Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Thursday, September 13, 2012
Tiada Yang Seputih Kapas
Saya membaca statusnya sekali lalu.
Ada sesuatu yang menangkap deria mata saya.
Dia menulis lebih kurang begini, “kadang-kadang kita menjadi ujian kepada orang lain...”
Ungkapan yang sangat menarik. Untuk saya. Untuk kita.
Dia mengikuti tulisan-tulisan saya. Statusnya itu terhasil daripada bait tulisan saya “Kemaafan Dendam Yang Terindah”.
Rupa-rupanya dia tidak pernah menjadi pelajar saya secara rasmi, dengan erti kata, dia tidak pernah duduk di kelas dan saya menjadi ibu gurunya belasan tahun yang lalu.
Nama sebenarnya pun saya tidak tahu. Barangkali Farahwahida, Farah Fauzana atau Farah Sejati.
Katanya, dia belajar di menengah rendah ketika itu. Dan saya pula mengajar subjek Bahasa Melayu menengah atas, serta Subjek Drama Kertas 6 untuk pelajar pra-universiti.
Dia mengikuti perkembangan saya melalui risikan dan cerita kawan-kawan, juga para senior. Saya pula menubuhkan Kelab Drama yang aktif mementaskan beberapa drama pentas berdasarkan teks tingkatan enam dan naskah tulisan saya sendiri. Waktu itu jugalah kami memenangi beberapa pertandingan di peringkat daerah dan negeri.
Melihat album di laman sosial, wajahnya manis. Punya anak seorang dan pastinya sudah bersuami. Selalu saya meneliti, dia ini punya kemahiran bersastera juga, dan kelihatannya menuju islami.
Dia mencatat bahawa (saya mengedit tulisan itu ke dalam bahasa Melayu standard) “barangkali antibodi ibu masih kuat untuk melawan (rasa dendam). Yang baru tidak seberapa hayatnya ini pun rasa kurang yakin. Umumnya kita memang aktres terbaik di pentas dunia ini...Selamanya begitu agaknya...Kadang-kadang keterpaksaan buat kita tak mampu keluar dari drama hidup ini. Yang lemah ini masih perlu motivasi barangkali.Terima kasih atas pesanan ibu. Logik benar kata ibu bahawa jangan terlalu serius dgn kehidupan... tapi penyakit hati sangat-sangat menghalang...aduhai...”
Panjang sekali catatannya.
Balasan saya? Ringkas sahaja tetapi mudah-mudahan isinya dapat memantak ke jantung hati.
“Tak apa. Tidak ada orang yang hatinya seputih kapas dan sejernih air gunung...”
Meskipun begitu, kita mesti berusaha supaya hati kita tidak sehitam arang dan sekotor air di perlimbahan.
Turun naik tahap kejernihan itu perkara lumrah. Pokoknya, jangan berhenti untuk berusaha.
Mengingati semula catatannya bahawa, “kita ini menjadi ujian kepada orang lain” memberikan saya ilham untuk melakukan pencerahan.
Kita sebagai anak, isteri atau suami, ibu, opah, sebagai kawan, pekerja, bos, warga negara, jiran...kehadiran kita di dunia ini adalah ujian.
Saat dilahirkan dan proses mendidik serta membesarkan itu, kita adalah ujian buat kedua-dua orang tua kita.
Saat remaja dan menuju dewasa, kita adalah ujian buat rakan-rakan, guru-guru serta pemilik hati yang mula menanam rasa cinta.
Nah, sudah bergelar isteri, kita adalah ujian buat suami, mertua; dan begitulah sebaliknya.
Sudah punya anak...punya cucu...proses itu akan berlingkaran membentuk kitaran kehidupan.
Satu simbiosis!
Sehingga akhirnya kita pulang menemui Tuhan.
Jangan sampai kewujudan dan perbuatan kita menjadikan hidup orang lain menderita sampai bertahun-tahun.
Jika ada, segeralah memohon kemaafan.
Sebab kemaafan adalah dendam yang terindah.
Orang yang bersedia untuk memohon maaf, memiliki hati yang berani.
Dan orang yang mampu memberi kemaafan atas kezaliman yang dilakukan terhadapnya adalah pemilik hati yang gagah perkasa.
Sentiasa berusaha untuk memutihkan hati, meskipun tidak mungkin seputih kapas!
