Total Pageviews

Monday, October 1, 2012

Sabah Snake Grass



“Cuba rasa...” saran Tuti.

Saya mengambil sehelai. Teragak-agak mahu memasukkan ke dalam mulut. Tuti dan anak kecilnya berdiri di seberang pagar.

“Huh...!” Tuti yang bertubuh kurus kecil ketawa melihat muka saya.

“Pahit amat!” saya separuh menjerit. Tekak saya kepahitan.

“Ini pokok hempedu ular, bukan rumput belalai gajah. Tuti tengok ada tumbuhan ini dalam pasu akak, memang ditanam ya?” tanyanya.

Patutlah pahit. Namanya pun hempedu!

Tanaman itu saya bawa dari rumah lama di Pilah. Banyak tanaman herba seperti misai kucing dan mas cotek yang ditanam suami di sekitar kolam kecil yang dibinanya dulu. Kolam kecil yang kemudiannya saya kambus dengan batu-batunya sekali. Semuanya kerana kedunguan. Kecewa dengan sesuatu sehinggakan kolam kecil itu menjadi mangsa. Kuat pula kudrat saya menghayun cangkul. Akibatnya, malam itu saya kesiangan menahan sakit, telinga saya juga hampir bernanah mendengar leterannya.

“Kalau sudah kuat sangat, rumput di keliling rumah ini tak perlu mesin lagi. Atau racun. Ayuh, guna cangkul saja...”

Di sekeliling banglo itu dia memesrainya dengan pelbagai tumbuhan. Sekarang ini sesekali menjenguk untuk mengambil surat, saya melihat pokok jambu merah sudah merendang. Pokok-pokok tebu hijau dan ungu masih ada. Barangkali mangga pun sudah berbuah. Begitu juga herba-herba yang ditanam mungkin sudah membiak.

Masyarakat Cina memang sangat menghargai herba. Itu yang saya simpulkan apabila melihat rancangan berbahasa Cina di televisyen. Rancangan itu dihoskan oleh Baki, seorang pemuda Melayu. Isi kandungannya tentang khasiat tanaman herba yang disebut sebagai Sabah Snake Grass.

Rumput Ular Sabah atau Daun Belalai Gajah adalah herba mujarab untuk melawan kanser, sakit buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Baki dan sifu menunjuk cara bagaimana menanam herba ini, juga cara memasaknya.

Nah, sekarang tiba-tiba sahaja blog ini sudah jadi semacam blog “mari berkenalan dengan herba” pula.

Nama pokok tanaman herba ini dikenali sebagai Sabah Snake Grass, nama saintifiknya Clinacanthus atau Clinathanus. Namanya banyak, dalam bahasa Cina ada yang memanggilnya “Yu Xun Cao” dan “Shen Caodan”. Orang tempatan mengenalinya sebagai Pokok Belalai Gajah atau Gendis.

Tanaman ini digunakan sebagai rawatan gigitan ular atau apa sahaja jenis serangga berbisa dan juga digunakan sebagai ubat gatal serta ubat rawatan kulit bertoksik

Juga untuk rawatan buah pinggang dan dikenali sebagai pokok buah pinggang. Dalam bahasa Cina ia digelar “Shen Cao” yakni minuman daripada perahan daun segar atau melalui rendaman dalam air panas, diminum untuk membuang biasa dan racun dari dalam buah pinggang.

Jus perahannya menggandungi Chlorophyll yang membantu dalam membuang toksik.

Perkataan ketumbuhan dan kanser seperti hantu yang menakutkan. Namun, reaksi orang terhadap “hantu” ini juga berbeza.

Ada yang terlalu takut kepada penyakit ini sehingga mendengarkan namanya sahaja sudah begitu mengerikan, ada yang biasa sahaja dan ada juga yang tidak kisah. Ada sesetengah orang pula mengalami fobia kanser. Ini merupakan suatu keadaan seseorang itu sentiasa bimbang dan terganggu fikirannya; mungkinkah dia diserang penyakit kanser apabila timbul sesuatu tanda di badannya! Orang seperti ini sering menemui doktor jika timbul apa-apa masalah walaupun remeh-temeh dan fikirannya sentiasa terganggu oleh sebab ketakutan terhadap penyakit kanser.

