Total Pageviews

Monday, July 9, 2012

Hingga Ke Syurga



Hari minggu yang sejuk.

Rahmat Syaaban dan bakal Ramadan.

Setelah beberapa bulan, anak ini kembali berziarah.

“Mahu ceritakan sesuatu. Dan tanya pendapat juga” katanya lewat sistem pesanan ringkas.

Menjenguk di pintu, dia sedikit kaget, “Wah, sudah sedikit kurus!”

Alhamdulillah.

Sesi bercerita bermula. Saya tekun mendengar. Melihat ekspresi wajah dan senyum semanis kurma, memang sahlah dia sedikit-sedikit sudah jatuh cinta.

Oh, ada masalah juga rupanya.

Biasalah. Cinta memang begitu.

Pendapat saya daripada segulung ijazah “pengalaman”.

Satu: perkahwinan bererti kamu perlu mengahwini keluarganya dan kelemahannya. Dia juga perlu berbuat hal yang sama. Perkahwinan bukan hanya perkongsian hati dan diri hingga ke hujung nyawa, tetapi juga hingga ke syurga. Perkahwinan bermakna saling melengkapi kekurangan, memberi dan menerima seadanya.

Dua: ambil waktu untuk bertanya Tuhan. Dia lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Kemahuan-Nya lebih baik daripada apa yang kita dan si dia mahu.

Tiga: jangan takut jika ditolak. Ramai manusia yang ditolak beribu kali tapi masih juga mampu bahagia.

Empat: menjadi isteri atau suami perlu ada seni berjenaka. Tidak mengapa jika tidak begitu budiman atau sehebat maharaja lawak. Menjadi sedikit aneh, adalah keistimewaan yang pasti akan selalu diingat oleh pasangan kita.

Lima: betapa ego atau hebatnya lelaki di mata manusia lain, di dalam tubuhnya terkurung seorang anak kecil yang menolak untuk jadi dewasa. Dia mahu dimanjakan sebagaimana kemanjaan yang diperoleh daripada ibunya.

Enam: sama-sama berusaha untuk mendalami agama. Kalau memang sudah sedia “ustaz” atau “al-hafiz”, itu rezeki terpijak. Tapi kita sendiri tidak sepandai mana, syukurlah jika yang datang itu mahu berusaha mencari agama.

Mudah-mudahan dia mengerti. Menjadi isteri atau suami yang baik sahaja tidak cukup. Mesti juga cerdik!

Hidup bukan perjalanan yang mudah.

Tapi tidak juga terlalu susah.