Total Pageviews

Monday, November 12, 2012

Bulan Bergantungan Di Beranda Marry Lou



Bulan-bulan bergantungan. Mengepung beranda dan keliling rumah, menganjur hingga ke sisi jalan raya.

“Malam ini tidak perlu memasang lampu. Rumah emak sudah terang-benderang,” kata Lupert melaporkan kepada adiknya, Lisabeth.

Emak Lupert yang sudah tua, Marry Lou, sangat teruja. Memang Marry Lou sejak muda, sukakan kemeriahan. Sukakan terang-benderang. Sukakan lampu, matahari, bulan dan bintang.

Entah bagaimana pula, pagi itu rumah Marry Lou didatangi sekumpulan tiga puluh lima askar komando yang menjalani latihan berjalan kaki merentas tiga negeri.

“Itu,” tunjuk lelaki yang mengetuai rombongan, “di belakang rumah mak cik, kami lihat ada kandang kambing yang sudah tidak digunakan. Kalau mak cik benarkan, kami mahu cuci dan tumpang bermalam dua tiga hari”.

Mereka berbual-bual. Marry Lou yang peramah menyambut kehadiran anak-anak komando yang perkasa. Askar-askar itu menjerit tatkala Marry Lou menyebut nama anak lelaki bongsunya yang pernah berkhidmat sebagai komando.

“Hei kawan-kawan. Rupa-rupanya Tuhan sedang menunjuk jalan. Ini rumah Lambert. Ini emaknya Lambert. Aduh, kami sangat gembira, mak cik!”

Wajah mereka riang. Kawan mereka si Lambert sudah lama tidak berjumpa. Mereka menghubungi Lambert yang duduknya agak jauh. Lambert berjanji akan cuba pulang walaupun urusannya sangat banyak dan penting. Lambert, lelaki kacak itu sudah menjadi masyarakat bulan. Dia tidak lagi menjelajah belantara, atau menjahit daun-daun untuk menutup bahagian sulit tubuhnya. Dia juga tidak lagi makan monyet yang dibakar atau ular panggang. Lambert sudah berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Malam itu, orang-orang bulan pun datang. Hujan juga tetapi Marry Lou berdoa kepada Tuhan agar dalam sejam dua itu, langit tidak tumpah airnya. Mujur Tuhan mendengar. Hujan berhenti. Ramai orang datang, duduk-duduk di kawasan yang telah dibersihkan sejak siang oleh orang yang entah datang dari mana. Hadirin tidak tahu bahawa di sebalik semak itu ada tiga puluh lima askar komando sedang bersembunyi dan melebarkan cuping.

“Hebatnya. Siapa melawan. Ada komando yang berkawal untuk kita,” kata Lupert bangga. Anak sulung Marry Lou itu bekas perisik tetapi sudah lama berhenti kerja dan sudah punya pekerjaan baharu.

Lambert yang balik bertemu kawan-kawannya, terpaksa balik juga lewat pagi. Dia bukan komando lagi dan mesti bekerja keras memandu lori untuk menanggung keluarganya.

Lisabeth tidak mampu pulang. Dia ada urusan. Duduknya juga jauh melangkaui beberapa negeri. Kakaknya, Lulu dan kawan-kawan yang dapat pulang melihat bulan bergantungan.

Perkampungan yang kecil itu, semakin sepi. Sejak tiga hari lalu sejak bulan-bulan bergantungan sekeliling beranda, orang-orang tidak mahu lalu. Askar komando itu pula hanya singgah dua tiga hari sebelum meneruskan perjalanan. Mereka tidak kisahkan cahaya bulan sebab mereka sudah biasa berjalan dalam kegelapan di hutan belantara.

“Orang-orang kampung takut mata mereka silau. Cahaya bulan sangat kuat,” gurau Marry Lou. Orang-orang yang memenuhi beranda ketawa lucu. Bagi mereka, wanita tua itu sangat berani. Ini perkampungan masyarakat matahari. Mereka pemuja tegar matahari. Mereka bencikan bulan, apa lagi bulan-bulan yang bergantungan. Hanya ada sebuah rumah, selain rumah Marry Lou dan anaknya, yang sukakan cahaya bulan.

Seminggu itu orang-orang matahari sangat marah dan kecewa. Namun mereka serba salah juga. Marry Lou dan anaknya Lupert sangat berjasa. Mereka ringan tulang. Mereka juga jenis yang berfikiran terbuka. Para penagih dadah atau budak-budak liar tidak pernah mereka hina. Oleh sebab itu rumah mereka tidak pernah kecurian apa-apa. Budak-budak itu dinasihati baik-baik dan budak-budak itu berjanji akan berubah perlahan-lahan. Tetapi masyarakat jugalah yang membawa mereka kembali ke dunia asal yang hitam. Masyarakat memandang sinis penuh benci, menutup peluang seolah-olah mereka tidak boleh menjejak syurga.

“Kita jangan begitu. Kita tidak tahu hidayah itu akan diberi kepada siapa,” nasihat Marry Lou kepada anak-anaknya.

Semalam Lisabeth menelefon ibunya.

“Bulan-bulan masih bergantungan tetapi hanya di keliling beranda. Emak masih tidak perlukan lampu,” beritahu Marry Lou.

“Orang-orang itu?” tanya Lisabeth.

“Sudah ada yang lalu di hadapan rumah kita. Tetapi tatkala melihat bulan yang bergantungan, mereka memaling wajah. Dan ada seorang yang terbabas sebab memaling wajah itu,” kata Marry Lou, ketawa seperti biasa. Dia seorang yang suka ketawa, itu sebabnya dia selalu sihat.

“Teh dan kopi yang biasa emak letakkan di meja simen depan, tidak terusik. Masyarakat matahari masih merajuk. Tetapi jangkaan emak tidak lama. Mereka mesti rindukan minuman dan makanan yang emak buat,” kata Mary Lou lagi.

“Tidak mengapa. Emak siapkan jawapan kalau mereka bertanya. Itu tanah ayah. Itu juga rumah ayah. Dunia ini Tuhan yang punya. Bukan kita punya, atau masyarakat matahari,” Lisabeth memberi sokongan. Dia semacam nampak emaknya mengangguk di sebelah sana.

Lisabeth tahu ayahnya, Socratus, yang telah lama meninggal dunia itu, juga merestui bulan-bulan yang bergantungan di keliling beranda rumahnya. Socratus dan Marry Lou yang berasal daripada kumpulan matahari, telah lama meninggalkan kumpulannya. Tetapi mereka tidak pernah membenci masyarakat matahari. Tiga menantu lelakinya juga masih berada dalam masyarakat itu.

Selagi bulan-bulan bergantungan di keliling beranda rumah, Marry Lou tidak perlu membayar bil elektrik yang tinggi.

Dia tidak perlukan lampu.

No comments: