Total Pageviews

Sunday, September 23, 2012

Seputih Kasih!





“Kakak bukan bayi lagi. Ibu lupa?”

Teringat filem “Road Trip Memories” yang saya tonton di kaca TV. Itulah dialognya! Dan lapan puluh peratus kisah filem itu seakan sama!

Uh! Lupa!

Waktu saya berusia dua puluh dua tahun sepertinya, saya sedang berada di universiti awam juga. Agaknya macam itulah dialog yang akan saya tuturkan jika emak dan ayah berkemampuan untuk menjenguk saya saban minggu!

Saya dan adiknya selalu ketawa-ketawa apabila mengenang si kakak pernah berkata, “ibu orang lain tak macam ini pun,” ketika dia berusia sekitar delapan belas tahun, dalam kegigihan menghabiskan diploma di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, yang juga tidak jauh jaraknya dari universitinya sekarang.

Puncanya, apartment di kampus yang didiaminya selalu menghadapi masalah bekalan air. Maka saya dan si adik akan turun saban minggu membawa bergelen-gelen air mineral yang dibeli di pasar raya. Dan berplastik-plastik makanan juga! Sehinggakan dia terpaksa meminta bantuan kawan-kawan untuk mengangkut bekalan itu ke tingkat atas. Itu belum lagi dengan peti ais, periuk nasi elektrik, suplimen, ubat-ubatan dan bermacam-macam lagi.

Mujur sahaja ada lif!

Dia jadi malu dengan perlakuan saya itu sebab kawan-kawan mengejeknya sebagai “anak manja emak”!

Sekarang, dia sudah sedikit memahami, malah penuh timbang rasa!

“Rupa-rupanya memang semua ibu bapa begitu. Kakak cuma takut ibu sakit dan letih!”

Letih?

Dahulu, saya dan kakak selalu berlucu dengan emak. Kata emak, “hilang penat emak bila balik dan tengok mata anak!”

Jadi, apabila emak sampai sahaja ke rumah daripada pekerjaannya di kebun getah dan bendang, kami berdua akan mengadap muka emak sambil membuka mata luas-luas!

Sekarang? Padan muka saya. Dan kakak saya juga!

Rupa-rupanya cakap emak betul. Seratus peratus sangat betul.

Itulah nikmat rasa yang Allah kurniakan kepada seorang ibu.

Dan Dia menyebut, “anak-anak itu adalah ujian bagi kamu...”

Mudah-mudahan “ujian” yang Allah anugerahkan kepada kita itu adalah ujian yang akan memimpin kita ke syurga-Nya, asalkan kita tidak pernah berhenti berdoa.

Mereka akan menjadi dewasa, sama seperti kita dulunya.

Masa telah mengubah segala. Dahulu kita yang memimpin dia. Sekarang, dia menghulurkan tangannya buat kita.

Beberapa tahun yang lalu, ketika melihatkan anak-anak gadis yang “bergantungan” di lengan kiri dan kanan saya, seorang peniaga Cina berkata, “tak apa. Biarkan mereka pegang tangan kita sebelum nantinya mereka lepaskan tangan kita dan pegang tangan orang lain pula”.

Saya ingat kata-kata itu sampai bila-bila. Kata-kata yang menyedarkan saya bahawa menghargai apa yang saya ada sekarang adalah jauh lebih penting, sebelum kehidupan mengambil mereka dari sisi saya.

Atau saya yang terlebih dahulu “diambil” dari sisi mereka!

Berdoalah agar kehidupan kita dan anak-anak berakhir dengan yang baik-baik dan mereka mampu mendepani rancunya hidup yang mengintai dari segenap arah.

Tak akan jauh seluang yang melaut. Air yang dicincang pasti bertaut.

Apabila sampai saatnya mereka menjadi ibu, mereka akan segera tahu...

Marah ibu hanya di mulut dan tak pernah sampai ke hati!

Kasihnya putih!

Malah keterlaluan dan aneh juga!

Dan saya sedang berusaha menahan diri untuk muncul di kampus itu pada hujung minggu berikutnya!

Berusaha!!!