Total Pageviews

Monday, October 22, 2012

Setiakawan Penulis 1Malaysia Dan Rezeki Tidak Terduga



Tengah hari Sabtu, Adib Syukri melabuhkan kereta di hadapan pagar rumah. Dari dalam kereta, ibunya Puan Mahaya Mohd Yassin dan Masliyah, mahasiswa UiTM Melaka, menunggu saya dan anak mengunci pintu rumah dan pagar.

Jalan ke ibu kota, tidak begitu sesak sehingga terpaksa menunggu lama. Cuma laluan ke Shah Alam kenderaannya saling membuntuti. Ada perlawanan akhir bola sepak antara The Red Warrior dan ATM.

Sepanjang perlawanan malam itu, adik mendapat liputan terkini daripada Daddynya. Orang sibuk menonton Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan, dua orang itu sibuk berbalas-balas mesej.

Mahu buat bagaimana, anak itulah teman berbual tentang bola dengan Daddynya. Kalau adik itu lelaki, mungkin dia sudah bersama Daddynya menonton bola. Saya tidak minat, malahan pelik sekali mengapa bola sebiji itu perlu direbut sehinggakan bergaduh-gaduh di dalam dan luar padang!

Ada lelucon juga apabila ATM kalah.

“Semua orang tidak boleh keluarkan duit di mesin ATM esok! ATM sudah kalah dan mesinnya berkabung!”

Sampai ke Hotel Midah, saya menyapa Dato' Ketua 1 LEPAS dan bendaharinya.

“Maaf, Dato'. Kali ini saya mewakili Negeri Sembilan,” gurau saya. Setelah bertanya khabar persatuan saya yang berpusat di Kuala Kangsar itu, kami naik lif ke tingkat tujuh belas.

Saya sebilik dengan adik dan seorang mak cik yang menemani suaminya dari Karyawan. Saya terus bertanya, “dari Perak?” apabila mendengar loghat negeri saya itu yang dituturkan mak cik.

Kami kemudiannya menyedari teman sebilik kami itu asyik bercerita tentang Mekah dan Madinah sepanjang waktu. Bangun tidur sehinggalah ketika kepala sudah di atas bantal.

“Lihat adik. Bagaimana ajaibnya rasa indah yang Allah bagi dalam hati orang yang pernah menjadi tetamu-Nya. Walaupun sudah setahun makcik itu mengunjungi Mekah, hatinya masih rindu...”

Saya katakan begitu sebab adik cukup susah hati kalau saya lama di kamar mandi dan dia terpaksa mendengar cerita tanpa henti “makcik Mekah” itu.

Kalau adik minum air mineral, mak cik akan buka cerita tentang air zam-zam. Kalau saya menarik selimut untuk menahan diri daripada sejuk pendingin hawa, mak cik akan menyebut tentang cuaca Mekah dan Madinah.

Malahan kalau tiba-tiba adik menguap pun, mak cik akan bercerita tentang peristiwa orang Arab yang menguap di Mekah!

Ada satu ketika, saya pura-pura tidur dan adik sedang sibuk mengisi permohonan penerapan ijazahnya atas talian. Saya mendengar mak cik balik dan bercerita tentang tong sampah di Mekah. Saya pasti mesti dia melihat adik membuang plastik coklatnya ke dalam tong sampah!

“Adik tahu ibu pura-pura tidur. Nampak bergerak-gerak selimut. Ibu mesti sedang tahan ketawa. Adik tanya jumlah gaji ibu pun, ibu pura-pura berdengkur. Adik terpaksa angguk-angguk dan sengih-sengih masa mak cik cerita tentang tong sampah sebab adik kena fokus mengisi borang!”

Tetapi mak cik itu sangat baik hati wataknya. Orang yang suka bercerita seperti itu biasanya memang berhati mulia. Dia berpesan kepada adik, “jaga emak baik-baik”. Malahan mengingatkan saya berkali-kali “kalau balik ke Perak, telefon dan singgah rumah kak ya”.

Hari pertama jam tiga setengah petang, ada bicara setiakawan inter negara melibatkan Republik Indonesia, Malaysia, Wilayah Pattani juga. Sepatutnya ada wakil dari Brunei dan Singapura. Yang dari Brunei itu kawan sekuliah saya waktu di Jabatan Penulisan Kreatif Deskriptif UM. Saya menghubunginya mengapa dia tidak hadir sedangkan sebelum itu dia ada di Kuala Lumpur untuk acara Baca Puisi Numera.

