Total Pageviews

Tuesday, May 22, 2012

Mesin Yang Bercuti


Sepatutnya hari ini hari ke-10 menjalani rawatan.

Tapi jam sembilan tiga puluh lima pagi ada panggilan. Sewaktu buru-buru keluar dari bilik air, panggilan sudah di hujung. Melihat di skrin, panggilan itu dari hospital. Saya menekan nombor dan bertanyakan kepada operator yang menyambut, panggilan itu dari klinik yang mana satu. Maklumlah hospital itu punya banyak klinik dan saya berurusan dengan tiga buah klinik, dengan doktor yang berbeza pula.

Sudah dapat mengagak tujuan panggilan. Mesin rosak!

"Kalau esok tiada panggilan sehingga jam sepuluh pagi, kak datanglah macam biasa" suara lelaki di hujung talian.

OK. Harap-harap jangan lama mesin itu mogok. Kalau mesin mogok, kuman-kuman gembira ria menyambut hari raya!

Sudah sembilan kali saya terbaring di atas pelantar yang muat-muat badan saya. Petugas dan doktor membetul-betulkan kedudukan badan saya supaya selaras dengan mesin. Setelah selesai menyelaraskan ukuran, lampu dibuka. Petugas dan doktor segera beredar dari situ. Tinggal saya keseorangan mendiamkan diri, kaku tidak bergerak selama masa rawatan yang pendek itu. Kemudian, ada lampu kecil di siling bilik tiba-tiba berwarna merah, seiring dengan bunyi nyaring yang entah keluar dari mana. Bunyi dan lampu itu padam dan berhenti serentak. Kemudian, perlahan-lahan ada peralatan berbentuk bulat bergerak dari arah kiri mesin, melalui dada dan berhenti di sisi kanan. Sekali lagi lampu merah menyala dan bunyi nyaring memenuhi ruang bilik. Saya menjeling dengan ekor mata. Nampak seperti ada dua bahagian dalam mesin itu yang terbuka dan perlahan-lahan tertutup.

Sesi rawatan pun selesai. Saya turun dari pelantar mesin, masuk ke sudut tempat bersalin pakaian dan memakai baju saya semula.


Ada seorang kakak berusia lebih kurang lima puluh tujuh tahun, penghidap kanser tahap empat. Namanya Kayah (kalau di imigresen, pegawainya selalu meleluconkan namanya sebagai "The Rich People). Dia sudah menjalani kimoterapi sebanyak enam kali. Setelah selesai, dia perlu menjalani radioterapi pula. Kukunya jadi hitam, kulit jadi kering.

"Rambut baru nak tumbuh ni," katanya ketawa. Saya ikut ketawa.

"Tak apa, kak. Sukarelawan tu kata nanti rambut kak akan tumbuh cantik semula" Saya memujuk.

"Kalau beruban, cantik ke?"

"Cantiklah. Macam orang putih!" Dia ketawa lagi mendengar usikan saya.

Untuk yang muda-muda, tenaga masih kuat untuk melawan penyakit. Kasihan melihat mereka yang sudah berusia.

Ada sesuatu yang melucukan juga apabila saya bertanya anak, "adik perasan tak penyakit ibu ini bahaya?" Dia mengangguk.

Saya bertanya lagi, "ibu nampak macam orang sakit tak?"

Dia pantas menjawab, "tak!"

Sebab?

"Ibu kan pelik sikit. Suka main-main dengan kehidupan, mahu cuba benda-benda mustahil, semuanya melucukan bagi ibu!"

Aha! Rupa-rupanya saya begitu pada persepsi anak.

Dia menambah, "picit butang lif hospital pun mahu cuba dengan hidung. Nasib baik tak boleh sebab hidung Melayu!"

Oh...