Total Pageviews

Wednesday, July 4, 2012

Kalau saya menjadi baju...



Ada senaskah buku pantun yang dihadiahkan oleh penulisnya, Almarhum T. Alias Taib (Tengku Alias Tengku Taib) kepada saya. Saya melihat tarikh catatannya ialah 25 Januari 2001. Beliau mencatat dalam bahasa Inggeris, “Laila, keep on writing. Don't stop'”.

Saya membawa anak-anak yang masih kecil dan saya beritahu mereka, lelaki yang tinggi dan berambut kerinting itu seorang penulis yang sangat terkenal.

Waktu itu kami bertemu di Rumah Gapena. Puisi saya (Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan) antara yang menang dan dipilih untuk diantologikan dalam “Aksara Merdeka”. Puisi itu akan dibacakan oleh wakil-wakil negeri yang bertanding dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan selama lima tahun.

Sebetulnya lima tahun selepas itu, sebuah puisi saya “Taman Merdeka” terpilih sekali lagi dan diantologikan dalam “Jamung Merdeka”.

Tahun 2001 itu, barangkali beliau merupakan panel penilai.

Kami bertemu lagi di Hotel Renaissance Kuala Lumpur tahun itu juga. Sekali lagi saya memenangi hadiah utama kategori puisi. Puisinya juga menang hadiah. Tapi oleh sebab saya bukan jenis orang yang suka menonjol (dan sebetulnya lebih kepada rasa rendah diri) saya segan sekali mahu menyapa. Kami bergambar bersama-sama menteri, tetapi saya tidak se”glamour” pemenang lain yang cantik-cantik pakaian dan anggun penampilan. Dia pun pasti tidak mengingati wajah saya.

Saya kira saya pasti akan bertemunya lagi. Saya peminat puisinya sejak sekolah rendah. Masih segar di ingatan bagaimana saya selalu mengambil buku puisi kakak (yang digunakan sebagai teks untuk SPM tahun sekitar 1970-an) dan muka pertamanya ialah sajak beliau tentang “air yang melompati batu”.

Kalau ayah membawa saya ke lata di hujung kampung, minda kanak-kanak saya selalu melihat “air yang melompati batu” persis yang dipuisikan oleh T.Alias Taib itu.

Impian saya untuk bertemunya sekali lagi tidak kesampaian. Anak jati negeri penyu menangis itu meninggal dunia pada 17 Ogos 2004.

Sekali-sekala saya akan membuka buku yang dihadiahkannya. Ada dua tandatangan di situ.

Satu tandatangan beliau dan satu lagi tandatangan Jins Shamsuddin yang kebetulan hadir. Anak sayalah yang meminta tandatangan beliau di naskah itu sebab anak tidak membawa buku nota (mereka yang masih kecil menjadi perhatian dalam majlis sebab tetamu memikirkan mereka pasangan kembar berlainan jantina. Jenuh saya memberi penjelasan malam itu, terutama apabila melihat wajah si adik yang tidak puas hati apabila disapa “abang”. Memanglah pakaian mereka sama, wajah ada iras yang sama tetapi si adik bukan lelaki meskipun kelihatan seperti lelaki!)

Ada beberapa hal yang dicatat oleh T.Alias Taib yang sependapat dengan saya.

Antaranya ialah, “ di Malaysia, majlis baca puisi hari ini dipenuhi penyanyi dan aktres jelita yang tidak mempunyai pengetahuan latar tentang puisi; jauh sekali pengetahuan tentang kaedah membaca puisi dengan betul. Mereka diundang semata-mata kerana ada nama, besuara lunak dan jelita. Oleh kerana itu mereka gementar, gagap dan sumbang di pentas”

Itulah juga sebabnya saya tidak pernah hadir jika majlis baca puisi dipenuhi artis! Bukan sebab mereka gementar di pentas (sudah biasa di pentas, mustahil mereka akan gementar) tapi saya memang alergik dengan persatuan penulis yang gemar mengundang artis (dan kadang-kadang politikus yang "memualkan") dengan niat “murni” mahu “memasyarakatkan” puisi.

Kalau mahu memasyarakatkan puisi, artis sahajakah yang ada di Malaysia ini?

Komennya lagi,

“Hampir 95% daripada drama di televisyen Malaysia adalah kisah perebutan cinta, minum teh petang, melonggar dan mengetatkan simpul tali leher, berbual di telefon, menari dan mabuk di disko. Selepas 10 atau 15 minit menonton drama Melayu, saya sudah boleh meneka bagaimana cerita itu akan berakhir. Lazimnya, lapan daripada sepuluh tekaan saya tepat”

Catatannya yang menyentak hati saya ialah,

“Ibu adalah pelukis. Pada tangannya terdapat berus, warna dan kertas putih. Masa depan anak-anak bergantung kepada warna yang dibancuhnya; lembut atau garang, cerah atau gelap, sejuk atau panas. Seorang ibu mengambil masa dua puluh satu tahun membesarkan anaknya, si anak hanya memerlukan beberapa minit memusnahkan hidup ibunya”

Dan catatan yang perlu difikirkan dengan mendalam, “Tiada guna membaiki jam pada tukang jam yang memakai jam mati...”

Saya dapat mengesan kepercayaan politik beliau daripada beberapa catatannya.

“Zaman dulu gadis ke bendang,
Zaman ini gadis ke kilang;
Zaman dulu politik juang;
Zaman ini politik wang”

“Orang miskin berhati gundah,
Meski gundah tetapi mulia;
Pemimpin tulen berani melangkah;
Bendul penjara dengan ceria”

Tulisan-tulisannya akan terus saya baca meskipun dia sudah tiada. Pesanannya bahawa “orang yang tidak sanggup kalah tidak akan menang” akan selalu saya ingat.

Pasti selalu saya ingat sebab kalah atau memang adat kehidupan dan kehidupan ini pula tidak punya getah pemadam atau “liquid paper” untuk memadamkan apa-apa yang kalah!