“Aku balik Brunei Jumaat petang. Kalau aku tahu, aku tunggu dulu di KL. Pak Latip ada beritahu aku tapi aku tunggu suratnya tiada...” dan dia merungut-rungut mengenai bagaimana pelupanya mantan pensyarah kami itu yang kini memegang jawatan Ketua 1 GAPENA.

Saya, Kak Mahaya dan Kak Rosmiaty Shaari di barisan depan. Sedih sayu hati saya mendengar bagaimana komuniti Melayu Pattani yang tertindas dan masih dalam zaman kegelapan! Tanah leluhurku, ada luka yang mengoyak-ngoyak jantung kerana dalam tubuhku masih mengalir darah keturunan itu!

Malam kami diangkut ke DBP yang hanya sepelaung. Sayembara kali ini entah dirasuk sumpahan apa! Kebanyakan peserta wakil negeri, terlupa dan adakalanya terdiam lama di pentas. Kasihan! Khabarnya waktu bertanding di peringkat negeri, mereka bebas memilih sajak dari antologi Jamung Merdeka. Apabila sudah sampai ke peringkat kebangsaan, ada cabutan sajak. Dalam waktu singkat, mereka perlu menghafal sajak baharu!

Hati saya sudah meneka siapa pemenang. Dan memang tepat. Wakil dari Perak, si Azmi jadi juara!

Esoknya, sebelah pagi ada meja bulat yang “bujur”, panelnya SN Dr Anwar Ridhwan dan SN Kemala. Oleh sebab malam sebelumnya, acara berakhir lewat (RTM membuat pengambaran tertunda dan semua orang kena berdisiplin dalam dewan), jelas sekali hadirin berusaha membulatkan mata di acara meja bulat!

Pak Mahmud Jailani dari PENAMA bercermin mata hitam dan sudah terlentok di kerusi. Saya dan Mas bernasib baik sebab asyik tergelak dengan lakaran si adik yang menggambarkan suasana lucu gelagat hadirin meja bulat itu! Tak sempat mengantuk!

Waktu berhenti rehat, seseorang menyapa.

“Kak Ratna ya?” Saya menyambut salam. Sudah lama dia mencari, katanya. Rupa-rupanya dia penulis asal Kelantan dan bekerja di TV al-Hijrah. Comel sungguh wajahnya!

“Ini adik kak? Muka serupa...” dia menuding si adik.

“Bukan. Anak. Yang bongsu...” Dan seperti biasa, dengan muka terperanjat, dia menyambung, “takkanlah. Kak nampak muda!”

Si adik yang sudah biasa juga dengan pertanyaan dan reaksi seperti itu, buat-buat muka geram. Hahaha...siapa suruh membesar dengan cepat dan “sihat”!

Mak cik sekamar pun bilang begitu. Jawapan saya mudah, “kalau sudah biasa dengan derita, kita akan tersenyum dengan ujian apa pun. Apa saja yang datang selepas itu, kita akan menjadikannya biasa. Sudah mangli. Sudah tidak terkesan apa-apa. Jika ada pun, sedikit saja. Barangkali sebab itulah, Allah berikan saya wajah sedikit muda sebagai gantinya! Alhamdulillah!”

Allah Maha Adil. Sungguh!

Petang itu, ada bicara penulis pelbagai kaum. Moderatornya Jasni Mat Lani. Menarik juga. Dan sedikit panas apabila Pak AGI bangun dan bercakap.

Penyair yang sangat saya minati itu memang hebat. Rupa-rupanya dia berusia 69 tahun. Saya berbual dengannya mengenai persembahan solonya yang disebut sebagai sangat berenergi. Dan saya memberitahu, saya peminatnya sejak masih mahasiswa pada tahun-tahun 1980-an itu. Saya perasan juga, Pak Agi lebih senang berbual dalam bahasa Inggeris!

Hujan lebat menggagalkan acara untuk ke Rumah GAPENA yang baharu.

Malam, ada acara Makan Malam Sekalung Budi. Ada juga penyampaian hadiah untuk pemenang Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi Ulang tahun GAPENA. Diikuti penyampaian hadiah sayembara deklamasi puisi.

Sewaktu dalam lif sebelum itu, saya menyapa Pak Ahmad Razali. Waktu itulah baru saya tahu, saya antara yang akan menerima hadiah!

