Total Pageviews

Wednesday, September 12, 2012

Di Garis Mula



Bukan mudah untuk menjadi tabah.

Muhammad dan Ahmad daripada keluarga yang susah. Diuji dengan kelahiran berkembar siam yang membawa kedua-duanya ke Arab Saudi dan akhirnya berjaya dipisahkan. Selepas itu mereka diuji lagi dengan penyakit kanser si ibu. Kemudian, ibu yang sangat dikasihi dan diucapkan oleh bapanya sebagai “seorang isteri dan ibu yang sangat baik” meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Mereka tabah?

Ya.

Ketabahan hanya akan hadir setelah kita diuji.

Jika hidup seseorang itu hanya berada di puncak,hidup senang-lenang, dia tidak pernah mengenal makna tabah.

Kecualilah jika tiba-tiba dia menjunam jatuh, tergolek-golek di atas tanah. Untuk bangun dan kembali mendaki ke puncak, dia kena ada ketabahan.

Jika tidak, dia hanya mampu bergolek-golek di kaki bukit, pagi, petang, siang, malam, berhujan dan berpanas di situ.

Seorang anak yang diuji musibah menyebut, “ibu, saya tak mampu pegang watak perempuan tabah dengan baik”.

Saya kira dia menangis ketika anak-anaknya sudah tidur dan tatkala malam menjadi kian sepi.

Mana tahu?

Tahulah...sebab saya dahulu pun begitu.

Orang-orang sekeliling, hatta keluarga kita pun, berapa lama sangat mampu bersimpati dengan nasib kita. Kita yang kena bangun berjuang untuk hidup.

Betul. Saya menulis tentang lakonan dan dunia topeng-topengan. Tetapi bukan semua lakonan itu adalah lakonan. Kadang-kadang itulah watak sebenar kita.

Kadang-kadang apabila kita susah, kita disusahkan lagi oleh orang lain yang tidak faham susahnya kita. Tapi hikmahnya tetap ada. Ketabahan akan mula mendekati kita.

“Teruskan berjuang...”saya menyuntik semangatnya. “Sebab semuanya baru di garis mula...”

Saya mahu dia mengerti bahawa apa pun sikap yang kita miliki, ia bukan datang sepantas kilat.

“Proses” bermakna dinamik. Ia mengalir terus. Dari bukit-bukau, melalui alur sempit, masuk ke lembah dan menuju laut.

Kekuatan dan ketabahan juga begitu. Lihat sahaja bagaimana orang-orang yang asalnya miskin melarat tetapi akhirnya menggapai jaya.

Mereka tidak kisah berjalan kaki berbatu-batu, menahan bunyi perut yang minta diisi. Mereka mahu mengejar kejayaan, mahu memakai kasut setelah sekian lama berkaki ayam.

Saya kira anak itu memahami maksud yang saya mahu dia fahami.

Sebab dia menjawab begini, “Terima kasih. Moga saya tak terus tunggu pintu yang tertutup, terbuka untuk saya semula. Saya kena cuba masuk ikut pintu-pintu lain yang terbuka untuk saya!”

Membacanya berkali-kali, saya tahu dia mengerti.

Dia pelajar saya yang pintar dulunya.

Sekarang pun, dia masih begitu!