Total Pageviews

Tuesday, September 25, 2012

Jangan Letih!



“Jangan berdukacita kerana hidup ini meletihkan, sebab demikianlah hidup itu diciptakan”.

Ayat itu saya temui dalam buku yang terlaris di pasaran, tulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni. Buku dengan 592 halaman itu saya beli dua. Satu untuk almarhum bapa mertua dan satu berada di rak buku saya. Cuma apabila Allah memanggil beliau pulang, buku itu dikembalikan semula kepada saya bersama beberapa buah buku lain.

Saya teringat ayat itu apabila seorang anak, meluahkan rasa letihnya dengan tugas yang mencabar, dengan urusan rumah tangga dan anak-anak yang sedang menakal.

Dan terkenang juga mengenai “kitaran yang sia-sia” yang juga saya baca daripada satu sumber.

Apa itu kitaran yang sia-sia? Pergi kerja, hujung bulan dapat gaji, bayar hutang. Bulan ini begitu, bulan depan pun begitu. Tahun ini begitu. Tahun depan pun begitu.

Malahan sepanjang hidup juga kita melalui kitaran itu.

Saya ketawa sendiri. Rupa-rupanya sudah lebih dua puluh dua tahun saya melalui kitaran yang dikatakan sia-sia.

Tetapi bagaimana mahu mengelak?

Nampaknya, saya akan terus melalui kitaran itu sehingga pencen, sebab saya tiada pilihan.

Malah, meskipun agak membosankan tetapi saya tidak pernah sesekali menganggapnya sebagai sesuatu yang sia-sia.

Kita mencari nafkah untuk ibu dan anak-anak. Untuk membantu adik beradik yang ditimpa susah. Itu pun jihad dan ibadat. Tidak punya impian untuk bermewah-mewah. Cukup sekadar sebuah kereta murah, rumah kecil dan kesihatan yang baik.

Dan daripada kesihatan yang baik itu, kita mampu beribadah, mampu mencari nafkah, mampu melindungi anak-anak juga!

Kelihatan begitu pesimistik? Mungkin.

Impian itu perlu ada, tetapi jangan berlebih-lebih mengimpikan sesuatu, dibimbangi kita semakin menjauh daripada rasa syukur terutama apabila melihat keberadaan orang.

Ada antara kita yang silap mentafsir erti kaya dan miskin. Bagi sesetengah kita, orang yang memiliki kereta menjalar-jalar dan rumah besar lima enam tingkat itu orang yang kaya mutlak. Walhal, kereta dan rumah itu kadangkala bukan miliknya. Dalam erti kata lain, semua yang kelihatan mewah itu masih menjadi milik bank.

Bagi kita lagi, orang yang duduknya di kampung itu, punya rumah papan, punya kereta kecil, ada bendang beberapa ekar, ada beberapa ekor kambing dan lembu, ada kebun dan dusun juga; adalah orang miskin. Walhal, semua itu memang miliknya, bukan kepunyaan mana-mana insititusi kewangan.

Barangkali sebab seorang memakai tali leher dengan kemeja yang kemas dan baharu, dan yang seorang lagi dengan baju dan seluar yang dipenuhi lumpur!

Nampak bagaimana kita gemar sekali melihat luaran untuk menterjemah persepsi.

Berasa letih itu adalah sesuatu yang normal. Kadangkala boleh menyebabkan kita berputus asa.

Jika sesekali berasa letih dengan kehidupan, lihat sahaja orang lain yang lebih payah daripada kita.

Dengan melihat orang lain yang sedang bangun perlahan-lahan dengan serba payah, kita akan segera insaf bahawa kita lebih beruntung. Begitulah yang saya lakukan ketika kekecewaan bersarang di dada. Saya menginsafi keberuntungan tatkala melihat bagaimana seorang gadis yang diserang kanser otak berjuang melawan penderitaan. Dia hanya seorang gadis kecil yang belum pun puas menikmati hidup, dan saya sudah hampir empat puluh tujuh tahun berseronok dengan nikmatnya dunia!

Alangkah jauhnya beda!

Kita tidak pernah akan merasakan kitaran hidup itu sebagai sesuatu yang sia-sia jika kita melakukannya dengan matlamat yang jelas.

Letih atau tidak, keberanian menghadapi hidup itu mesti selalu ada.

Baginda Rasul berkata, “sesiapa menjadikan semua keinginannya menjadi satu, iaitu keinginan terhadap akhirat maka Allah akan mencukupkan keinginan dunianya. Dan sesiapa yang banyak sekali keinginannya terhadap dunia, maka Allah tidak akan mempedulikannya di lembah mana dia binasa”.

Bersegeralah kita memohon agar selalu dekat dengan rahmat-Nya, dekat juga dengan keampunan-Nya.

Allah! Allah! Allah!