Total Pageviews

Saturday, July 28, 2012

Kembara Landasan Ke Utara



Jam delapan pagi, sudah berada di kaunter tiket.

Tercatat di helaian kertas kecil itu, Koc R1, Seat 9A, Jam bertolak 1.49 petang, koc kelas pertama Ekspress Rakyat ke utara.

Dia menghantar ke stesen selepas usai solat Zuhur. Tren terlambat lima belas minit.Jam 2.05 minit kurang lebih, tren usang itu tiba dari Singapura. 

Rupa-rupanya, koc itu seperti kabin penumpang kelas ekonomi pesawat MAS.Cuma tempat duduknya selesa, lapang sekali. Tempat duduknya dua satu. Ertinya kalau penumpang itu solo, maka tempat duduknya solo.

Sepasang warga emas berketurunan Tionghua dari Kota Singa berdiri saja di tempat duduk mereka. Barangkali sudah lenguh dan mahu melihat pemandangan di sepanjang landasan.

Saya mulakan perjalanan dengan surah Yassin. Tiket diperiksa dan sebotol air mineral serta sepotong kek diberikan kepada saya. Saya menyimpannya di dalam beg, mana tahu takut terlupa!

Tidak ramai penumpang dalam koc. Ada juga warga asing yang saya terka daripada raut wajah mereka. Mungkin dari Turki dan Mongolia, ada juga yang berperawakan Eropah.

Jam 3.17 petang, tren tiba di KL Sentral. Peluit yang berbunyi nyaring memang sangat mengesankan.

Pekerja membersihkan cermin tren dari luar. Sampah-sampah juga dikutip di dalam tren.

Jam 3.25 petang, tren bergerak dari KL Sentral. Berhenti sekejap di bangunan lama stesen KTM. Hati saya basah. Perlahan-lahan saya keluarkan sapu tangan dan mengesat sedikit air mata yang jatuh. Stesen penuh nostalgia yang menjadi saksi bagaimana seorang ibu muda bertubuh kecil kurus menggendong bayinya di hadapan tubuh, seorang lagi dipimpin dan sebuah beg besar yang disandang di belakang; menggunakan perkhidmatan tren setiap kali mahu pulang ke kampung halaman. Tubuh kecil yang menjadi penggantungan dua anak dan sebuah beg besar yang hampir menenggelamkan figurnya sendiri.

Tiket disemak sekali lagi. Saya tanyakan mengapa tiada pengumuman dibuat apabila sampai di stesen.

"Nanti kami maklumkan kepada puan kalau sampai ke destinasi" demikian pegawai bertugas memberitahu saya.

Meskipun sangat kantuk tapi saya mahu merenung langit Ramadan yang cerah. Melepasi stesen Batu Gajah, langit Ramadan mula mendung. Semalam saya melihat ramalan cuaca, memang langit Perak dijangka hujan.

Apabila melihat lambang salib besar di sebuah bangunan sekolah, saya tahu saya sudah tiba di Ipoh. Anglo Chinese School Ipoh yang berdiri tegak di sisi landasan.

Jam 6.02 minit petang, tren tiba di Stesen Ipoh.

Tepat 7.05 minit, saya tiba di Kuala Kangsar. Hanya saya seorang penumpang yang turun dan satu-satunya juga yang ada di stesen yang sedang diubahsuai itu.

"Dalam kesesatan yang nyata..." saya menghantar mesej kepada dia. Keadaan stesen benar-benar berubah. Lokasinya berubah sedikit daripada yang asal. Saya langsung gagal mengesan di mana saya berada waktu itu.

Station master datang dan memaklumkan jika mahu berbuka, saya boleh membeli makanan di restoran yang terletak di belakang stesen.

Saya terus menunggu kakak menjemput. Dia dari Ipoh dan sedang mencari jalan menuju ke stesen yang sudah jadi jalan sehala.

Angin petang berpuput lembut. Seorang tua sedang bersenaman di seberang landasan. Beberapa pekerja Bangladesh yang sudah kelihatan berpakaian kemas menunggu iftar, hilir mudik di tebing landasan. Longgokan tanah menimbun di mana-mana dengan kerangka besi yang berceracak.

Beberapa ekor anjing kejar-mengejar berselisih dengan deruan motosikal dan kereta dari seberang landasan.

Saya mengeluarkan botol air mineral, bersedia untuk berbuka. Surau dan tandas mobil ada disediakan. Tiada masalah jika kakak terlewat. Cuma sunyi dan muramnya senja sedikit menggusarkan.

Peluit yang memekik, kenangan pun menjerit. Landasan dan gerabak kereta api yang sudah begitu lama saya tinggalkan, adalah sejarah zaman perit.

Saya memilih kembara di landasan sebab saya alergi dengan bas.

Malam, saya tiba di Lembah Lenggong. Emak dan puteri sulung saya masih di surau, berterawih. Emak terkejut besar waktu saya muncul.

Esok dan hari seterusnya, saya akan menguruskan hal persediaan puteri sulung untuk menyambung ijazah pengajian Bahasa Inggerisnya di sebuah universiti tempatan.

"Pulang pun saya mahu naik tren" saya memaklumkan walaupun katanya dia mahu menjemput saya dengan kereta. Saya perlu pulang sebab temujanji dengan doktor!

Saya mahu meneruskan kembara, bukan dengan cerita sedih tetapi episod gembira. Biarpun gambaran itu masih membayangi tatkala tiba ke bangunan lama stesen KTM, saya mahu melihatnya dengan mata yang lain.

Dengan mata kepuasan seorang ibu yang sudah berjaya melepasi laut dan bukit ujian.

Ibu yang semakin berinsut tua, dengan hati yang sesekali masih muda belia!