Total Pageviews

Friday, June 22, 2012

Politik Pejabat



"Ada yang kena cantas..." dia mengeluh.

"Masih?" Saya bertanya. Dia diam.

Kalau dulu, masih boleh diterima jika benda-benda semacam itu berlaku. Semuanya masih "hijau", masih panas. Ada orang mahu naik cepat, maka orang lain akan kena cantas. Cara mencantas? Macam-macam!

Seperti mahu mencantas dahan dan daun pokok, ada yang guna parang tajam, gunting atau membunuhnya perlahan-lahan.

Percaya atau tidak, demi mahu cepat naik atau jadi orang kepercayaan bos, sampai ada yang tega menggadai akidah. Pergi berjumpa bomoh, sibuk jampi menjampi.

Pelik! Masyarakat semakin celik agama, beralih kepada perubatan alternatif Islam, ada juga yang mahu berundur ke belakang.

Kalau yang melakukannya itu anggota masyarakat yang tidak berpelajaran, kita tidak hairan. Masalahnya, mereka itu berijazah, ada yang sudah menjadi hajah dan haji!

Saya pun pernah terkena tempias politik pejabat ini. Adakah patut saya yang anti bomoh ini dituduh sebagai "bomoh"? Hilang akal betul!

Puncanya, bomoh yang ditemui oleh mereka itu mendakwa begitu. Bomoh tolol, mereka pun ikut bahlul.

"Itu sebab awak sampai mahu terbabas!" Macam itulah mereka bercerita kepada orang. Memanglah mahu terbabas kalau dalam hati penuh dengan rancangan jahat mahu mencantas orang! Walhal, saya dan beberapa orang senior yang mahu dicantas itu bukan ancaman besar mana pun.

Puas tergelak besar kawan-kawan yang kenal peribadi saya, malahan sempat lagi bergurau mahu minta dijampi supaya cepat bertemu jodoh! Bukan marah, tetapi lucu!

Kalau pun mahu cepat naik dan menjadi orang kepercayaan bos, mahu tutup lubang penyelewengan, jangan sampai menganiaya orang lain. Niat untuk mengejar nama, pangkat, wang dan menjadi orang kanan bos, jangan sampai menggadai maruah diri.

Duit gaji yang terhasil daripada perbuatan mencantas itu akan mendarah-daging. Seluruh keturunan terpalit, mahu mencucinya bukan satu kerja mudah.

Hari akhir, saya berjumpa orang itu. Ayat saya mudah saja. Dengan senyum dan cuba bercakap selembut mungkin.

"Saya tak pernah mengganggu kamu. Tapi kamu bersungguh-sungguh mengganggu saya. Saya mengalah. Tetapi pesanan saya, hidup kita bukan hanya di sini. Sebab apa yang ada di sana itu kita belum nampak, kita berani menganiaya orang. Kamu tunggu saja!"

Dia terpinga-pinga, terkejut sebab dia fikir saya tidak tahu guntingnya sudah lama berada di lipatan.

Rupa-rupanya apabila saya berpindah ke dua tempat baharu, nama orang ini disebut-sebut! Mula-mula saya pura-pura tidak kenal, maka terbongkarlah segala rahsia. Ada macam-macam cerita yang tidak boleh saya catatkan di sini.

Ada macam-macam jugalah yang menimpanya selepas kali akhir saya menemuinya itu!

Dia yang mahu "memindahkan" saya dan kawan-kawan senior akhirnya dengan takdir Allah, "dipindahkan" atas sebab-sebab yang sangat memalukan! Ironis!

Rupa-rupanya, orang ini meninggalkan "legasi" juga.

Ada juga yang meneruskan kerja-kerja kotor cantas mencantas ini. Kalau sudah rajin sangat, berhenti sajalah. Beli tanah kebun, tanam pokok cili dan bolehlah cantas mencantas dengan rajinnya. Badan pun sihat sebab berpeluh! Rezeki berkat sebab berbudi kepada tanah.

Apalah sangat mahu dikejar pangkat? Bukankah makin besar pangkat, makin besar juga tanggungjawab?

Di jabatan baharu tempat saya berpindah, rakan-rakan saya agak berbeza. Mereka sangat rajin, dan apa yang saya lihat, jawatan bukanlah sasaran utama. Kalau diberi jawatan pun, nampak riak-riak mahu menolak. Berbeza sungguh! Begitu juga tempat transit saya di sebuah institusi sebelum saya ke jabatan baharu. Rakan-rakan sangat komited dengan kerja, masing-masing sibuk melunaskan tanggungjawab sebagai pendidik, bukannya sibuk mencari bomoh!

Nampaknya, tahniah kepada sebilangan kecil rakan yang masih tinggal di "kebun" itu. Saya yakin mereka mampu menghadapinya sebab grup pencantas profesionalnya sudah tiada. Bos pula jenis yang pakai baju kalis peluru.

"Tak apalah. Ada rezeki, burung yang terbang di langit pun boleh hinggap di tangan!"

Mahu kata apa lagi?