“Rasa-rasanya ada nama Ratna, kalau tak silap sayalah...” kata Pak Ahmad Razali.

Kalut juga. Sebab kami mahu pulang awal, usai makan malam. Kak Mahaya ada mesyuarat di Seremban awal pagi Isnin.

Langsung di DBP, saya mencari Abang Aziz dari GAPENA.

“Ya, nama Yang ada. Yang duduk di meja pemenang. Mudah nanti untuk ke pentas,” kata Abang Aziz. Saya pun dipisahkan dari meja adik dan Kak Mahaya.

Di meja pemenang, hanya saya dan penulis dari PPJ yang wanita. Lain semua lelaki. Mereka tanya saya, “menang apa? Tajuk?”.

Saya pun sudah lupa! Dan saya tak tahu saya menang sajak atau cerpen!

Ada ucapan Ketua 1, ada persembahan nyanyian dan berbalas pantun spontan dari negara Indonesia dan selepas itu pengumuman pemenang sayembara penulisan.

Oh, rupa-rupanya cerpen “Dingin Bara”.

Ada lima pemenang untuk puisi dan lima untuk cerpen. Saya bertarung dengan penulis veteran termasuk Pak Shapiai dari Johor dan almarhum Cikgu Azizi Haji Abdulllah (yang novelnya Daerah Beta sedang mengajar saya mengenai radiasi gamma, alfa dan beta).

Waktu usai acara penyerahan anugerah dan ucapan Tokoh GAPENA, antaranya yang hadir ialah Sanusi Junid (teks 'keluhan”nya menarik tetapi sangat panjang sehinggakan Pak Latif tidak stabil berdiri di belakangnya menahan kantuk), saya perlahan-lahan beredar ke belakang.

Kak Mun, isterinya Abang Aziz (suami isteri ini amat besar jasanya kepada saya dan anak-anak waktu kami tinggal di KL) menggamit saya. Memang saya mahu menemuinya sebelum pulang.

“Tahniah,” katanya bersilih ganti dengan ucapan tahniah daripada rakan-rakan kerabat pelbagai negeri.

“Kak, saya sudah pulangkan cek kepada abang. Macam biasa, nama ayah salah,” saya memberitahu.

Memang saya tidak begitu kisah sebab nama ayah sejak dahulu memang ada masalah dieja salah. Cek memang selalu dipulangkan, malahan dalam sijil, siaran ulasan sastera di akhbar, dalam siaran sajak atau cerpen; sudah terlalu biasa!

Kak Mun mencium saya dan adik. “Ini bakal menantu aku!” usiknya ketika mencium adik.

“Ingat orang ini selalu...” saya selalu mengingatkan si adik begitu.

Menyalami penulis-penulis senior, mereka bercanda, “sempat lagi menulis sakit-sakit begitu? Memang betul kata pengulas sastera, si Yang ini penulis sayembara!”

Hehehe...waktu payahlah, ilham datang bertimpa-timpa! Subhanallah! Allah sangat mencintai saya, hamba-Nya yang selalu leka!

Pulang ke Seremban, saya beritahu adik.

“Tidak perlu bekerja di stesen minyak kawan Daddy itu kalau adik tidak mahu. Adik buat saja ilustrasi puisi kanak-kanak yang Auntie Mahaya minta. Kita ikut bengkel penulisan cerita kanak-kanak. Ibu tak pandai menulis cerita kanak-kanak, tapi tidak salah kita mencuba!”

Adik dan kakak, puteri-puteri saya itu, perlu cuba menulis dalam bahasa ibunda. Tidak salah menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi bahasa ibu kandung yang indah itu jangan sesekali dilupa!

Walaupun saya agak skeptikal dengan budaya “negatif” Melayu, tetapi saya mencintai bahasanya yang halus berbudi.

Bahasaku!

3 comments:

AJM said...

Betul ke ada siaran langsung di TV untuk sayembara ni? Sebab saya tak berpeluang langsung untuk sentuh TV, semua orang sibuk nak tonton bola. :-(

Ruginya tak dapat tengok. Harap RTM siarkan satu hari nanti....

Ibu Bunga Matahari (ratnalaila_shah@yahoo.com.my) said...

saya pun kurang pasti. siaran tertunda barangkali. sebab malam itu ada krew RTM membuat rakaman.

AJM said...

owh... Alhamdulillah...mudah-mudahan ada nanti!...Amin...