Total Pageviews

Tuesday, June 26, 2012

Membina "Kota Rom"



Menjadi ketua bukan sahaja perlu tegas, tapi dalam masa yang sama ada rasa belas!

Saya mencatat begitu kepada seorang pensyarah muda. Kecil molek orangnya, berkulit cerah dan kalau memakai baju sekolah, barangkali boleh masuk diam-diam di kelas menengah atas!

Pernah menjadi ketuanya satu waktu dahulu, kerja menjadi amat mudah sebab kerjasama yang diberikan beliau dan kawan-kawannya yang lain. Saya menganggap mereka sebahagian daripada ahli keluarga. Apatah lagi saat itu mereka semuanya masih belum berumahtangga.

Sekarang tidak lagi. Seorang sudah punya anak yang barangkali sudah boleh dihantar ke tadika, tiga sedang dalam proses menanti kelahiran.

Bukan mudah menjadi ketua. Memberi arahan mesti selari dengan pujukan. Lihat juga kekangan-kekangan, jangan sampai arahan itu jadi mandatori. Tekanan yang berlebihan boleh menimbulkan penyakit yang sudah lama sedia bersarang dalam tubuh badan kita.

Kalau anak buah kita sakit, bukankah yang susahnya adalah kita? Kerja bertambah, tenaga berkurang. Itu satu hal. Keluarganya juga susah. Kena bercuti, ulang alik ke hospital. Wang dan masa dikorbankan.

Semuanya sebab mahu mengejar dunia secara mutlak!

Saya teringat kata-kata Abon, yang sempat saya tonton dalam siaran di kaca TV. Dia lama bertugas di DBP, lebih dua puluh satu tahun, yang turut mengasah kemahirannya berbahasa dan bergurindam. Satu waktu dia dihantar berkursus di Jepun dalam pembikinan “puppet” untuk kanak-kanak. Masalahnya apabila pulang ke Malaysia, dia dihantar bertugas di Bahagian Gaji, bermain dengan angka!

Dia tidak gembira. Benar-benar tidak gembira sebab kemahirannya diabaikan. Akhirnya dia berhenti kerja, satu keputusan yang sangat sukar. Cuma untungnya dia sebab dalam masa yang sama dia punya bakat dalam bidang teater dan seni lakon di kaca TV.

“Nasihat saya, kalau tidak gembira, berhentilah. Jangan menyiksa diri!” katanya dalam loghat Jawa meskipun dia bukan orang Jawa.

Kata-katanya itu bermain lama dalam kotak fikir saya sehingga ke hari ini. Tetapi bukan semua orang punya keberanian seperti itu disebabkan hutang piutang yang banyak masih belum terlangsai!

Pensyarah muda itu selalu bicara bahawa dia tidak sekuat saya. Benarkah saya ini manusia yang kuat? Dalam menempuh hidup, sudah beribu kali saya tersungkur. Bersungai juga air mata terhambur. Mata kabur akibat banyak menangis.

Saya tidak sekuat mana pun.

Saya mencatat lagi untuknya, “menjadi kuat bukan terbentuk dalam sehari dua. Seperti membina kota Rom dan ketamadunannya, mengambil masa yang cukup lama. Kalau setiap hari kita melalui jalan yang cantik, lurus, punya susur gajah untuk melindungi hujan dan panas; kita sebenarnya tidak belajar apa-apa. Tapi kalau kita pernah melalui jalan yang berkerikil, berlubang, punya tumbuhan berduri; banyak yang boleh kita pelajari...”

Sementara kita bernyawa ini memang begitulah kehidupan. Hujan panas silih berganti. Sekukuh mana pun Kota Rom, pasti tunduk juga kepada takdir Sang Pencipta!