Total Pageviews

Saturday, July 21, 2012

Selamat ber"serai"!


Set Induksi:

Pak Tam sedang duduk di ruang tamu menonton sinetron “Puteri Yang Ditukar”. Waktu berbuka masih lama, lebih kurang dua jam lagi. Tiba-tiba anaknya, Faiz datang ke ruang tamu.

“Abah, mak nak minta cerai...”

Hah!...Pak Tam sangat terkejut. Hampir terjatuh dia dari kerusi. Apa salahnya sehingga Mak Yam mahu meminta cerai? Takkanlah sebab dia terlupa membeli kurma Yusof Tayyub di kedai runcit Lebai Kay Dan Anak-anak semalam?

Pak Tam memanggil Mak Yam.

“Awak merepek apa bulan-bulan puasa ni Yam? Tiba-tiba pulak nak minta cerai?” tanya Pak Tam tidak puas hati.

“Bila masa pulak saya minta cerai?”

“Tadi si Faiz cakap dengan saya yang awak nak minta cerai!”

Pak Tam lupa bahawa anaknya si Faiz pelat. Itu sebabnya dia memberi anaknya minum air ECPI 1.5 liter sehari dengan harapan anaknya itu akan sembuh.




Kali ini Ibu Bunga Matahari akan memberikan sedikit info berkaitan bahan masakan yang memang sentiasa ada di setiap dapur rumah kita, khususnya sepanjang Ramadan ini.

Kita akan memfokuskan tulisan ini kepada salah satu tumbuhan yang sangat dekat di hati kita iaitu serai makan.

Kalau siapa yang tidak kenal apa itu serai makan, mungkin orang itu makhluk asing yang datang dari Planet Musytari!

Salah satu khasiat serai ialah bahan analgesik dalam minyak serai mampu mengurangkan sakit dan inflamasi. Ia juga mampu melegakan sakit otot, sendi, sakit gigi dan sakit kepala. Juga turut mengurangkan sakit badan yang diakibatkan daripada senaman yang dilakukan secara tiba-tiba.

Kadang-kadang badan kita yang terlalu manja ini terkejut dan melatah apabila kita tiba-tiba melakukan senaman.

Bahan antikemurungan dalam minyak serai boleh merangsang keyakinan, semangat, kekuatan mental dan melawan kemurungan (jangan lupa merawat kemurungan dengan membaca al-Quran juga).

Bahan antimikrob dan antibakteria dalam minyak serai membuatkan ia sesuai digunakan untuk menyekat pertumbuhan mikrob dan bakteria di dalam atau di luar tubuh. Ia dikatakan boleh menyekat jangkitan bakteria di kolon, perut, saluran urinari, luka, sistem pernafasan dan lain-lain lagi.

Bahan galaktogogue dalam minyak serai juga amat baik untuk wanita. Ini adalah kerana bahan tersebut adalah agen yang mampu meningkatkan pembentukan susu dalam payudara. Ia amat sesuai untuk ibu yang sedang menyusui bayi.

Khasiat yang di atas tu khusus untuk ibu-ibu muda, yang sudah sebaya saya dan sudah "luput tarikh" tak payah susah-susah nak fikir.

Serai boleh membantu mengubati sakit demam kuning. Bagi merawat demam kuning, secekak pokok serai direbus dalam bekas mengandungi sebaldi air. Keseluruhan pokok termasuk akar dan daunnya direbus sehingga air rebusan menggelegak. Selepas beransur suam, ia kemudian dijadikan air mandian dan sebaik-baiknya tidak dibilas dengan air biasa. Amalkannya tiga kali sehari iaitu setiap kali waktu mandi sehingga demam kuning benar-benar sembuh.

Walaupun warna "kuning" dianggap warna sensitif di negara kita sekarang ini (selain daripada warna oren dan hijau), tapi sebab yang ada dalam ensaiklopedia perubatan hanyalah penyakit demam kuning; saya tak boleh sesedap rasa menggantikannya dengan demam merah jambu atau demam biru tua!

