Total Pageviews

Monday, October 15, 2012

Perjalanan Hujung Minggu



Sabtu itu saya ke IPRM, mengambil seorang pelajar Pengajian Melayu untuk menemani saya ke Perkampungan Gapena Zon Tengah di Hotel De Palma Kuala Selangor. Mujur dia ikut sebab akhirnya, saya yang “menemani” dia ikut ceramah.

Sebabnya begini.

Ceramah itu audien sasarnya sekitar usia delapan belas ke tiga puluh lima, yang berkeinginan mahu menulis genre-genre novel, sajak dan cerpen. Zon Tengah bererti pesertanya dari Negeri Sembilan (PEN), dari Selangor (KEMUDI) dan Kuala Lumpur (KALAM dan PENA). Tapi kebanyakan yang datang adalah mahasiswa UiTM, UNISEL dan pelajar sekolah juga.

Saya pula sudah remaja purba!

Mujur juga ada Pak Ismas Saring @ Saring Sirad tokoh wartawan dan penulis yang gemar mengembara seantero dunia itu. Melihat tocang rambut nipisnya membuatkan saya gembira. Dengan topi dan penampilan unik Pak Saring, seunik itulah pengalaman beliau waktu kembara di merata ceruk dunia. Dia akan hadir ke IPRM untuk bicara buku "Kuasa Kata" Puan Mahaya. Maka sibuklah saya dan Miza, pelajar saya itu menceritakan arah jalan ke IPRM supaya Wak Saring tidak sesat. "Wah, susahnya jalan. Los Angeles pun tak susah macam ini," gurau Wak Saring. Sebetulnya, saya yang tidak tahu jalan dan berjaya "menyusahkan" dia...hehe!

Ada juga Ghazali Ngah Azia, Ahmad Sarju, Ismail Supandi, dan beberapa penulis dewasa lainnya.

Tuan Haji Hamzah Hamdani dari GAPENA yang menguruskan perkampungan dengan bantuan KEMUDI. Ceramah dimulakan oleh Cikgu Aminhad yang bercerita mengenai penulisan novel. Waktu makan semeja dengannya, baru dia perasan bahawa karya saya turut ada bersama karyanya dalam Madu Ilmu yang digunakan oleh pelajar jurusan sastera SPM.

“Saya tidak popular,” kata saya ketawa.

Saya memang suka isi ceramahnya sebab penulisan novel ini bagi saya sangat susah. Cuma saya terfikir mengapa penulis wanita di Malaysia dan dunia begitu ramai yang berjaya menulis novel, berbanding lelaki. Itulah juga persoalan sama yang dilontar Aminhad.

Menurut saya, wanita ini tabiat semula jadinya suka membebel. Suka memanjangkan yang pendek. Gemar melebarkan yang ringkas.

Maka itu puncanya mengapa ramai sekali jutawan dalam kalangan penulis novel wanita. Misalnya Norhayati Berahim, sudah berupaya menubuhkan penerbitannya sendiri sebab sudah jutawan. Begitu juga dengan penulis cilik Ain Maisarah yang menurut Aminhad, menghadiahkan sebuah apartmen mewah sempena Hari Ibu kepada emaknya.

Walaupun saya tidak pernah membaca novel popular (yang saya haramkan juga diletakkan di rak buku di rumah), saya tetap mengikuti berita-berita berkaitan pasarannya yang hebat itu.

“Hinggakan ada kursus penulisan novel dibuka khas hanya untuk wanita. Malahan kalau novelis lelaki mahu menulis karya popular, dia kena ubah sikit namanya supaya nampak keperempuanan kalau mahu peminat membeli,” dakwa Aminhad.

Kemudian ceramah penulisan puisi oleh Dr Shamsuddin Othman dari UPM. Saya memberikan pendapat apabila beliau menyebut energi Pak AGI yang membacakan puisi solonya selama dua jam.

“Saya kira Pak Agi lebih berenergi daripada Almarhum Rendra. Rendra pernah buat persembahan solo lebih kurang masa yang dibuat Pak Agi tapi waktu itu usianya lima puluh tahun begitu. Berbanding Pak Agi yang sudah 70, rasa saya!”

"Betul, betu, betul!" kata satu suara peserta remaja perempuan dari kerusi belakang. Anak murid Pak AGI! Patutlah begitu bangga apabila nama Pak AGI disebut penceramah.

Esoknya, ceramah penulisan cerpen oleh Saifullizan dari DBP dan juga oleh Pak Hamzah Hamdani. Saya terpaksa melelapkan mata sejam sebab malam itu saya insomnia. Jam tiga pagi, dengkuran dua rakan sechalet saya bertingkah-tingkah, tapi saya masih gagal lena.

Rupa-rupanya bersebab juga saya enggan lena itu.

Saya berasa tidak sedap hati sepanjang siang.  Puteri sulung, saya yakin dia OK sahaja sebab dia baru SMS yang mauduknya lebih kurang bermaksud "musim hujan: kereta dan kepentingannya". Musim-musim begini, dia terpaksa mengharungi banjir mini setiap kali pergi dan pulang untuk kuliah, ditambah pula dengan gangguan komuniti monyet yang menghuni hutan sekitar kolej kediamannya.

Akhirnya saya menelefon anak yang bongsu. Juga katanya tiada apa-apa. Tapi dia tidak mampu membohongi saya berlama-lama sebab dia jenis yang akan melaporkan apa sahaja aktiviti hariannya kepada saya hatta yang paling tidak penting sekali pun.

Seorang remaja melanggar keretanya. Remaja enam belas tahun yang mencuri bawa kereta bapanya. Anak saya terhantuk dan hilang sedar seketika.

Ibu bapa remaja itu meminta jangan dilaporkan kepada polis. Mereka akan membaiki kereta anak tapi tempohnya seminggu mungkin siap. Pengajian anak sudah tamat dan kami dijadualkan mengambil dia dan barang-barangnya Selasa.

Maka perancangannya, tinggallah kereta itu di Seri Iskandar. Kemudian, sudah siap baru diambil.

Macam-macam. Tapi syukur, tiada kecederaan apa-apa.

Selepas ini, acara sastera saya akan ditemani si bongsu jika dia tidak bekerja. Dan saya akan mencari ruang untuk ikut serta aktiviti komuniti “cancer survivor” di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Ada jemputan memberi ceramah motivasi di sebuah pusat pengajian tinggi juga.

Mudah-mudahan Allah akan menyihatkan saya dengan kerja-kerja yang sangat saya gemari ini.

Jika setiap pagi kita bangun dengan cinta, maka sepanjang hari hati akan berbunga-bunga!