Total Pageviews

Wednesday, June 27, 2012

SEMANGAT!!!!!!!!!!!!!!!




Lebih baik berusaha menyalakan lilin daripada menyumpah kepada kegelapan.

Kata-kata hikmah yang mampu menyerlah kebenarannya ketika tiba-tiba bekalan elektrik terpadam!

Kadangkala sebagai manusia, kita cenderung untuk mengeluh dan menyesali musibah yang menimpa. Kita hanya duduk termenung dan terus-terusan mengeluh. Kita lupa bahawa sebanyak mana pun keluhan kita, masalah tidak mungkin akan selesai semudah mengunyah keropok Mony.

Contoh yang mudah ialah kalau kita sedang menunggang basikal melalui sebuah jambatan. Tiba-tiba entah bagaimana, laluan tersasar dan kita terjunam ke dalam sungai dengan basikalnya sekali!

Kita pun memarahi diri sendiri kerana cuai. Marah itu menjangkit-jangkit sehingga kepada basikal dan jambatan yang tidak berdosa.

Mengeluhlah kita sampai terbenam matahari, kita akan terus kekal di situ. Melainkan kita berusaha bangun, menyeret basikal ke tepi dan bergerak mendaki tebing sungai.

Kalau pun tidak mampu, maka berdoalah. Dengan senjata doa, akan memberi kekuatan kepada orang yang lemah. Doa memberi harapan pada saat kita sedang berputus asa.

Semua kita pun pernah terluka. Luka yang berparut di kulit, lama kelamaan pasti akan sembuh. Begitu juga luka di hati yang akan perlahan-lahan terpadam dengan berlalunya masa. Kata orang, masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan sampai kita melupakan kegagalan dan rasa sakit hati.

Untuk melupakan, bukan satu perkara mudah kecuali kita jatuh dan kepala kita terhantuk di batu. Langsung kita hilang ingatan seperti episod klise yang banyak terdapat dalam drama Korea atau Indonesia.

Sejarah sangat sukar untuk dipadam. Tetapi orang yang berjaya tidak hidup di pinggir peristiwa, bukan orang yang kosong tanpa nilai dan bukan orang yang hanya menjadi pelengkap.

Berusahalah memujuk diri kita sendiri bahawa setiap perkara ada gantinya. Setiap perlakuan ada ganjaran. Setiap kejadian ada hikmah di sebalik kejadian.

Memang semua itu pujukan klise. Tapi klise pun tidak mengapa, asalkan kita terus memujuk hati sehingga akhirnya kita mampu berdiri tegak semula.

Masalah tidak akan selesai. Setiap saat masalah akan datang menjenguk kita sama ada kita menyukainya atau tidak. Kita tidak mampu menutup pintu dan jendela, sebab masalah tetap akan datang melalui lubang angin di sisi atap atau melalui saluran paip di sinki!

Orang bijak pandai menyebut, masalah akan mendewasakan manusia. Jika tiba-tiba kereta kita rosak sedangkan mesyuarat akan bermula lagi lima belas minit, kita pasti berusaha untuk ke bilik mesyuarat dengan apa saja cara. Kalau anak kita sakit dan terlantar di katil hospital sedangkan kita tidak punya biaya, waktu itulah otak kita cergas berfikir bagaimana mahu mencari wang melunaskan bil rawatan.

Masalah akan menjadikan kita manusia yang berusaha.

Untuk kita; saya dan anda yang selalu dihujani masalah, depanilah dengan segenap kekuatan yang masih bersisa. Hidup adalah satu perjuangan yang tidak pernah selesai. Menangislah jika air mata itu dapat meringankan kesakitan.

Semangat!!!!!!!!!