Total Pageviews

Sunday, September 16, 2012

Memaknai Keinginan



Tidak enak!

Masakan boleh jadi enak jikalau semuanya kurang.

Kurang santan (dan bukan yang asli pula), kurang gula; “equal to” = kurang enak.

Makan sajalah sebab memang ini kaedah masakan untuk orang-orang yang telah diberi peringatan oleh Allah Taala.

Syukur.

Masih punya tekak yang sihat untuk menelan.

Kalau dahulu, bubur kacang hijau ini memang kesukaan saya (sebetulnya, apa saja masakan emak memang saya suka).

Waktu mengambil ubat homopati, kacang antara yang menjadi makanan larangan untuk dimakan. Menurut ceritanya, kacang menjadi ejen penyubur untuk penyakit kanser. Saya menjadi kurus sekejap sepanjang tempoh itu sebab senarai makanan yang dilarang makan sangat panjang.

Sehingga saya jadi bingung mahu makan apa. Ke mana-mana pergi pun, senarai yang sudah lusuh itu ada dalam beg sebab kena tengok dahulu apa yang boleh dan tidak boleh dijamah.

Nasib saya sangat baik sebab saya tidak gemarkan daging dan makanan laut. Juga soya. Ais atau minuman bergas.

Sekarang saya makan apa sahaja (kecuali ikan kembung walaupun saya sukakan ikan itu). Sate dan makanan bakar perlu dibuang bahagian yang hitam-hitam itu. Karbon boleh menyebabkan kanser.

Paling selamat, rebus sahaja semua makanan.

Orang zaman dahulu sihat sejahtera sebab makan makanan rebus.

Sepuluh hari lagi saya kena mengadap muka doktor. Oleh sebab itu, saya mesti kelihatan sihat. Pagi-pagi saya minum sup sarang burung asli yang dibelikan oleh kakak terus dari kilang. Minum juga rebusan sireh yang dicampur dengan serai, kunyit, halia, bawang putih dan sedikit kulit kayu manis (supaya pipi saya kemerah-merahan dan tidak pucat).

Makan ubat doktor juga walaupun langsung tidak berkesan.

Mudah-mudahan doktor yakin dengan tahap kesihatan saya dan membenarkan saya bertugas semula. Mungkin setahun dua sebelum memikirkan semula haluan saya.

Kegagalan menangani stres memberi kebarangkalian yang besar untuk penyakit berulang. Itu amaran doktor setelah menyedari kelemahan saya dalam mengurus tekanan.

Oleh sebab itu, saya perlu menimbang semua perkara. Tidak semua hal yang kita mahu, baik untuk kita.

Kehidupan yang gembira sangat penting. Pekerjaan juga begitu. Sepuluh tahun itu lama. Selama sepuluh tahun saya kena bertahan demi mencari sesuap dua nasi. Saya perlu sihat sejahtera sepanjang tempoh itu.

Saya perlu melupakan beberapa impian buat sementara. Antaranya ialah keinginan untuk menyambung pengajian doktor falsafah.

Cukuplah untuk saya menyempurnakan tugas dengan sebaik boleh, memperoleh pendapatan untuk membiayai pengajian anak-anak tanpa perlu mereka berhutang dengan mana-mana agensi.

Ketika ada anak yang menyebut baru-baru ini, “boleh tak kalau kakak terus sambung masters selepas tamat ijazah pertama...” saya melihatnya dengan hati cakna dan sayu.

Saya mengangguk dengan doa agar Allah menyihatkan saya demi melunaskan satu tanggungjawab.

Seperti yang saya selalu ingat, jangan pinta hidup yang mudah tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya.

Angan-angan perlu ada untuk membina impian. Namun bukan semua angan-angan akan menjadi kenyataan.

Ibarat perjalanan kita untuk ke sebuah tempat yang jauh. Kita tidak pernah tahu apa yang akan ada di sepanjang jalan. Kita bernasib baik jika ada pondok buat berteduh, jalannya lurus dan cantik, tiada simpang yang menyebabkan kita jadi keliru.

Tetapi tidak semua perjalanan akan semudah itu, dan kadang-kadang perlu tindakan yang “ad hoc” juga!

Apa pun yang terjadi, inilah resam kehidupan. Maknailah apa yang telah ditentukan untuk kita. Dan pilihan kita juga.

Melihat semangkuk bubur kacang dengan rasa yang kurang enak itu, itu rezeki pilihan saya.

Saya yang memilih untuk masak dan makan.

Pilihan yang datang daripada satu keinginan.

Dan saya ingin memaknai keinginan itu sekarang!