Ya Rabb, lapangkanlah pusara kami, pusara ibu bapa kami dan orang-orang kesayangan kami dengan cahaya-Mu!”

Kehidupan dan kemelutnya mendidik kita untuk membangunkan jiwa. Benarlah kata-kata, kita selamanya warga akhirat. Apa sahaja yang kita buru di dunia ini hanyalah suatu kesementaraan. Maka perbetulkanlah niat. Semoga niat yang putih akan membawa kita ke jalan yang putih jua.

Jika ada hitam dan kelabu kehidupan lalu, buangkan dia ke dalam tong sampah. Jangan dikitar semula!

Apa yang paling menakutkan saya selaku seorang anak?

Keberangkatan ayah telah menghilangkan separuh jiwa. Bertahun-tahun saya mencari kekuatan untuk mengingatkan diri bahawa ayah telah tiada. Selama dua belas tahun ini, saya tidak pernah lupa mendoakan ayah di dunia sana. Wajah ayah masih di mata. Batuk dan dehem, alunan lagu “Selimut Putih” dan takbirnya, masih di telinga saya. Paling saya ingat, riak wajah ayah dan sipu senyumnya tatkala saya menyebut, “terima kasih sebab garang mengajar saya mengaji. Kalau tidak, sampai tua saya tidak kenal Al-Quran!”

Garangnya ayah dengan rotan di sisi, telah membuka jalan dan peluang kepada saya menyedekahkan bacaan untuknya di dunia sana.

Emak bakal tujuh puluh lima tahun hadapan. Tubuh kecilnya masih kelihatan kuat. Membelek-belek kedut di muka emak, saya masih jelas mengingati wajah muda emak yang cantik bersih. Sehingga sudah setua ini pun, saya masih mengepung-ngepung emak daripada lelaki yang mahu menyuntingnya. Emak yang tidak mahu, bukan saya yang sengaja cari pasal!

Baru-baru ini, waktu mahu berangkat pulang, saya bergurau. “Mak jangan mati dulu. Tunggu Yang cukup duit dan kita pergi ke Mekah sama-sama...”

Emak ketawa macam biasa. “Oh, senanglah kalau kita boleh tulis takdir kita sendiri,” jawab emak.

Waktu saya membaca doa perjalanan, emak pun ikut mengangkat tangan. Melambai-lambainya semakin jauh dan jauh, saya tahu emak sunyi. Sunyi yang tidak seorang pun akan mengerti. Sunyi yang saya sedang dan akan menghadapi. Sunyi yang sakit!

Tetapi demikianlah hukum kehidupan. Anak yang wujud dalam rahim kita, yang makan apa yang kita makan, yang rasa apa yang kita rasa; kita lahirkan dan kita bersamanya sehingga ke suatu saat. Masa dan keadaan akan mengambil dia dari sisi kita. Dia akan punya cinta hati, berkahwin dan membina kehidupan yang lain.

Kita masih di situ. Menanti. Dan sunyi.

Syukurlah, sebab ada sedikit beza.

Anak-anak haiwan apabila sudah pergi, mereka tidak akan kembali ke sisi ibu bapa sepanjang hayat mereka. Paling kasihan, anak-anak penyu yang merangkak-rangkak macam ribuan ulat itu. Baru lahir, terpaksa berdikari di laut luas dan ganas. Itulah pertama dan terakhir kali, ibunya melihat. Kenal pun tidak, sebab banyak sangat!

Tetapi anak manusia, sekali-sekala mereka akan kembali berziarah. Tidak jauh seluang melaut. Apatah lagi kalau yang jenis gembala kerbau.

Kalau kita sudah berbantalkan tanah pun, setahun sekali mereka akan datang juga!

No comments: