Total Pageviews

Friday, July 6, 2012

Hujan Pagi dan Kotak Kenangan Atika Atira



Jam 4.30 pagi, hujan pagi Jumaat 16 Syaaban yang mulia.

Piza domino sejuk untuk sahur dengan secawan minuman herba, dua gelas ECPI dan suplimen.

Selalunya selepas subuh dan mengaji, lelap sekejap sementara menanti dhuha. 

Hujan pagi yang cantik dan dingin.

Mata sudah pedih, kepala berpinar tetapi saya tidak juga lelap.

Saya memanjat kerusi. Ada sebuah kotak yang sudah usang di atas almari. Sedikit habuknya saya sapu.

Di atas kotak itu tercatat “Kotak Kenangan” dengan pen merah. Ada sajak yang saya tulis di situ, tetapi sebahagian tulisannya sudah agak kabur.

Membuka kotak itu seperti membuka semula kenangan. Di dalamnya sarat dengan kad-kad buatan sendiri dan juga yang dibeli.  Mereka tahu saya sangat menghargai kad yang dibuat sendiri, lebih tulus dan abadi.

Juga lukisan anak-anak waktu mereka masih kecil. Paling banyak lukisan “Ibu Saya” dengan mercu tanda tahi lalat di batang hidung, di sebalik kaca mata. Sajak-sajak anak, sebuah buku harian yang penuh dengan catatan cinta sedih gembira tulisan saya dan suami, sebuah skrip drama pentas saya bertajuk “Genta Bejat” yang pernah dipentaskan beberapa kali, surat pelajar-pelajar, catatan anak-anak yang membuatkan saya ketawa sendiri, ada kalanya pantas mengalirkan air mata di pipi.

Sekeping kad buatan sendiri dengan tulisan yang hiruk-pikuk, dan lakaran tiga perempuan bergaun seperti sang puteri.

“Ibu, selamat hari jadi. Maafkan kakak, ibu, sebab selalu buat ibu marah. Kakak tak dapat kontrol kemarahan kakak. Akak tak tahu nak kontrol kemarahan kakak macam mana. Terima kasih ibu sebab sanggup menjaga kakak, ibu tetap bersabar. Tahniah! Yang benar, anakmu”

Saya tergelak besar. Sempat lagi dia mengucapkan Tahniah! Kemudian dia menulis dua rangkap syair mengenai jasa ibu. Sedap juga syairnya, rima akhirnya juga betul.

Sekeping lagi kad dengan lakaran beruang, sebelah tangan memegang buku dan sebelah tangan memegang ijazah, “Tahniah kerana mendapat tempat pertama. Akak minta maaf kerana buat salah UUM tadi. Maklumlah buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, kami budak baru belajar, apa salah tolong tunjukkan”

Di kad itu tidak tercatat tarikh tapi saya pasti sekitar tahun 1999, saat mereka menemani saya ke majlis konvokesyen Masters of Science Management di UUM.

Tapi yang buat saya rasa lucu ialah pantun itu. Pandai juga dia memujuk.

Kali terakhir dia menulis dalam bahasa ibunda ialah sekitar tahun 2003 waktu berada di tingkatan satu. Waktu itu dia memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Menulis Cerpen Perpaduan peringkat Kebangsaan dengan tajuk “Subha”. Hadiahnya RM1000, dengan sijil dan beberapa naskah buku. Dan selepas itu anak ini lebih selesa menulis dalam bahasa Inggeris.

Sekeping lagi kad buatan sendiri dengan mercu tanda yang mudah untuk diketahui siapa pengirimnya.

Kura-kura!

Ada dua ekor kura-kura. Seekor besar dan seekor kecil. Dengan catatan “ibu dan adik”.

Sedari kecil, itulah tanda mudah untuk mengenali anak ini. Lukisannnya sehingga sekarang dipenuhi kura-kura, seperti anak patung kura-kura pelbagai saiz yang memenuhi ruang katil bujangnya.

“Assalamualaikum. Selamat hari raya puasa kepada ibu yang tersayang. Saya mendoakan ibu sihat sejahtera. Tujuan saya bagi kad raya ni untuk menggembirakan hati ibu, kalau tak bagi ibu mesti merungut sebab ibu tak pernah dapat kad raya.Emmm...tak apalah saya tak larat nak tulis ni. Sekian”

Hahahaha...dia memang pakar dalam bab menggembirakan hati ibunya.

Saya pasti mereka terkejut sebab saya masih menyimpan semua kenangan itu. Mereka tidak pernah tahu ada sebuah kotak lusuh berhabuk yang di dalamnya terisi kisah suka dan duka.

Hujan pagi ini menghujankan hati saya dengan sebuah sajak yang ditulis dengan pensel.

Tulisan seorang anak kecil Tahun Lima dengan bahasanya yang biasa-biasa tetapi ditulis daripada hati. Dan saya menurunkan catatan ini tanpa sebarang pembetulan.

Tajuknya ringkas. “Ibu”.

“Meskipun dirimu letih melayan karenah kami
tetapi di sebalik letih
tersembunyi kasih sayang
kasih sayang yang tidak dapat dihilangkan oleh
sesiapapun
kecuali yang maha esa
walaupun iras wajahmu memaparkan wajah gembira
tapi, aku tahu dalam hatimu penuh seribu kedukaan
daripada pagi sampailah ke malam
tanganmu tidak berhenti bergerak
mencari rezeki, mencari sesuap nasi
bukan mudah menggantikan tempat bapa
yang sudah pergi meninggalkan kami
setengah ibu setengah bapa
itulah tanggungjawab yang dilepaskan oleh bapa
kepada ibu
ibu tiada bandingan
kata-kata ini diucapkan untuk semua ibu di dunia”

25.8.2001
Akak