Total Pageviews

Tuesday, September 11, 2012

Senget Itu Seni



Perjalanan saya lama dan jauh juga.

Setelah berehat sehari untuk membuang letih, saya mula berfikir untuk melangsaikan beberapa perkara sebelum memulakan perjalanan baharu.

Pagi itu saya teringatkan sifu.

“Kak, saya ada urusan di Pilah. Kalau boleh saya mahu jumpa kakak sekejap” saya mengirim mesej.

Sifu mengirim alamat, siap dengan mercu tanda.

“Di mana?” tanyanya.

“Sedang mendaki the break up hill...” tulis saya. Mujur dia faham saya berada di mana.

Selesai separuh urusan, saya menentang matahari menuju ke pekan Senaling. Masuk simpang kiri menuju ke arah jalan kampung tempat saya selalu menemui Uwan Zaharah untuk berurut.

Asalnya saya mahu mencuci kereta di kedai. Tetapi apabila sifu menulis, “nanti ada banyak tahi lembu di sepanjang jalan”, menyebabkan rancangan saya tertangguh.

Aduh...saya suka dan akrab dengan daerah ini sebab ini daerah paling lama saya berkhidmat. Tapi satu perkara sahaja yang menyebabkan saya selalu susah hati.

Terpaksalah saya “menyantuni” tompokan-tompokan hitam di sepanjang jalan itu, memperlahankan kereta sebagai tanda “hormat”, mengelak ke kiri dan kanan untuk “menyelamatkan” tayar kereta (tetapi saya ketawa kecil tatkala membayangkan bahawa saya seperti dalam misi “menyelamatkan” tompokan-tompokan hitam itu daripada tergelek dan penyek).

Akhirnya saya tiba ke sebuah rumah yang halamannya sangat luas.

Pokok buah-buahan menyejukkan persekitaran. Ada sebuah buaian yang tergantung di dahan pokok rambutan. Wah...benar-benar seperti kawasan rumah idaman saya!

Sifu menyambut saya di pagar.

Masuk ke dalam rumah, saya terhidu sunyi. Belum sebulan, ibunya berangkat ke negeri abadi.

Mata saya tertarik pada gambar-gambar lama di dinding.

Juga ketika saya menyelak kagum fail lukisan almarhum bapanya yang barangkali seusia almarhum bapa mertua saya semasa mereka menuntut di SITC.

Kami berbual hal-hal kehidupan.

Saya tidak boleh lama. Ada beberapa hal lagi yang masih belum beres.

Sifu meminta bantuan pembantu rumahnya, si Musriyani untuk mengambil gambar dengan tablet.

Jenuhlah kami beraksi, saya tergelak besar apabila si bibik asyik mengambil gambar yang senget ke kiri.

“Musriyani ini dari Blitar, sedaerah dengan Sukarno...” Kak Aznah sempat memberitahu sambil terus mengajar si bibik yang lucu itu mengambil gambar.

Akhirnya, dengan sebelas kali cubaan, kami sudah keletihan.

“Kalau begini sesi fotografinya, saya pun tak mahu jadi model...” kata saya ketawa.

Hasilnya, semua gambar senget-senget.

Senget pun sengetlah.

Saya pulang dengan bekalan sesikat pisang yang enak.

Kali ini saya memandu membelakangi matahari. Sekali lagi saya terpaksa melalui “ranjau dan duri” melalui jalan yang dipenuhi tompokan-tompokan itu.

Menyelesaikan beberapa urusan, Maghrib baru saya tiba di halaman rumah.

Hari ini saya belajar dua perkara.

Gambar yang “senget” itu seni!

Dan tompokan-tompokan hitam di jalanan itu juga adalah seni! Seni mengelak!