Total Pageviews

Saturday, September 22, 2012

Ajaibnya Kenangan!




Keajaiban lebuh raya siber.

Setelah dua puluh enam tahun, kami akhirnya bertemu. Dia dengan isteri dan empat anak gadisnya yang masing-masing berusia dua puluh satu sehingga yang kecil dalam lingkungan lima tahun.

Zamzami Nawawi. Duduknya di hujung kelas di barisan saya, saat berada di tingkatan enam Clifford School Kuala Kangsar.

Pertemuan sahabat setelah sekian lama itu hanyalah untuk membangkitkan nostalgia. Hanya itu sahaja yang ada. Kenangan!

Saat mengenang itu yang indah.

Masing-masing kita sudah ditewaskan oleh usia. Yang lelakinya mungkin sudah berperut buncit, kepala pun sudah miskin rambut atau berjanggut. Yang perempuannya juga barangkali sudah jadi elergik dengan alat penimbang berat badan!

“Yang tak berubah. Muka masih macam dulu”. Hehehe...saya tergelak. Biar betul!

“Teman ni je yang badan udah naik sikit!” Dengan loghat Peraknya, dia bersuara.

“Bini teman pandai bela!” begitu dia bercanda waktu berbual di telefon sebelum kami bertemu.

Tapi saya tidak nampak wajahnya dimamah tua. Hanya saiz badan yang sedikit berubah. Sedikit sahaja. Dulu dia sangat kurus. Cuma wajahnya sedikit berbeza.

Sahabat saya itu orang yang baik. Sahabat yang sangat baik juga. Bersungguh-sungguh dia mahu bertemu dengan kawan-kawan. Sebagaimana sikap baik dan mengambil beratnya dua puluh enam tahun lalu, begitu jugalah dia sekarang.

Masa mungkin mengubah fizikal kita. Mengubah juga persepsi dan sikap kita terhadap sesuatu. Tetapi dalam persahabatan, kita berkongsi perkara yang sama.

Ada kawan-kawan yang telah lebih dahulu meninggalkan kita. Ada kawan-kawan yang sedang menderita. Ada juga yang telah berjaya melepasi amukan ujian. Ada yang sedang berada di puncak dan ada yang masih merangkak.

Siapa pun mereka sekarang, tidak penting buat kita. Sebab apabila bertemu, kita akan disamakan kedudukan dengan keajaiban kenangan.

Hanya itu sahaja yang ada buat kita, sahabat.

Kenangan dan keajaibannya!