Total Pageviews

Monday, July 2, 2012

Jintan Hitam Yang Ajaib




Jintan hitam. Habbatussauda.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasullallah S.A.W yang bermaksud, “ tetaplah kamu dengan habbatussauda kerana sesungguhnya baginya terdapat ubat segala penyakit kecuali al-sam (mati)”

Satu hadis yang sangat popular kalau kita rajin mendengar promosi minuman dan makanan kesihatan di corong radio IKIM.

Ramai orang sekarang sudah kembali kepada makanan sunnah. Produk makanan dan minuman sudah punya campuran dengan bahan-bahan ini termasuklah madu, buah delima, minyak zaitun, kurma dan sebagainya.

Sejak disahkan ada sedikit penyakit, saya membeli dua kilogram habbatussauda yang dibawa terus dari Kota Mekah. Insyaallah saya akan memesan sekilogram lagi sebab bekalan habbatussauda itu telah habis.

Saya tidak memasukkan herba ini ke dalam masakan sebaliknya memakannya mentah-mentah. Jika menurut buku perubatan Islam, malahan saranan daripada perawat di Darussyifa, segenggam habbatussauda ini perlu ditumbuk dan dicampur bersama madu, langsung diminum. Jika boleh lakukan beberapa kali dalam sehari.

Tetapi saya alah dengan madu. Kemanisannya boleh “membunuh”. Maka saya memakan herba ini dengan pinang dan sirih. Kalau tiada kedua-duanya, saya makan begitu saja. Walaupun rasanya kurang enak, tapi tidak mengapa.

Hasilnya?

Oh Allah, Dia telah memberikan keajaiban-Nya.

Badan kurang berangin, saya berasa sihat tanpa ada masalah demam. Kalau dulu saya selalu sakit dan lenguh badan, sekarang tidak lagi.

Penyakit saya pun sudah mula beransur pulih meskipun saya perlu berhati-hati. Di bawah pemantauan wajib pakar selama lima tahun, saya perlu bersungguh-sungguh mengawal stres dan pemakanan. Ajaib sekali apabila suntikan yang sepatutnya saya ambil (dan bermakna di”monopouse” secara paksa), akhirnya ditarik balik. Maha Suci Dia yang selalu mendengar.

Segala suplimen dan herba adalah "nasi" yang mengenyangkan saya setiap hari. Emak pun geleng kepala melihat kesungguhan saya menghabiskan berbotol-botol suplimen dan segala ubatan yang memenuhi meja. Maklumlah, saya seorang pekerja dan banyak hutang pula. Anak-anak masih di kampus. Apabila saya diberikan cuti, saya mesti benar-benar memanfaatkan cuti itu untuk berehat, mengubati diri, termasuklah membelanjakan sejumlah besar wang untuk suplimen setiap bulan. Saya tidak mampu bersenaman di padang untuk mengeluarkan peluh. Mengurung diri daripada matahari memang aktiviti yang menjemukan. Tetapi istiqamah saya dengan suplimen dan herba-herba itu pasti membantu saya untuk sihat.

Berbalik kepada si jintan hitam. Pernah anak saya diserang demam waktu cuti semester. Saya memujuknya ke doktor tapi dia enggan. Sebaliknya dia makan habbatussauda dan minum dua botol besar ECPI, dengan izin Allah, demamnya kebah tidak sampai dua hari.

Sekarang, sudah tiada bekalan panadol dalam tas tangan saya.

Saranan saya, amalkan memakan jintan hitam ini dengan istiqamah. Selebihnya tingkatkan doa agar Allah mengeluarkan segala penyakit berbahaya dari dalam tubuh kita, yang mengekang kita daripada beribadah kepada-Nya.

Insyaallah, jintan hitam itu adalah salah satu jalan ikhtiar yang Allah anugerahkan kepada manusia.