Mandian air rebusan serai ini juga sangat sesuai untuk ibu-ibu dalam pantang kerana ia boleh menghilangkan bau hamis badan.

Sebenarnya kalau kita yang tidak dalam pantang pun boleh mandi, dengan izin Allah memang badan kita rasa segar. Apalagi jika dimasukkan sekali daun serai wangi. Memang menangis bakteria dibuatnya!

Bahan antipiretik dalam minyak serai dikatakan boleh merawat demam. Bahan karminatif dalam minyak serai dikatakan mampu mengawal masalah angin dalam badan. Ia bukan sahaja mampu mengurangkan angin daripada usus tetapi mampu menghentikan pembentukan angin dengan lebih lanjut.

Untuk yang kuat naik angin, itu sendiri cari ubat!

Kajian juga telah menunjukkan bahawa serai memiliki bahan antibakteria dan antikulat. Dalam perubatan tradisional, serai yang dicampurkan dengan lada hitam boleh merawat masalah haid dan loya.

Serai juga mampu memperbaiki kulit dengan cara mengurangkan jerawat. Ia bertindak menegapkan otot dan tisu. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah. Caranya adalah dengan meminum air serai yang telah direbus. Serai amat terkenal dengan kesan memberi ketenangan yang mampu melegakan insomnia dan tekanan.

Serai juga membantu mengurangkan kolestrol iaitu asid lemak tepu yang terdapat dalam badan menerusi pemakanan. Bagi mengurangkan kolesterol, tiga atau empat batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya diracik-racik terlebih dahulu sebelum direbus. Segelas air rebusan itu kemudian diminum perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang.

Selalunya, mereka yang mengamalkannya dapat melihat kesan pengurangan kolesterol dalam beberapa minggu. Tetapi pada waktu yang sama pengambilan makanan berkolesterol tinggi perlu dielakkan.

Maknanya tak guna juga amalkan minum air rebusan serai itu kalau tiap-tiap hari kita melantak nasi arab di Senawang atau nasi lemak di restoran Cik Nan di Pekan Lenggong sampai dua tiga pinggan!

Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa setiap 100gm serai yang direbus mengandungi beta karotena, sejenis antioksidan yang dipercayai oleh ahli saintis mampu mencegah kanser. “Citral” ada kunci utama yang memberikan rasa dan bauan seakan lemon di dalam sebahagian jenis herba atau rempah ratus seperti serai.

Hasil daripada penyelidikan mendapati “citral” akan menyebabkan sel-sel kanser ini “membunuh diri sendiri” dengan mengunakan “apoptosis”, sejenis mekanisme yang dikenali sebagai sistem sel mati. Hanya dengan meminum sebanyak satu gram air rendaman serai segar sudah cukup untuk “citral” memaksa sel-sel kanser membunuh diri.

Subhanallah!

Malah, serai juga boleh digunakan sebagai bahan untuk memastikan anjing tidak menyalak secara keterlaluan atau bersikap agresif. Caranya adalah dengan menyemburkan bau serai pada anjing tersebut.

Itu pun kalau ada yang berani pergi dekat anjing yang tengah galak menyalak!

Ada petua tradisional yang mudah dan murah untuk melebatkan rambut anda. Ambil beberapa batang serai dan tumbuk sehingga pecah. Rebus batang serai yang dihancurkan dengan air hingga mendidih. Apabila air rebusan telah sejuk atau suam-suam kuku, sapu sapu hingga rata, pastikan air rebusan serai meresap ke kulit kepala. Biarkan selama lebih kurang dua jam, kemudian bilas dengan air biasa. Amalkan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Apa pun, kita perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Nasi ulam hidangan berbuka,
Wanginya bau hirisan serai,
Sungguh kasih kepada adinda;
Walau sehari tak sanggup bercerai.

Moralnya: kalau anak tu pelat, jangan suruh dia pergi beritahu ayahnya bahawa ibunya mahu minta serai. Tak pasal-pasal ada yang merajuk dan makan hati.

Jumpa lagi dan selamat ber"serai", bukan ber"cerai"!