Total Pageviews

Tuesday, September 4, 2012

Kitalah Pelakon Bertopeng!




Dunia ini adalah pentas dan manusia adalah pelakonnya...

Demikianlah orang selalu berkata. Ayat yang sangat biasa kita baca dalam karya-karya sastera.

Kita memang selalu memakai topeng-topengan. Kadangkala bukan satu tapi berpuluh-puluh. Yang ada di hadapan cermin itu sebenarnya bukanlah diri kita yang asli.

Seperti juga kita yang selalu mengaku, “inilah diri saya. Saya tidak hipokrit macam awak. Saya tidak berpura-pura...”

Orang yang berkata demikian, tidak akan pernah menyedari bahawa dia sebenarnya seorang pelakon hebat.

Saya juga selalu berlakon.

Dahulu saya pernah ikut bengkel lakonan di bawah bimbingan seorang aktivis teater, pengarah wanita yang terkenal. Tapi saya memang tidak berbakat langsung. Lakonan saya kaku. Dialog pun tidak menjadi. Kalau dialognya marah, muka saya ceria sahaja. Mana ada orang marah sambil tersengih-sengih?

Walau sekuat mana iman seseorang itu, tidak akan ada yang marah sambil tersengih-sengih!

Kalau babak sedih lagilah...

Ada orang bersedih menghadapi babak kematian sambil ketawa? Sayalah orangnya! Akibatnya, babak sedih bertukar jadi seram sebab tiba-tiba mayat pun boleh bangun dan terkekek-kekek ketawa!

Akhirnya saya hanya mampu menjadi penulis skrip dan pengarah drama pentas sahaja!

Mengajar orang berlakon pandai, tapi apabila diri sendiri berlakon...hancur!

Tetapi di pentas dunia, saya memang pandai berlakon.

Kadang-kadang sampai letih dibuatnya!

Walaupun hati sangat sakit, tapi kita masih boleh melebarkan bibir dan tersenyum.

Walaupun hati terluka, kita kebumikan jauh-jauh di dasarnya dan boleh pula bergurau-gurauan dengan muka selamba.

Hipokritnya kita!

Entah berapa banyak topeng yang perlu kita tanggalkan di muka cermin supaya dapat melihat wajah sebenar kita itu.

Ya, menjadi pelakon bukan mudah. Apabila ada hati yang perlu dijaga, kita rela membuang segala rasa sakit demi untuk menjernihkan suasana.

Maka, berlakonlah kita dengan penuh cemerlang. Berlakon dengan watak yang baik-baik, berhati putih, penuh timbang rasa, berbelas kasihan, penuh cinta kasih.

Hakikatnya? Hanya Allah yang tahu.

Apabila kita kembali menjadi diri kita, saat itulah air mata yang tertahan akan berhamburan keluar.

Pada ketika itu, di hadapan Allah...kitalah selemah-lemah manusia!

Entah sampai bila kita akan berhenti menjadi pelakon di pentas dunia.

Dan perlahan-lahan membuka sekeping demi sekeping topeng yang menyaluti wajah sebenar kita!