Total Pageviews

Monday, August 6, 2012

"Kota Metropolitan" Lenggong!



Emak sudah bergerak ke perhentian bas. Mahu mengejutkan abang, emak melarang. Malam tadi selepas terawih, abang mengorek kubur untuk pengebumian yang mungkin berlangsung jam empat pagi. Itu kerja amal yang abang lakukan sejak menetap di kampung.

Memikirkan emak akan kepenatan jika ada yang mengusik, saya cepat menukar baju. Latah emak OK saja kalau tiada yang galak mengusik.

Dengan muka saya yang serius menjadi pengawal peribadi emak, pasti tiada siapa yang berani mati mahu mengusik-usik emak. Kalau ada yang berani, siap sedialah menerima jegilan mata saya. Silap-silap saya pun boleh berubah tiga ratus enam puluh darjah menjadi singa juga!

Bukan sekali dua emak tertinggal ikan, ayam dan barang-barang dapur kalau pergi sendirian. Balik ke rumah, emak akan tertidur kelesuan sedangkan emak bukan jenis orang yang tahu duduk diam.

Rupa-rupanya peristiwa sepasukan polis mengejar kumpulan penagih dadah dengan pistol di tangan beberapa tahun yang lalu, benar-benar telah memberikan emak penyakit.

Mahu mengejar penagih yang sudah lalok itu pun mestikah dengan pistol terhunus? Makin menambahkan alergik saya terhadap penjawat awam yang satu ini!

Saya berlari-lari anak ke perhentian bas. Emak masih ada di situ. Perlahan-lahan saya duduk di belakang, mendengar emak sedang berzikir sambil matanya memandang ke hujung jalan raya.

“Bas memang lambat. Kata kolek bas (konduktor bas), syarikat rugi banyak. Orang sekarang lebih selesa pergi dengan kereta. Itu sebab syarikat kurangkan kekerapan mengambil penumpang” emak menjelaskan.

Memang rugi pun sebab kami akhirnya naik kereta sapu yang sudah tua dan berbunyi keriuk-keriak!

Di pasar, tiada siapa yang berani mengusik. Muka saya garang saja mengiringi emak.

Sementara menunggu emak membeli ayam yang baru disembelih (saya ngeri melihatnya), saya duduk di bangku simen memerhati sekeliling.

Pekan ini pembangunannya tidak berpusat. Oleh sebab lebuh raya tidak melalui pekan, jam seakan bergerak lambat di sini.

“Hospital akan dibina juga. Memang sesuailah sebab dekat dengan kubur. Kubur Melayu, Cina dan India...” saya teringat emak berlucu.

Bangunan jabatan pendaftarannya jauh dari pekan. Tandasnya betul-betul di tepi jirat Cina. Terbantut keinginan saya mahu menggunakan tandas!

Pasarnya terbahagi dua. Ada pasar sayur dan ikan. Di tingkat atas, ada kedai jahit, kedai gunting rambut dan beberapa kedai lagi. Saya memang menjadi pelanggan tetap kedai gunting rambut di situ. Cuma baru-baru ini, saya keberatan sebab ada pelanggan lelaki. Tukang guntingnya sudah tahu gaya rambut ala tomboi saya itu!

Di luar pasar, ada yang menjual petai yang gemuk-gemuk, ikan pekasam yang merupakan produk utama Lembah Lenggong, kopi buatan sendiri, ikan kering dan bermacam-macam lagi.

Sebuah gerai menjual makanan ringan milik seorang peniaga Cina masih kekal di depan kedai runcit Syarikat Berjaya kepunyaan peniaga India yang pandai bercakap loghat Lenggong. Dialah yang bersusah payah membeli sejenis pokok herba dan menghantarnya ke rumah emak untuk ubat penyakit saya.

Di barisan kedai runcit, ada sebuah kedai motosikal, saya membeli motorbasikal emak di situ. Di situ juga terletaknya pejabat sebuah parti politik yang sedang mekar pengaruhnya dalam kalangan generasi muda dan golongan ilmuan di bandar prasejarah itu.

Surau dua tingkat yang usang masih juga di situ. Di hadapannya terletak Dewan Merdeka. Saya pernah mementaskan drama bertajuk Genta Bejat di dewan itu. Di sekitar kawasan yang sempit ini, diadakan pasar sehari yang popular dengan gelaran Pekan Sabtu.

Di sana sini, jelas terdengar loghat penduduk setempat. Seperti almarhum ayah (dan emak juga meskipun emak bukan penduduk tempatan), mereka berbahasa Melayu loghat Pattani. Kalau anda ke lembah ini, “tembok” bukan sahaja bermakna binaan batu yang memagari bangunan, tetapi juga membawa maksud “jalan raya”.

Institusi perbankan hanya ada tiga. Bank Malayan (Mayban), BSN dan Bank Agro.

Bazar Ramadan juga sudah berubah lokasi ke sebuah petempatan baharu dengan nama Dataran Lenggong.

Dahulu pada zaman 60-an dan awal 70-an, pekan ini ada sebuah pawagam buruk yang ada pepijat lagi! Filem yang ditayangkan sudah pastilah filem P.Ramlee dan Hindustan. Televisyen merupakan sesuatu yang jauh di awan. Oleh sebab itu, jika hari raya, orang-orang kampung akan menaiki bas ke pekan untuk menonton wayang. Tetapi berada dalam keluarga yang agak terkawal, kami memang tidak berpeluang menonton wayang.

