Total Pageviews

Sunday, June 10, 2012

Kosong Kosong





Hujung tahun lepas, setelah semua barangan diangkut dengan lori; saya masuk ke rumah yang sudah kosong.

Banglo setingkat di kejiranan yang sunyi itu, kelihatan begitu luas. Tapi di sudut mana pun mata saya tertancap, isinya kosong. Apabila bercakap, ada gema yang sedikit berekor di hujung.

Saya bersila di tengah ruang. Menangis di dalam hati. Memandang ke sana ke sini, yang ada hanya kosong dan kosong!

Ya, barangkali rasa kosong seperti itulah yang selalu mendera jika kita diuji dengan kehilangan.

Mungkin ada sesetengah orang akan berkata, "sudah-sudahlah bersedih. Hidup mesti diteruskan. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup ini kena teruskan hidup!"

Ungkapan memujuk yang sangat klise. Kadang-kadang membuatkan kita berasa sedikit jengkel.

Kalau hilang selipar Angry Bird yang harganya RM29.90 itu pun membuatkan kita rasa sedih, inikan pula kalau hilang orang tersayang.

Kosongnya tak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Ya, semua orang pernah hilang insan tersayang. Sama ada ayah atau ibu, adik, abang, suami atau isteri.

"Bersedihlah..." demikian saya menulis untuk seorang teman lama di ruang maya, teman sekuliah waktu sarjana muda, teman yang puluhan tahun tidak bertemu. "Kita berhak untuk berasa sedih. Cuma jangan sampai terlalu leka dengan kesedihan sehinggakan kita lupa berjuang untuk hidup!"

Mana boleh menidakkan rasa sedih dan kosong itu. Dia kehilangan suami, teman sebantal yang bertahun-tahun berkongsi hidup. Kehilangan yang tiba-tiba pasti sahaja meninggalkan bekas yang sangat melukakan.

Apabila ada dalam kalangan kita yang kehilangan, kita sama sekali jangan memudahkan perasaan sedih dan kosong itu. Selalulah berdoa buat mereka agar diberikan Allah dengan gandaan kekuatan mendepani hidup yang pastinya sukar.

"Cuma, jika hati tidak gembira, ingatkan bahawa ada insan lain yang lebih malang. Ila ditinggalkan dengan memori manis, dengan anak-anak yang sudah besar dan boleh diharap, dengan gaji agak lumayan, ada kereta dan rumah..."

Entah dia boleh menerima atau tidak, kata-kata saya itu.

Tetapi sesekali melihat rumput di bumi dengan hidupan yang kecil merangkak-rangkak di celahnya, pasti dapat membantu.

Saya tidak pasti bagaimana kosong dan lompongnya ruang hati Ila. Dia sedang menempuh fasa hidup yang sangat sukar. Meskipun masih boleh bergelak tawa, malahan masih mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan; hatinya pasti penuh dengan banjiran air mata.

Bayangkan, selalunya dia pulang dan kita menunggunya di muka pintu. Selewat mana pun, dia pasti akan pulang ke sisi. Tetapi tiba-tiba, selama mana juga kita menunggu, bayangnya tidak lagi kelihatan. Dia tidak akan pulang lagi. Dia sudah tiada. Maka sebab itulah dia tidak akan muncul lagi di muka pintu rumah kita.

Kehilangan memang akhirnya akan menggagahkan manusia yang ditinggalkan. Tetapi proses untuk menjadi gagah itu memakan masa. Saya pasti Ila juga akan menjadi wanita yang seperti itu.

Saya sangat pasti.

Mengenangkan ruang kosong di banglo setingkat itu, hati berbisik. Mujur ruang kosong itu masih berisi udara!

Seperti hati Ila yang meskipun kosong, tetap diisi dengan rasa tabah!

Hidup adalah perjuangan yang biasanya bermula dari kosong!

Bangkitlah Ila, biarpun mengambil masa yang lama!