Total Pageviews

Monday, June 4, 2012

Biarlah Putih Akhirnya




Jam delapan tiga puluh dua malam. Mesej daripada lelaki tiga puluhan yang berlesung pipit di dagu itu, sedikit menjentik hati.

"Salam. Makyang tolong doakan pada Allah supaya ampunkan dosa-dosa Pakcu yang terlalu banyak pada Allah. Pakcu takut tak sempat Allah ampunkan dosa sebelum menemui-Nya"

Saya cepat membalas, "Kenapa? Adik sakit?"

Tiada balasan apa pun. Saya cemas. Pantas saya mengirim mesej kepada kakak yang setaman dengan adik saya itu.

"Oh, dia OK saja. Nampak dia ke masjid tadi. Kenapa? Makyang mimpi apa-apa?" demikian kakak membalas.

"Tidak," kata saya, "cuma tiba-tiba teringat dia..." saya berbohong!

Ke masjid? Saya mengirim mesej lagi kepada adik.

"Insyaallah. Semua orang ada hitam putih kehidupan. Tidak terkecuali siapa pun. Biar kita hitam di awal, asalkan putih di akhir"

Juga tiada jawapan apa pun.

Saya punya dua adik. Kedua-duanya lelaki. Kedua-duanya saya sayang. Tapi yang ini agak istimewa di hati saya. Dia berkongsi keyakinan perjuangan yang sama. Kami selesa bercerita apa sahaja. Meskipun dia bekas komando yang sangat lasak, tapi nyata kelasakan itu gagal menyembunyikan kemanjaannya sebagai anak bongsu.

Waktu di Kuala Lumpur, kedua-duanya sempat tinggal bersama saya. Turut membantu saya menjaga anak-anak saya yang sudah tidak punya bapa pada waktu itu. Sama-sama makan ikan kering dan mee segera kalau poket kami kekeringan menanti gaji.

Zaman remajanya, dia nakal. Pelajar pintar tetapi kenakalan dan sedikit malas menyebabkan dia hanya mampu memperoleh pangkat 2 dalam SPM.

Saat ayah mahu mengucapkan pamit kepada kefanaan dunia, adik sempat bertemu dan berbual dengan ayah yang sudah terlantar. Ayah menangis waktu adik mencium dahinya. Kami sangat mengerti mengapa ayah menangis. Dia anak manja ayah. Tapi dia juga anak yang nakal. Solatnya selalu hilang di sebalik aktiviti-aktiviti tidak berfaedah.

Melihatkan begitu, saya yakinkan ayah, "yakinlah, satu hari nanti adik akan jadi anak ayah yang paling soleh antara kesemua anak ayah..." Saya paling yakin dengan apa yang saya katakan. Saya selalu mengulanginya sekerap mungkin.

Dan hari ini kalaulah ayah masih ada, dialah orang yang paling bahagia!

Memang dia telah banyak berubah. Mengahwini gadis Pasir Mas yang cantik paras dan cantik juga agamanya, yang sabarnya juga seluas lautan; turut membantu.

Doa emak dan ayah, sudah pasti didengar Allah.

Semua kita mahu pengakhiran hidup yang baik. Kalau boleh, biarlah putih dari awal hingga ke akhir. Tetapi kita ini manusia biasa. Kadangkala akal kalah kepada nafsu. Maka bertompok-tompoklah hitam itu mewarnai putih.

Jadi, lebih baik kita hitam di awal tetapi putih di akhir. Daripada kita putih di awal tetapi hitam di akhir. Mohon dijauhkan Allah!

Itu sebab jangan kita galak menghina manusia lain. Barangkali esok lusanya seribu kali lebih baik daripada kita.

Mudah-mudahan Allah menerima permohonan kita. Mengampunkan bukit dosa yang menghitamkan segala yang putih.

Allah menyayangi kita tanpa syarat. Dia memberikan kita kesempatan untuk kembali ke fitrah. Dia memberikan taufik dan hidayah-Nya, memberi kita matahari dan bulan saat kita kegelapan.

Jangan hitamkan lagi apa yang telah putih!