Total Pageviews

Monday, August 20, 2012

Lebaran Masih Bermakna



Petang berakhirnya Ramadan, hati menjadi sayu.

Sepatutnya sudah berjanji dengan adik mahu menziarahi pusara ayah. Tetapi masing-masing sudah kelelahan.

Esoknya fajar Syawal menjelma. Di pusara ayah, pohon santalia yang ditanam emak sudah merendang. Ayah berjiran dengan guru sekolah agama rakyat saya di sebelah kiri dan di kiri pusara guru saya itu terletaknya pusara pakcik saya, yakni suami adik ayah.

Tidak berapa jauh dari situ, terletak pula pusara anak saudara lelaki saya yang meninggal dalam usia baru mahu mencapai delapan belas tahun.

Emak, anak-anak dan cucu-cucu mengelilingi pusara, menghadiahkan bacaan untuk ayah.

Cuaca Syawal yang cerah, dan saya… juga adik yang bongsu seakan keberatan mahu meninggalkan ayah di rumah yang sudah dihuni sejak 3 Mac 2000.

Meskipun perpisahan kami sudah berjarak dua belas tahun, masih ada sesuatu yang mengikat hati kami. Rindu sekali dengan suara ayah. Rindu yang sebanyak mana pun, tak mungkin dapat mengembalikan ayah ke sisi.

Sebab ayah milik Dia.

Kami juga.

Kita.

Semuanya Dia punya.

Waktu mahu pulang, saya menoleh ke belakang. Ayah masih di situ.

Menuruni laluan berbukit, saya mengesat mata yang basah.

Melihat emak yang kurang sihat menjelang Syawal, saya menjadi begitu takut.

Tuhan, saya merayu. Jangan ambil ibu saya.

Memicit kaki emak, saya menangis di dalam hati. Kaki yang sudah kendur kulitnya, yang tinggal tulang temulang itulah yang setiap hari mencari sesuap nasi untuk kami.

Kini kaki yang sama masih cergas bergerak. Dia sentiasa memastikan setiap anaknya gembira merasai keberkatan air tangan tuanya.

Syawal yang penuh riang ria akan lebih bermakna jika kita masih punya orang tua.

Mujur emak masih ada.

Dan Syawal tahun ini masih bermakna buat kami!