Total Pageviews

Sunday, June 17, 2012

Jatuh Yang Indah





“Bagi saya, anugerah terindah yang diberikan oleh ibu bapa saya ialah kemiskinan yang saya lalui semasa zaman kanak-kanak”

Demikian ucap seorang motivator lelaki berketurunan Tionghua di kaca TV.

Saya sangat bersetuju dan teringat betapa saya pernah katakan kepada emak, “terima kasih atas kemiskinan, sebab ia membantu saya berdegil menghadapi sukarnya hidup!”

Salah satu kegemaran saya ialah menonton rancangan bual bicara atau dokumentari berbahasa mandarin dan tamil.

Meskipun jauh daripada memahami apa yang mereka tuturkan (kadang-kadang tumpang ketawa juga apabila mereka ketawa) saya berterima kasih kepada sarikata yang berada di kaki siaran!

Penting untuk kita memahami budaya fikir orang lain khususnya mereka yang berlainan kaum tetapi berkongsi hidup dengan kita di tanah tercinta ini.

Itu lebih baik daripada kita memandang sinis dan membina kubu prejudis!

Semua kita pernah terjatuh. Kadang-kadang disebabkan tanah yang tidak rata dan berlubang-lubang. Adakalanya sebab tersadung akar menjalar. Mungkin juga sebab asyik memandang gadis jelita atau jejaka tampan yang menyebabkan bukan saja kita terjatuh tetapi hati kita pun turut jatuh.

Pernah juga tumit kasut kita yang tingginya dua inci setengah patah dan kita tersungkur di jalanan. Kita terpaksa menanggung malu. Sakitnya sedikit tetapi malunya yang lebih!

Apabila kita jatuh, kita pasti akan bangun. Sepayah mana pun kita akan berusaha untuk bangun. Tidak ada orang yang jatuh dan tidak mahu bangun kecuali jatuhnya itu membawa maut.

Pernahkah kita menyedari untuk jatuh sangat mudah tetapi untuk bangun dan menguatkan diri menghadapi rasa malu dan luka melecet itu merupakan satu proses yang sukar.

Betapa pun sukar, kita tetap bangun dan menghadapinya dengan berani!

Kemiskinan, kehilangan, kedukaan, kesakitan adalah “jatuhnya” kita. Oleh sebab kita selalu bangun apabila terjatuh di jalanan, maka demikianlah juga kita mesti bangun dengan perlahan-lahan, mengibas-ngibas debu yang melekat di baju, membersihkan luka di tubuh, mempamerkan senyum tanda kita masih berupaya menahan malu, mengutip barangan kita yang bertaburan di tanah, mengenal pasti sebab kita jatuh supaya lain kali kita lebih awas dan terus berjalan menuju ke destinasi.

Ada orang yang jatuh berkali-kali tetapi tetap bangun berkali-kali!

Kemiskinan adalah “jatuh” yang mesti kita lihat dengan mata hati. Payahnya hidup mengajar kita lebih menghargai sebutir nasi.

Saya masih ingat, bagaimana kami pernah makan nasi sejuk dengan air kopi atau air teh
cair. Kadangkala nasi sekepal itu kami gaul dengan garam yang ditumbuk, atau jika beras di kepuk sudah habis, kami makan tengah hari dengan bubur nasi yang cair.

Baju sekolah yang lusuh dengan warna asal yang sudah hilang adalah pengenalan yang mudah untuk meneka tahap kemiskinan hidup kami. Pakaian itu pun hasil belas ihsan orang. Pun kami menyambutnya dengan rasa gembira.

Meskipun nenek moyang sebelah ayah daripada keturunan orang berada, kematian datuk dan nenek serentak di kota Mekah sekitar 1966 itu, meninggalkan anak-anak yang masih kecil, merupakan peluang terbaik untuk yang masih hidup mengaut harta mereka. Ayah hampir maut demi mempertahankan harta untuk dua adik kandungnya, termasuk tiga adik daripada ibu yang berbeza. Seperti dalam filem P. Ramlee atau filem Tamil, mereka yang berhati batu akhirnya membolot semua harta, meninggalkan tapak rumah dan sedikit tanah sawah untuk ayah berenam beradik. Sejak itu juga, ayah kerap sakit. Kata doktor ayah tidak sakit apa-apa, sedangkan malam ayah penuh dengan erangan kesakitan berselang seli dengan zikrullah. Sehinggakan menurut cerita orang kampung, jika beduk di surau berbunyi di luar waktu solat, mereka akan terus menuju ke rumah ayah kerana menyangkakan ayah telah dijemput pergi.

Rumah beratap zink itu masih kekal dalam memori saya. Jika hujan, kami terpaksa berkumpul di satu sudut. Di mana-mana, tirisan hujan menambah gigil kami yang kesejukan.

Kesakitan yang dideritai ayah, adalah “jatuh” yang bertele-tele pula dengan “jatuh” yang lain. Emak terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga. Kakak dan abang hampir putus asa. Wang tidak cukup untuk membeli buku atau membayar yuran peperiksaan. Sabtu dan Ahad kami mengambil upah mengutip cili atau mencabut kacang tanah di kebun yang diusahakan seorang Cina. Kami juga mengutip pinang, membelah, menjemur, mengambil isinya dan dijual kepada peraih. Akhirnya, meskipun cemerlang, abang berhenti sekolah selepas mengambil peperiksaan SRP dan kakak cukup dengan sijil SPM.

Hanya saya seorang yang sangat degil! Orang lain menaiki bas sekolah dari asrama ke sekolah yang jauhnya berbatu-batu di bandar Ipoh itu, saya hitam legam mengharung panas dan hujan berjalan kaki melalui celah-celah banglo mewah milik peniaga Cina. Sampai di asrama, semua orang sudah selesai makan tengah hari, sedangkan saya masih tercungap-cungap meneguk air kosong! Saya tahu wang untuk bayaran tambang itu sudah pasti menyusahkan hati emak yang kurus kering membanting tulang di kampung.

Betapa pun jatuh di lubang yang sangat dalam dan berduri, saya enggan peduli. Saya berjanji pada ayah dan emak bahawa saya mahu keluarga kami keluar daripada kejatuhan itu. Itu sebabnya sehingga saat ini, keluarga adalah keutamaan. Saya tidak malu berkereta jenama murah asalkan dengan kereta itu saya mampu pulang menjenguk emak dengan lebih kerap dan membawa emak ke mana sahaja.

Jangan takut apabila jatuh.

Yang penting ialah kita mesti bangun setelah jatuh.

Kehidupan adalah manifestasi jatuh dan bangun. Kemiskinan masa lalu adalah kekuatan hari ini. Biarpun sehingga kini saya masih jatuh, saya tidak akan mengalah dengan mudah!

Anda juga mesti begitu!