Total Pageviews

Wednesday, August 29, 2012

Hidup dan Nasi Ulam



Saya mendapat satu analogi baharu tentang kehidupan daripada seseorang yang saya menganggapnya sebagai anak.

Anak itu menulis kepada saya.

“Hidup ini macam nasi ulam. Memakannya sangat enak tetapi penyediaannya cukup rumit...”

Memang dia penggemar nasi ulam yang dibuat emak. Kalau dia datang bertamu, dia akan mengekori emak mencari empat puluh empat jenis daun segar di sekeliling rumah untuk dihiris halus sebagai campuran bahan nasi ulam.

Emak gemar menghidangkan anak cucunya dengan nasi ulam, barangkali untuk mengenang almarhum ayah yang gemarkan makanan itu.

Kadang-kadang saya kasihan juga melihat emak tekun menyediakan bahan. Kalau ada anak ini, dia gemar sekali membantu.

Idulfitri yang lalu, emak berkali-kali menjemput dia datang. Tujuannya supaya sekali lagi emak dapat menyediakan nasi ulam buatnya.

Ya...penyediaan untuk melangsungkan hidup itu memang rumit.

Seperti menyediakan nasi ulam yang enak dan berkhasiat.

Seperti juga kita membesar dan mendidik anak-anak.

Ada yang mati-matian tidak bersetuju dengan cara orang lain mendidik anak.

Kadang-kadang saya berasa mahu menegur orang-orang yang begitu celupar ini.

Anak-anak yang masih kecil memang tiada masalah. Kita dulu pun begitu. Tapi apabila anak-anak sudah dewasa, semua ibu bapa pasti akan diuji dengan karenah anak.

Ingat kita dulu baik sangat?

Jangan harap!

Sebab tidak tahan dengan karenah kitalah, ada ibu bapa yang diserang penyakit darah tinggi, malahan sekali gus mereka menjadi mahir berleter!

Kalau yang celupar itu punya anak-anak yang sudah dewasa tidak mengapa. Ini yang belum sampai delapan tahun bergelar ibu bapa, begitu lancang mengkritik. Masalahnya lagi, kritikan itu pula dibuat di belakang kita!

Menjadi lebih teruk lagi, kritikan itu hasil daripada kepercayaan terhadap hasutan mereka yang jenis tidak meneruskan tarbiah Ramadan yang mulia! Maknanya hanyalah khabar yang tidak berpijak di bumi nyata.

Ziarah lebaran bukan untuk bermaaf-maafan, sebaliknya membuka aib orang lain, mengadu domba dan membuat cerita.

Ramadan dan Syawal sewajarnya menjadikan jiwa kita terdidik.

Mengkritik biarlah berpada-pada. Benda yang sekecil biji saga diperbesar-besarkan sehingga menjadi sebuah Proton Saga!

Memang kita akui, banyak sekali kesilapan yang berlaku ketika proses pendidikan itu berjalan. Ada ibu atau bapa terpaksa membesar dan mendidik anak mereka bersendirian kerana kematian salah seorang pasangan. Sudah pasti produk yang terhasil daripada sebelah tangan tidak sesempurna produk daripada kedua-dua belah tangan.

Pun begitu, kita tidak sepatutnya menjadikan itu sebagai alasan.

Juga kadang-kadang, produk buatan kedua-dua tangan lebih teruk daripada yang dihasilkan dengan tangan sebelah!

Adalah lebih baik jika mereka yang baharu menjadi ibu dan bapa itu, melihat pendidikan anak itu daripada perspektif positif. Jika buruk jadikan teladan, jika baik jadi ikutan.

Menghentam secara semberono, tanpa menghalusi dan cuba memahami cara orang lain mendidik anak, bukanlah satu perkara terpuji sebab dibimbangi, suatu hari nanti anda pula akan diuji!

Anak-anak anda masih kecil. Tunggulah, masanya akan tiba juga.

Seperti kita saat remaja dahulu, mereka juga akan perlahan-lahan menjadi matang. Mana ada manusia yang tiba-tiba sahaja menjadi matang tanpa melalui proses kedewasaan.

Selalu saya mengingatkan untuk diri saya juga, sebuah kata-kata klise iaitu “hidup ini umpama roda”.

Hari ini tangan anda mungkin megah berada di atas stereng mobil mewah tetapi tidak mustahil esok lusa tangan yang sama mungkin berada di bawah tayar pula!

Jangan hanya memikirkan keenakan nasi ulam.

Fikirkan juga kesulitan penyediaan bahan-bahannya!