Cuma baru-baru ini kakak menceritakan sesuatu yang agak lucu. Rupa-rupanya dia pernah membawa saya menyelinap masuk ke pawagam di pagi hari raya dan duduk bersila betul-betul di hadapan skrin sehingga terkejut-kejut dibuatnya apabila Rajesh Khana berkelahi berdusyum-dusyum sebab berebutkan si Hema Malini!

Saya tidak ingat langsung, barangkali sebab masih sangat kecil.

Nakal sungguh kakak saya. Katanya dia sangat teringin mahu menonton wayang. Saya pula jenis yang suka mengekori dia ke mana sahaja dia pergi. Beza umur kami cuma tiga tahun. Dia memegang tangan saya erat-erat, menaiki bas yang sesak sehingga ada yang berdiri di tangga. Otaknya memang ligat, dibawanya saya menyusup ke bahagian belakang bas. Apabila sampai di pekan, semua orang pun turun dan konduktor bas tidak sempat mengambil tambang. Kalau diminta pun memang dia langsung tidak berduit.

Di pawagam pula, dia menyelinap di celahan orang ramai. Maklumlah badan kami bersaiz kecil.

Stesen bas dahulunya di bawah pokok beringin yang sangat besar. Ada juga gerai ABC. Kalau difikirkan memang tidak sanggup. Masakan tidak, kami langsung tidak memahami soal halal haram, selamba sahaja makan ABC yang dikepal-kepal dengan tangan peniaga Tionghua, tangan yang sama menyentuh binatang yang diharamkan kita memakannya!

Ada beberapa peniaga Cina yang memang sudah lama menjalin persahabatan dengan almarhum ayah, datuk dan moyang saya. Malahan saat ayah meninggal dunia, mereka tidak dapat menahan sedih. Waktu keluarga kami dilanda kesusahan tahun-tahun 70-an dahulu, peniaga-peniaga ini selalu menghulurkan bantuan. Itulah yang dikatakan, budi dibalas budi. Datuk dan moyang saya pernah menyelamatkan mereka ketika tragedi 13 Mei 1969.

Saya kira, jika kita menunjukkan contoh nilai Islam yang baik kepada mereka, tidak akan berlaku salah faham atas nama rasis atau apa saja yang berkaitan dengannya.

Selesai membeli barang dapur, kami menaiki bas di “Lenggong Central”. Red & Yellow Omnibus yang masih begitu sejak kali terakhir saya menaikinya puluhan tahun yang lalu.

Saya melihat ada kalendar kuda, beberapa poster motosikal berkuasa tinggi dan gambar artis baharu yang ditampal di depan bas berhampiran pemandu. Kalau dahulu, sudah pasti ada poster MGR yang berjambul dan seniwati Saloma dengan kebaya ketatnya.

Meskipun ada bakul sampah yang diikat di tiang, masih wujud sampah seperti tiket dan straw minuman di lantai bas. Locengnya juga sudah senget-senget.

Harga tiket ke kampung saya, RM1 seorang. Kali akhir saya membayar tambang, kalau tak silap saya berharga sekitar lima puluh sen! Tiket itu saya simpan dalam dompet buat kenangan. Entah bila lagi saya berpeluang menaiki Red & Yellow Omnibus yang banyak mengajar saya makna kehidupan itu.

Juga menyebabkan saya sedikit kesakitan! Telinga pun sakit juga mendengar leteran emak sebab saya degil mahu mengikutnya ke pekan.

Sepanjang jalan, tiada lagi jajaran sawah padi. Yang ada hanyalah rumah-rumah lama atau yang baharu dibina. Bendera-bendera parti politik berkibaran di sepanjang jalan kampung yang sempit.

Masa terus berjalan tetapi lembah kesayangan saya masih begini, megah berbangga dengan pengikhtirafan UNESCO, sedangkan nasib warga terus terpinggir.

Jika dahulu, pekan Lenggong jauh lebih “maju” daripada pekan Gerik, situasi sekarang sudah terbalik. Gerik sudah ada pasar raya, juga restoran makanan segera. Ada hospital, pejabat Tabung Haji, kolej komuniti dan kemudahan-kemudahan lain.

Pada saya, kemajuan itu perlu tetapi tidak bermakna memberi lesen besar untuk menarah bukit yang memagari lembah ini sehingga mengakibatkan banjir besar beberapa tahun lalu. Ladang teh yang sudah jadi “mantan” itu entah siapa yang sedang mengusahakannya. Siap dengan pengawal dan anjing besar yang akan memamah tulang-temulang siapa yang berani hampir. Ada juga sesekali saya melihat kelibat “orang putih” dengan rambut comot yang turun dari bukit membeli barangan harian.

Apa pun, saya mencintai lembah ini.

Mencintai keunikan loghatnya yang selalu mengingatkan saya bahawa masih wujud pertalian darah dengan masyarakat Pattani di kepala Semenanjung.

Meskipun tiada lagi sawah yang melatari pandangan, dingin malamnya begitu menggigit. Air gunung yang memenuhi kolah besar emak mampu membuatkan orang-orang kota mandi ala-ala P.Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapuk!