Total Pageviews

Friday, September 28, 2012

My Dear Diary...


Hari masih terang-terang tanah dan saya sudah berada di stesen KTM. Ruang parkir masih banyak.

Temu janji ke hospital hari ini. Sebenarnya pihak hospital sudah menelefon mahu menunda tarikh. Saya OK saja, tiada masalah kalau lewat seminggu.

“Ramai doktor tak ada hari tu. Err...tapi puan kes CA ke?”

Apabila saya menjawab ya, terdengar suara-suara bertanya jawab di hujung talian.

“Kalau begitu, puan datanglah juga. Tak perlu tundaan tarikh”.

Turun di stesen Bandar Tasik Selatan, saya selesa menaiki teksi sahaja daripada menunggu LRT untuk ke Bandar Tun Razak. Semput juga apabila berjalan dengan cepat menuju teksi. Oleh sebab masih dalam pembinaan, lorong menuju teksi itu dikepung dengan zink.

Saya melihat wanita warga asing menjual kuih-muih untuk sarapan. Ramai juga pelanggan yang membeli.

Mahu cemburu apa, kalau mereka lebih rajin daripada warga kita.

Di kafe hospital, pekerjanya warga asing juga. Yang cuci tandas, mereka juga. Dalam komuter? Sama. Di mana-mana ada mereka. Tak perlu melancong ke Jakarta lagi, di sini pun sudah mirip-mirip kota itu.

Di hospital, pesakit ramai seperti biasa. Saya kelaparan tetapi tiada keinginan mahu makan.

Melihat-lihat sekeliling, dengan rasa bosan yang menyesak-nyesak dada, saya tidak duduk saja membatu di kerusi. Saya keluar ke lobi, melihat telatah orang sementara menunggu nombor giliran dipanggil.

Huh, lama menunggu.Tiga jam setengah. Akhirnya melihat profesor yang bertubuh kecil tapi ceria itu, pagi murung saya jadi ceria juga.

Memang beliau seorang pakar, khususnya dalam menenggelamkan rasa gelisah pesakit.

“Masalah telinga itu, saya dulu pun kena. Saya minta scan kepala dan mujur tak ada apa. Biar saya berterus terang, memang kadang-kadang ada sel kanser yang berada dekat dengan saraf telinga kita...”

Uh!

“Itu sebab saya mahu tanya. Saya ada baca buku tentang pengalaman pesakit yang begini. Prof rasa...?”

Dia geleng-geleng kepala.

“Saya rasa you OK. Tapi kalau mahu lebih pasti, minta klinik ENT untuk mohon buat scan itu masa temu janji November nanti”.

Saya juga memberitahunya tentang masalah tulang di belakang kiri saya, sehinggakan duduk pun terasa sakit.

“Biasa tu. You tahu, radioterapi tu kuat. Radiasinya tembus terus ke belakang. Lagi satu, kalau tiba-tiba terasa macam sakit mencucuk-cucuk di paru-paru atau dada, jangan panik. Itu biasa juga”

Baru saya tahu. Patutlah sampai sekarang, selepas pembedahan kedua itu, saya masih gagal meluruskan lengan kiri jika di lantai rata. Dan entah apa akan jadi kalau proses “mendengar radio” itu melebihi lima belas minit. Dalam tempoh yang sependek itu pun, sudah demikian...

“Paksa, tolak saja tangan tu. Biar sampai OK semula. Lagi satu jangan stres. Jangan stres!”

Profesor yang baik hati itu memberikan nombor telefon seorang profesor wanita dari UPM. Katanya saya boleh ikut program sokongan yang dibuat oleh profesor wanita tersebut.

“Kalau mahu tanya apa-apa pun, masuk saja ke Facebook saya!” Tapi saya tidak fikir pakar sepertinya punya waktu banyak untuk melayani laman sosial seperti itu.

Dia juga suka apabila mengetahui saya aktif (hiper sebenarnya).

"Itu yang bagus. Saya suka. Jangan hanya duduk-duduk di rumah".

Tak apa, prof. Saya sudah bersedia untuk berlari!

Saya berdoa-doa janganlah lawatan ke klinik itu melebihi angka dua belas. Nanti payah mahu menunggu teksi. Jumaat tengah hari, sukar untuk mendapatkan teksi, jalan pun sesak. Pelajar dan pekerja memenuhi jalan raya.

Lagi beberapa minit sebelum dua belas, saya separuh berlari ke Klinik Radiologi untuk tempahan tarikh mamogram yang dijadualkan Februari 2013. Berkejar-kejar pula balik ke Klinik Surgeri untuk mendapatkan tarikh temu janji. Maknanya Februari itu dua kali saya perlu ke hospital. Mudah-mudahan Klinik Onkologi & Radioterapi serta Klinik ENT tidak meletakkan temu janji dalam bulan Februari juga. Saya resah sedikit kalau banyak sangat temu janji, sebab tahun hadapan saya sudah mula bekerja.

Usai semuanya, saya mencari teksi menuju Bandar Tasik Selatan. Melalui kepungan zink itu rasanya agak membahang sebab sudah tengah hari. Beberapa minit menunggu, komuter ke Seremban pun tiba. Tiada masalah tempat duduk. Syukur.

Komuter meluncur laju di landasan jam dua belas lebih sedikit. Perut sudah berbunyi-bunyi. Mata pun separuh terbuka.

Sampai di stesen Seremban, saya yang biasanya cerewet, terpaksa makan juga. Sedikit nasi buat penghilang gigil kerana kelaparan.

Teringat anak yang demam di kampus.

“Ibu rehatlah. Kakak OK, Kakak kan cucu opah!”

Saya tidak jadi memandu ke kampus untuk membawanya ke klinik. Saya sudah mendoakan agar dia diberi kekuatan oleh Allah dan menjadi lebih tabah. Dia perlu belajar menjaga diri sendiri dan si adik jika takdirnya Allah memanggil saya pulang.

Singgah sebentar mencari sesuatu di kedai serbaneka tujuh sebelas, sebelum masuk ke Bandar Warisan Puteri, saya terkesan dengan sesuatu. Seorang remaja lelaki, kelihatan berdiri seolah-olah sedang menanti seseorang. Wajahnya teruja melihat saya memarkir. Apabila saya keluar dan mahu masuk ke pintu kedai, dia menuju ke kereta. Kemudian melihat-lihat saya. Ada kereta lain yang memarkir, dia berbuat perkara yang sama. Ulang alik, berdiri meninjau-ninjau seperti menanti sesuatu. Bercakap-cakap seorang.

"Kak, jangan takut. Dia memang macam itu. Setiap hari balik dari sekolah, dia akan ada di sini sehingga malam. Bapanya sudah pukul dia, tapi masih begitu," beritahu pekerja yang melihat kecurigaan saya.

"Tapi budaknya kemas, bersih dan tidak nampak macam orang sakit. Agaknya ada orang yang dia minat di sini?" teka saya.

"Entahlah kak. Tapi dia tak ganggu orang. Kami pun hairan. Sudah beritahu ibunya, tapi ibunya pun tak boleh menghalang dia datang ke sini".

Peliknya. Kasihan saya melihat remaja itu. Kalau nampak sihat sebegitu, tapi kelihatan seperti berbual dengan seseorang yang tidak kelihatan, mesti ada sesuatu yang tak kena. Mengapa tidak dibawa ke pusat rawatan Islam?

Tiba di rumah, selesai parkir, saya termuntah.

Bau najis kucing mengusik deria.

Aduh, jiran baru, pasangan muda yang belum “perasan” dengan adat hidup berjiran.

Ibu kucing dan empat ekor anaknya itu memang comel, tapi najis yang tidak dibersihkan setiap hari (dan sangkarnya diletakkan betul-betul di tepi pagar rumah) menjadikan kecomelan itu hilang.

Patutlah malam tadi, ketika suami membuka pintu luas-luas; saya terhidu sesuatu.

Apa boleh buat, hidung saya besar. Mudah mengesan bau!

Di luar, anak-anak yang datang membeli aiskrim di rumah jiran lagi satu, bising-bising sebab tidak tahan menghidu bau. Kalau mereka yang berada selang sebuah rumah sudah tidak tahan, apatah lagi saya.

Patutlah sudah tidak nampak jiran saya itu dan keluarganya duduk makan-makan di meja luar.

Saya yang tidak tahan berkurung, membuka juga jendela luas-luas.

Tapi dengan memakai penutup hidung dan mulut!

Gawat sungguh.

Lagi gawat jika si puteri bongsu yang alahan kucing itu pulang sebaik tamat pengajian diplomanya.

Bagaimana mahu menegur pasangan muda itu ya?

Supaya tiada hati yang terhiris.

Dan situasinya mesti menang-menang!