Total Pageviews

Friday, May 25, 2012

Pakej Hidup


Saya membeli sebuah lagi buku tulisan seorang profesor Indonesia. Namanya Prof. Dr. H. M. Amin Syukur. Tajuk buku itu Zikir Penyembuh Kanser.

Sepanjang bercuti ini, ada satu aktiviti yang tidak mampu untuk saya hindari. Lawatan ke toko buku! Sehinggakan sudah puluhan naskah saya beli menjadikan tiada lagi ruang simpanan.

Makanya, buku-buku dan majalah itu saya susun di meja. Daripada ensaiklopedia sampailah ke majalah islami. Juga komik-komik sains dari Korea!

Ada sesuatu yang sangat menarik yang saya baca di bahagian kata pengantar.

Tulisnya, "ketika kita dilahirkan, bersama-sama kita ada pakej yang menemani perjalanan kehidupan kita. Pakej itu terdiri daripada dua hal yang berlawanan. Ada senang ada susah. Ada suka ada duka. Ada tawa ada tangis. Pakej ini akan mengiringi kita sejak lahir hingga saat kita meninggal dunia. Suka atau tidak, kita kena menerimanya..."

Ya, kita kena menerimanya sebagai asam garam kehidupan.

Itu sebabnya Allah mencipta siang dan malam, langit dan bumi, lelaki dan perempuan, juga syurga dan neraka.

Semua yang ada di hadapan muka kita itu, tujuannya supaya kita berfikir dan menyedari kekerdilan kita di sisi-Nya.

Mana ada orang di dunia ini yang hidupnya hanya dipenuhi suka? Bahkan mereka yang tinggal di istana yang berselimutkan kemewahan pun ada saat dukanya. Kita melihat golongan ini terbang ke luar negara seperti balik kampung sahaja. Membeli belah barangan mewah di Harrods seperti membeli sayur di pasar malam.

Tetapi apakah mereka tidak punya masalah? Pasti ada!

Cuma barangkali ada sedikit beda.

Kita selalu bermasalah sebab tidak punya wang. Gaji selalu saja tidak mencukupi. Sedang wang bagi mereka bukanlah satu masalah besar. Mungkin masalah mereka ialah bagaimana mahu membeli kuasa dengan wang, sebab ada kalanya wang tidak laku untuk membeli jiwa insan miskin yang dipenuhi iman.

Hati...bersyukurlah! Tidak kira siang atau malam, gelap atau pun terang. Itulah kehidupan.