Total Pageviews

Sunday, September 9, 2012

Kemaafan Dendam Yang Terindah



Sejak akhir-akhir ini dada berdebar-debar. Maklumlah saya sedang belajar sesuatu.

Setelah menyelidiki ke dalam diri sendiri, saya ketemu puncanya.

Saya berpenyakit.

Salah satu penyakit hati yang boleh membawa mati. Dan ada kecenderungan masuk neraka juga!

Orang kata, kemaafan adalah dendam yang terindah.

Ya lah...memang terindah kalau yang didendami itu sudah insaf.

Kalau perbuatannya yang menjengkelkan itu terus-terusan berlaku di hadapan kita, bagaimana mahu memaafkan dengan segala yang indah-indah?

Kadang-kadang hati kita masih ada sedikit jahat.

Sukarnya kita mahu memaafkan orang, sedangkan kita ini dimiliki. Pemilik kita pun Maha Pengampun dan Pemaaf. Buatlah dosa yang bagaimana pun, jika kita mohon keampunan, Dia akan memberi.

Kita pula yang berlagak sombong. Dan angkuh. Ingat, angkuh itu lebih tinggi darjatnya daripada sombong!

Ada orang tahu dan sedar yang dia telah berlaku zalim tetapi masih enggan meminta maaf kepada orang-orang yang dizalimi meskipun puluhan tahun telah berlalu.

Kemudian sempat lagi melakonkan watak protagonis di hadapan kita dan keluarga!

Aduh aduhai!

Letih!

“Sudah-sudahlah wahai Permata Malam!”

Saya memarahi diri sendiri yang imannya seperti layang-layang. Atau mungkinkah seperti kiambang yang akarnya tak menjejak tanah?

Sebab itulah kamu sakit, wahai Permata Malam!

Orang yang hatinya berdendam tak boleh masuk syurga, tahu? Mak tak mahu anak mak masuk neraka!

Penatlah emak membebel, kemudian suami memberi motivasi. Sebenarnya selama ini mereka tidak tahu pun saya begitu...hahaha...

Tetapi baru-baru ini saya sudah belajar seni meluahkan. Emak terkejut apabila saya berterus-terang, saya sebenarnya berlakon sahaja selama dua puluh tahun ini.

“Saya hanya mahu jaga hati mak dan anak sulung saya...”

Pucat lesi muka mak mendengar pengakuan berani mati itu. Saya pula tersengih-sengih melihatkan muka emak yang sangat terperanjat. Saya sudah semak bacaan darah tinggi mak. Itu sebab saya berani (dan lagi satu petuanya, jangan bercakap dengan muka yang tegang).

Hahaha...barulah emak tahu anaknya ini bukanlah baik sangat pun. Hati hitam metalik!

Oleh sebab saya baru lulus belajar teknik meluahkan, baru mereka dapat mendengar suara hati saya yang selama dua puluh tahun ini saya diamkan, atau hanya tersembunyi di sebalik ayat-ayat puisi dan mengintai-intai di celahan lenggang-lenggok bahasa cerpen!

Atau yang sesekali menjelma dengan “angin satu badan”!

Bagus juga teknik muhasabah dan seni meluahkan itu.

Mula-mula tuliskan tentang semua dosa yang kita lakukan, sama ada kepada Allah, ibu bapa, suami, anak, adik beradik, ahli keluarga, guru, jiran, rakan taulan, bos, kucing, pacat, dan semua yang ada di sekitar hidup kita.

(Pacat? Dulu masa kecil, saya sangat jahat. Saya menjahati pacat yang naik ke betis. Saya tarik pacat itu panjang-panjang. Kemudian saya ambil buih sabun dan letakkan pacat itu ke dalamnya. Menggeliat sang pacat dan dia pun mati. Ya Tuhan, jahatnya saya waktu itu walhal makhluk itu hanya mahu minum sedikit sahaja darah saya)

Oh, banyaknya dosa kita. Banyak sekali. Satu buku latihan pun tidak cukup!

Rasanya kalau disenaraikan, seperti syurga itu satu impian yang semakin menjauh. Mengimpikannya pun tidak layak. Bukan setakat seperti langit dengan bumi, tapi lebih jauh daripada itu. Seperti kerak bumi dan lubang hitam di bima sakti!

Air mata akan menjadi seperti sungai. Silap-silap belum sampai sebulan, kuasa kanta mata kita akan berganda atau langsung jadi persis Kasim Selamat!

Kalau ikutkan mahu berputus asa, memanglah kita akan jadi begitu. Tapi Allah itu Maha Pengampun, Dia akan sentiasa membuka tangan-Nya untuk “memeluk” hamba-Nya yang sudah enggan berpaling kepada dosa.

Bukankah sudah saya tuliskan dulu, kerja balas-membalas itu bukan portfolio kita! Itu kerja Allah. Kenapa pula kita mahu menjadi Dia?

Itu sebab kita sakit. Tapi tidak mengapa, sakit itu mudah-mudahan menghapus dosa, jika kita redho dan menyantuni sakit itu dengan baik.

Biar kita sakit di sini, mudah-mudahan Allah menyihatkan kita di akhirat kelak.

Itu peringkat kedua iaitu muhasabah diri. Macam teori ilmu fizik, bola yang kita lontar ke dinding akan melantun semula kepada kita.

Kalau kita sudah buat silap, akhirnya lambat bangat kesilapan itu akan datang semula kepada kita.

Tak kiralah sama ada kita sudah buat silap dalam pemilihan makanan dan gaya hidup, kita pernah melukai hati emak ayah, kita silap mendidik anak, kita melanggar hukum Allah, kita menderhakai suami, kita menyakiti hati kawan, kita ada penyakit hati; semuanya itu akan menguji kita semula satu hari nanti.

Yang penting bukan membetulkan kesilapan sebab kadang-kadang kita mungkin akan jadi seperti tikus. Labu yang mahu dibaiki barangkali akan jadi lebih rosak.

Tetapi kita boleh mulakan hidup baharu. Dengan cara dan ilmu baharu. Kalau dahulu kita sudah silap, jangan ulang lagi.

Mungkin kita akan kata, sudah setua ini bagaimana mungkin mahu memulakan hidup baharu.

Tidak kisahlah setua mana pun sebab Islam mengajar kita, kalau esok mahu kiamat, jika ada benih yang mahu ditanam, sila tanam!

Cuma pesanan saya, kalau kita menziarahi orang sakit di hospital, jangan sesekali kita katakan, penyakit ini terjadi sebab mungkin awak orang berdosa.

Bukan apa, saya bimbang, takut-takut nanti jarum yang tercucuk di tangan pesakit itu akan tercucuk pula di mata orang yang menziarah! Kalau mahu tazkirah pun, jangan sampai diri sendiri jadi arwah pula! Pilihlah bahasa yang cantik dan sedap untuk didengar. Itu bukan masanya untuk mempraktikkan teori “muhasabah dan meluah” yang saya katakan itu.

Itu satu hal yang lain.

Jangan takut untuk meluahkan perasaan. Memang sesekali perbuatan itu menampakkan sisi jahat kita. Tetapi benda yang kita simpan, lama-lama akan berkulat. Ulat-ulat yang keluar itu akan perlahan-lahan memamah diri kita.

Kalau yang kita simpan itu akhirnya menjadi budu atau ikan pekasam, tidak mengapa juga.

Jadi?

Jagalah hati.

Jangan dikotori...lagi!