Total Pageviews

Monday, September 3, 2012

Perjalanan Kasih



Misi menyelamatkan si putih bermula!

Kami pun merancang pembelian si Kancil dua minggu sebelum Idulfitri.

Mencari yang auto bukan mudah. Akhirnya menemui sebuah Kancil terpakai di Selangor.

Setelah memastikan kondisi kereta agak OK, kami nekad membeli. Uh, rupa-rupanya sudah hampir setahun kereta itu disimpan di garaj pemiliknya. Mereka sayang mahu menjual tapi saya kira sayang mereka itu tidak asli...hahaha...

Maksudnya, jika betul sayang kenapa dibiarkan!

Akhirnya, kami dapati baterinya lemah walaupun kelihatan seperti baharu ditukar.

Proses ke Puspakom, pertukaran nama, membaik pulih dan menambah aksesori.

Tapi si putih perlu diambil segera sebab seminggu dua selepas Idulfitri, puteri sulung akan mendaftar di sebuah universiti tempatan. Si putih diperlukan khidmatnya untuk mengiringi dia ke kampus.

Petang itu kami bergerak dari Seremban dengan kancil berwarna perak. Dengan enjin yang berkuasa kecil, perjalanan menjadi jauh dan meletihkan.

“Ini kereta untuk orang-orang terpilih, yakni mereka yang sabar...” kata saya.

Sudah agak lewat juga kami tiba di Seri Iskandar.

Si putih ada di sisi jalan depan rumah sewaan anak. Perlahan-lahan kami ke sisi jendela kamarnya. Wah, bukan main kedengaran gelak ketawa anak dan dua rakannya bergurauan.

Hati saya mula menakal.

Saya ketuk tingkap jendela berkali-kali.

“Siapa?” bertalu-talu juga pertanyaan dari dalam. Saya membisu.

Lama terdiam. Saya dapat mengagak mereka ketakutan sebab hanya rumah itu yang tidak berpagar. Pak cik dan mak cik yang tinggal bersama, tidak ada.

Saya terdengar tapak kaki yang cemas berlari dan bunyi pintu kamar ditutup.

Kedengaran jeritan kuat dari dalam. Memang dia sedang menelefon pak cik tuan rumah. Hahahaha...

“Kawan adik sudah terjelepok di lantai, ketakutan!” Dia bercerita. Riuh-rendah sebentar rumah itu dengan gelak ketawa lega.

Kami menyerahkan si Kancil kepadanya malam itu. Dia memandu sekitar kawasan itu di bawah pemerhatian kami.

Jam dua belas malam, kami memandu si putih ke Tapah.

Jam satu pagi, suasana di Rumah Rehat Tapah sunyi senyap.

Kami berpisah di situ. Dan saya kembali memecut di dada lebuh raya menuju ke Seri Iskandar sekali lagi.

Tengah hari selepas Zohor, saya mengiringi anak menuju ke kampung. Dia mahu membawa opah menaiki kereta kecilnya itu.

Sekali lagi saya memesan, “Ini kereta untuk mereka yang terpilih, yakni orang-orang yang sabar!”.

Muka anak kecut. Dia keletihan memandu kereta kecil berkuasa kecil pula!

Dan Ahad itu, saya bersyukur puteri sulung saya selamat mendaftar sebagai mahasiswi di sebuah universiti tempatan dalam bidang yang sama diambil semasa menghabiskan diplomanya di KUIS.

Saya tidak tahu mengapa hati saya selalu rasa semacam jika mahu berpisah dengan anak yang ini. Barangkali sebab dia anak pertama. Puas memujuk hati bahawa dia sudah dua puluh dua, dua tahun lebih tua daripada majoriti mahasiswi yang mendaftar pada hari tersebut.

Saya selalu ingat dia meluahkan rasa tidak puas hatinya waktu kecil dahulu.

“Adik mahu pergi rombongan, ibu benarkan. Tapi kalau kakak dulu, susah benar ibu nak bagi. Itu pun ibu sanggup mengekori bas dengan kereta...”

Aduhai anak!

Barangkali juga sebab si adik bertubuh tegap dan tegas sedangkan dia kecil kurus!

Saya sudah berjanji tidak akan menangis.

“Telah selalu kusebut,
kasih ibu kasih putih,
tiada lorekan warna,
hanya putih...dan putih!”

Saya menangis.

Akhirnya!