Total Pageviews

Monday, June 25, 2012

Laman Sosial = Lebuh raya Kecurangan!




Jika waktu merindu, makan tak lalu, tidur pun tak lena; maka demikianlah juga saat putus cinta.

Kasihan!

Itu episod yang mungkin sebilangan besar daripada kita pernah melaluinya. Oleh sebab kita sudah punya sedikit pengalaman dikhianati atau barangkali mengkhianati, penting buat kita menenangkan mereka yang kini sedang berduka nestapa.

Pernah dulu, saat remaja, saya sering menerima poskad dari bapa angkat saya, Datuk Haji Baharuddin Haji Omar (Anjang Aki). Dalam setiap poskadnya pasti tercatat ayat, "menyintai manusia, manusia pasti meninggalkan kita, tapi menyintai Allah, Dia tidak akan meninggalkan kita".

Mungkin, waktu itu beliau memikirkan saya seperti resamnya remaja lain yang kepingin mengintai-ngintai cinta. Itu sebabnya ingatan-ingatan sedemikian diberi, padahal sebetulnya, saya langsung tidak terfikir mahu berpacaran. Tinggal di asrama sekolah perempuan, dengan azam mahu belajar sekuat mungkin demi emak ayah yang miskin, tidak memungkinkan saya bermain-main cinta!

Jika dahulu, putus cinta ada ceritanya, era maya ini mempunyai versi cerita yang sama dengan pendekatan yang lain.

Barangkali marah orang jika saya katakan laman sosial paling banyak menyumbang kepada statistik kecurangan. Ada tunangan yang curang, ada isteri dan suami yang berantakan, ada anak-anak yang ditinggalkan gara-gara mabuk cinta di laman sosial. Laman itu juga menjadi medan perang politik sehingga mencarut-marut, malahan sehingga sampai menggadai akidah dan kehormatan!

Pernah seorang teman menunjukkan kepada saya sebuah laman milik bekas pelajarnya. Pelajarnya itu isteri orang, sudah punya anak dua. Wanita itu dengan bangganya mempamerkan gambar profil dan foto lain dalam album, gambar dia dan kekasihnya berpelukan di atas katil!

Si suami pula menghantar status di dinding laman itu, merayu-rayu agar isterinya pulang ke rumah sebab dia dan anak-anak sangat merindui si isteri!

Nasib baik saya tidak terjatuh dari kerusi. Saya sangat terkejut!

Teman saya itu terlalu sedih. Katanya, "apa yang saya ajar dan nasihat dia waktu menjadi pelajar saya dulu agaknya langsung tidak berkesan. Gagal saya sebagai guru, kak!"

Bukan salah teman saya. Bukan salah ibu mengandung. Bukan!

Ketahanan diri yang rapuh, amat mudah diruntuhkan lagi dengan segala pengaruh yang melekakan. Meskipun ada yang mengatakan laman sosial itu sebenarnya amat baik jika digunakan secara berhemah, berapa ramai daripada penggunanya yang berbuat demikian?

Teringat kata emak, "mak rasa internet tu rosakkan orang, termasuk cucu-cucu mak. Handphone pun sama. Kenapa mesti cipta benda-benda macam tu..."

Emak pasti tidak tahu apa itu internet. Tapi naluri tuanya dapat mengesan banyak impak buruk daripada baik apabila melihat cucu-cucu yang begitu asyik mengadap laptop sehingga melambat-lambatkan solat dan berjaga hingga lewat malam.

Ada sesuatu yang membuatkan saya sangat bersetuju dengan keluhan emak.

Bagaimana cara kita sebagai ibu bapa mahu mengawal "pengembaraan maya" anak-anak kita yang sudah dewasa ini? Kalau mereka masih anak-anak kecil, kita boleh gunakan pelbagai kaedah. Nasihat? Berkesankah?

Ada anak yang mampu mengawal dirinya. Dia tahu laman-laman ini boleh melalaikan. Maka, dia meletakkan pagar yang menyempadani dirinya. Jika ada waktu terluang, dia akan melayari, untuk mengetahui perkembangan semasa. Tapi bagaimana jika ada anak yang sangat obses sehingga merosakkan diri dan hubungannya dengan orang lain?

Nasihat saya kepada anak-anak yang belum berkahwin tetapi dicurangi kekasih atau tunangan, berikanlah peluang kedua untuk memperbaiki ketelanjuran. Tetapi jika peluang sudah diberi, curangnya makin menjadi-jadi; cukuplah sampai di situ. Allah mengasihi kamu. Sesungguhnya Dia amat mengasihani dan mengasihi kamu. Bagaimana kalau kamu sudah punya ikatan nikah yang sah, punya anak kecil, terpaksa mendepani kecurangan isteri atau suami persis bekas pelajar teman saya itu? Keluarga akan pincang, rosaknya menjalar ke dalam masyarakat.

Ayuh, bangun dan pandang ke hadapan. Ramai lagi yang sedang menunggumu!

Apa pun, terpulang kepada diri sendiri mahu hitam atau putihkan laman yang dibina daripada kecanggihan teknologi ini.

Cuma saya mengangkat kedua-dua belah tangan saya tanda setuju jika laman-laman ini diharamkan di negara kita. Tapi dengan syarat untuk menyelamatkan generasi muda dan tua kita daripada "tsunami kecurangan", bukan untuk menyelamatkan penyelewengan mana-mana pihak!

Ada yang menyanggah, dulu tiada internet pun, orang bercerai-berai juga!

Memanglah! Tapi cuba lihat unjuran statistiknya!

Dahulu, jalannya sempit dan berduri. Sekarang sudah ada lebuh raya, beb!