Walaupun kita mesti berwaspada terhadap kemungkinan penyakit itu, khususnya mereka dalam golongan berisiko sama ada dari segi umur, terdedah terhadap bahan-bahan yang mungkin karsinogenik seperti tabiat merokok, pendedahan terhadap bahan kimia, pancaran X-ray dan tekanan hidup, namun kita tidak perlulah sentiasa dalam ketakutan hingga jiwa kita tidak tenteram.

Jangan sampai melihat kain pembalut nangka yang terbuai-buai ditiup angin malam, kita sudah fikirkan langsuir sedang menari gangnam style!

Sebaiknya, kita mengambil langkah berjaga-jaga dan terdapat ujian-ujian penapisan seperti X-ray, ujian sel pangkal rahim (pap smear), ujian darah atau sebagainya.

Di antara tanda-tanda penyakit kanser ialah:

Wanita yang mengalami pendarahan selepas persetubuhan, pendarahan haid yang tidak tentu masa, keluar darah haid selepas putus haid, keluar keputihan dari kemaluan, perut kembung, bengkak kaki khususnya jika di sebelah sahaja, susut badan, tidak ada selera makan, bonggol atau ketumbuhan pada buah dada, keluar darah atau susu daripada puting buah dada walaupun tidak menyusukan dan kesakitan pada buah dada.

Bagi kanser paru-paru, tanda-tandanya ialah batuk yang tidak boleh dikawal dengan ubat biasa, batuk darah dan sesak nafas. Pada bahagian tekak pula, hidung berdarah atau muntah darah.

Bagi kanser dalam perut dan tali usus, antara tanda-tandanya ialah muntah darah, berak darah, sakit perut dan muntah-muntah yang tidak boleh dikawal. Bagi kanser pada buah pinggang dan saluran perkencingan, antara tanda-tandanya ialah kencing berdarah, sering hendak kencing dan sukar untuk membuang air kencing.

Antara tanda-tanda kanser pada bahagian otak ialah sakit kepala, pening kepala yang biasanya tidak boleh diubat dengan ubat penawar sakit biasa. Manakala tanda-tanda bagi kanser tulang dan sendi ialah bengkak tulang atau sendi. Tanda-tanda bagi kanser sistem pendarahan ialah muka pucat, letih-lesu, mudah berdarah jika terkena luka dan sukar hendak tos darahnya serta demam yang tidak dapat dikesan puncanya.

Pengesahan penyakit kanser biasanya dilakukan secara ujian tisu yang diambil daripada kawasan yang disyaki menghidap kanser (biopsy) dan seterusnya dikaji di makmal kaji sel (hispatologi).

Biasanya, di sinilah sel-sel kanser dapat dipasti dan disahkan. Walaupun demikian, ujian-ujian lain boleh menolong dalam membuat pengesahan kanser seperti ujian Ultrasound, X-ray, scaning MRI, Cat dan lain-lain.

Dalam keadaan cemas dan genting seperti ini, manusia akan menggunakan bermacam-macam cara dan kaedah untuk mengatasi masalah dan apabila rakan, teman atau saudara memberi cadangan tentang rawatan yang berkesan, mereka akan terus mencubanya. Walaupun kadang-kala kita tidak mengetahui logik atau asas saintifiknya, memang tidak boleh disangkal, bahawa ramuan-ramuan dalam akar kayu atau ubat-ubatan tradisional mungkin mempunyai kesan yang boleh membinasakan sel-sel kanser.

Ubat-ubatan moden itu bagus, tetapi adakalanya ia menyembuhkan yang ini, tetapi akan memberi kesan pula kepada yang itu. Ubat moden itu ada kandungan kimia dan dicipta oleh manusia. Herba itu alami dan Allah menumbuhkannya untuk digunakan oleh manusia.

Pakar-pakar perubatan memang mengakui, bahawa sel-sel kanser pun boleh binasa dengan sendirinya, iaitu dalam proses yang dinamakan regresi spontan. Ini semua adalah dalam pengurusan Allah dan sebagai manusia kita hanya berdoa dan mengharapkan agar penyakit yang dihidapi sembuh. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan seeorang itu jika hamba-Nya berusaha untuk mencari penawar yang dianugerahkan kepada kita di atas muka bumi ini.

Pokok ini hanya sebab musabab untuk menyembuh penyakit sahaja.

Tahap 1 : 30 helai daun setiap hari.
Tahap 2 : 50 helai daun setiap hari.
Tahap 3 : 100 helai daun setiap hari.
Tahap 4 : 150 – 200 helai daun setiap hari.

Kurangkan jumlah daun apabila pesakit bertambah baik.