Total Pageviews

Monday, July 23, 2012

Ibadat Tekan Brek




Tazkirah yang menggunakan contoh yang mudah difahami, mudah pula akan menarik ramai gologan muda atau yang kurang ilmu agama seperti saya (saya bukan muda, tapi masih kurang ilmu agama).

Itu faktor penyebab mengapa kuliah UAI begitu digemari golongan muda yang sifat semulajadinya sentiasa ingin tahu.

Saya ada mendengar tazkirah awal pagi yang juga menggunakan pendekatan yang sama. Meskipun tidak selucu isi kuliah UAI, tetapi banyak hal yang disebut merupakan benda-benda yang setiap kali tibanya Ramadan, akan selalu dibicarakan. Ramai yang merungut, benda yang sama sahaja disebut saban tahun sehingga telinga enggan mendengar.

Tetapi cara penyampaian ustaz ini, menyebabkan corong telinga saya terbuka luas.

Puasa hanya sebagai adat, bukan ibadat.

Ramai yang begitu, kata ustaz.

Ramadan ini sepatutnya mendidik jiwa kita untuk mengelakkan pembaziran, tetapi nampaknya kita menggalakkan pem”bazar”an di mana-mana!

Bukan maknanya tidak boleh berniaga tetapi para peniaga jangan hanya berniaga sehingga mengabaikan solat. Perhatikan bazar Ramadan, adakalanya tiada surau mudah alih yang disediakan . Asar selalu hilang sebab waktu-waktu begitulah bazar akan sibuk dengan aktiviti jual beli.

Bukan juga tidak boleh membeli. Teruskan dengan aktiviti jual dan beli tetapi awas jangan sampai membazir.

Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang menjadikan puasa sebagai adat. Kita puasa tetapi tidak solat. Puasa tetapi tidak menutup aurat. Kita memenuhi saf untuk terawih hanya di awal Ramadan. Sebab di hujung-hujung Ramadan, kita sibuk membeli-belah baju raya sehingga tiga puluh pasang, sibuk juga menukar langsir, menukar kereta dan menukar segala yang boleh ditukar.

Kaum perempuan, mungkin boleh dimaafkan jika saf solat terawihnya tidak penuh sebab dalam sebulan mereka ada cuti semester.

Untuk menjadikan puasa kita sebagai ibadat, kita perlu faham puasa itu apa serta faham adab-adab berpuasa.

Kata ustaz, puasa ini ibadat tekan brek, sedangkan ibadat-ibadat lain seperti solat, haji, zakat dan sedekah merupakan ibadat tekan minyak.

Kalau solat, kita kena tekan minyak kereta supaya kita dapat “bergerak ke hadapan”. Kita kena berdiri, rukuk dan sujud. Kalau menunaikan haji, kita kena tawaf dan saie. Kalau zakat, kita kena ambil duit dan mengeluarkan zakat.

Tetapi puasa merupakan ibadat tekan brek kereta. Mengapa?

Tekan brek, kita kena buat apa? Puasa ialah ialah ibadat “tak buat”, ibadat berhenti.

Kita berhenti makan, minum, memaki hamun atau bersama suami atau isteri. Kita menahan diri daripada perkara-perkara tertentu dalam jangkamasa tertentu mengikut kaedah-kaedah yang tertentu.

Alhamdulillah, terima kasih ustaz atas ilmu yang sangat bermanfaat.

Saya mahu menekan brek kereta sekarang sebab waktu imsak sudah tiba.

Saya juga mahu menekan minyak kereta sebab azan subuh sudah kedengaran!