Total Pageviews

Tuesday, August 14, 2012

Bulatan Takdir



“Jadi, mak...kalau hidup kita ini memang telah ditakdirkan begitu dan begini sejak sebelum kita lahir, buat apa kita berusaha lagi?” tanya saya dalam kedunguan seorang budak kecil yang berusia awal sekolah rendah.

Emak memang tercabar dengan soalan itu. Apatah lagi, dia tidak pernah bersekolah. Sekolahnya hanya berdasarkan pengalaman dan pengamatan terhadap kehidupan.

Emak kemudian mengambil ranting. Melukis bulatan di tanah.

“Ini takdir si anu” emak menunjukkan bulatan itu.

“Setiap hari dia berdoa agar Allah sentiasa melindungi dia. Bukan setakat berdoa tapi dia juga amat mementingkan keselamatan. Dia akan menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada kenderaan yang lalu saat mahu melintas. Dia memastikan juga motosikalnya sentiasa berkeadaan baik...” emak berhenti mengambil nafas. Barangkali mencari perkataan yang sesuai untuk memahamkan saya.

“Takdir tercatat bahawa dia akan meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya. Memang dia meninggal di jalan raya tetapi keadaannya barangkali tidak seteruk kemalangan yang kamu nampak hari itu. Doa dan usahanya dimakbulkan Allah...” terang emak.

Jadi, itukah sebabnya kita diminta terus berdoa dan berusaha, bukan menyerah kepada takdir semata-mata?

Otak kecil saya memahami analogi emak.

Mungkin penerangan emak tidak setepat isi ceramah para ustaz dan ustazah. Tetapi cukuplah sekadar untuk memahamkan seorang anak kecil yang terus-terusan bertanya.

Pesan emak, apabila sudah besar nanti carilah jawapannya dengan merujuk para agamawan dan kitab agama. Jangan bergantung kepada jawapan emak!

Saya memahami maksud emak itu.

Terutama apabila saya berdepan dengan takdir yang merempuh dan memaksa saya berusaha gigih mempertahankan kehidupan yang sedang saya lalui.

Memang, apabila kita diusik musibah, kita terduduk sekejap. Kita menangis dan menangis. Kita menyoal dan menyoal. Kita menyalahkan kesilapan diri. Kita menyalahkan orang lain. Di keliling kita penuh dengan aura negatif, hitam dan kelabu.

Tidak ada orang yang bersorak dan melompat kegembiraan apabila diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tiada juga yang ketawa terbahak-bahak apabila patah riuk dilanggar kereta.

Saya tulis “orang yang tersayang”.

Kalau orang yang “menjahati” kita tiba-tiba hilang, kita menangis juga tapi dalam hati berdondang sayang. Hati kita bukannya putih melepak. Ada juga titik hitamnya tertempek di situ.

Ada yang bersorak riang kalau tiba-tiba kereta kesayangan yang baru kita beli kena lenyek dengan struktur tiang konkrit yang tergelincir dari treler macam yang berlaku baru-baru ini?

Ada?

Kalau ada, memang dalam otaknya ada urat yang sudah putus!

Tapi biasanya kita tidak terduduk dengan begitu lama. Akan ada keberanian yang memaksa kita bangun.

Anak kecil yang mahu disuapkan nasi, kalau kita pula terus duduk-duduk menangis, siapa mahu berikan kita wang?

Kita pun bangun untuk berusaha supaya kita tidak terus berada di tengah bulatan takdir. Sekurang-kurangnya setelah gigih berusaha, kita mampu berada betul-betul di tepi garisan akhir. Kita mampu menyekolahkan anak-anak sehingga ke pusat pengajian tinggi. Kita mampu mengajarnya solat dan amalan-amalan agama. Kita mampu memberikan nilai-nilai baik dalam kehidupan. Mampu juga memiliki sebuah rumah kecil dan kereta.

Compang-camping di sana sini, itu perkara biasa. Mana ada manusia yang serba sempurna?

Kata orang, hidup ini satu perjuangan.

Tapi apa isi perjuangan kita, yang akan menentukan di mana duduknya kita di dunia yang lagi satu.