Total Pageviews

Friday, May 11, 2012

Jumaat itu dan ulang tahunmu!




Hari Jumaat 11 Mei 2012.

7.50 pagi genap umur puteri bongsuku dua puluh tahun.

Dulu-dulu dia pernah merungut, mengapa saya lahirkan dia pada tarikh 11 Mei itu. Tak boleh diawal atau dianjak sedikit, demikian dia bertanya saya. Mulanya saya kurang faham. Rupa-rupanya tarikh itu adalah sama dengan tarikh ulang tahun sebuah parti politik. Memang dia anak yang lucu. Tarikh lahir pun boleh jadi bahan lelucon.

Jumaat ini hari ketiga saya menjalani rawatan radioterapi. Mujur anak itu masih cuti semester yang panjang. Jumaat yang sepatutnya meraikan ulang tahunnya, dia pula setia menemani saya ulang alik ke hospital.  Musim hujan lebat lewat petang menyebabkan kesesakan dan melambatkan. Cuaca pijar panas tengah hari pula menyebabkan kepala sakit waktu kami mengejar komuter ke hospital.

Alhamdulillah, saya belum menerima sebarang kesan rawatan seperti loya, perubahan kulit, kepanasan melampau dan sebagainya. Cuma sedikit rasa perit dan kepenatan. Tetapi menjelang pagi, saya cergas semula.

Bahagian kiri tempat difokuskan rawatan itu tidak boleh terkena sabun, deodoran atau bahan lain. Saya yang sudah biasa hidup dengan wangian, memang agak sukar menerima keadaan berbau seperti itu. Puas memujuk diri agar dapat menahan diri menerima keadaan sedemikian sehingga rawatan tamat, barangkali sekitar hujung Mei atau awal Jun.

Tempat rawatannya memang terasing. Lif yang khas membawa ke pusat rawatan itu mengingatkan saya kepada misteri bilik tersembunyi yang selalu saya baca waktu zaman kanak-kanak. Kisah yang selalu ada dalam buku Enid Blyton, Lima penyiasat! Lif itu lambat gerakannya dan panas juga.

Melihat pesakit-pesakit yang datang, ada yang cergas seperti saya, ada juga yang terbaring di katil, tercungap-cungap menahan sakit. Pada hari kedua, apabila melihatkan layanan jururawat dan doktor terhadap seorang pesakit muda yang kelihatan begitu kepayahan, hati saya menangis. Anak saya merungut-rungut kesal.

Namun begitu, layanan petugas dan barangkali doktor pelatih di bilik rawatan dan simulasi sangat baik. Anak-anak muda yang manis wajah dan lembut bicara, begitu sabar merawat.

Perjalanan dengan komuter dan LRT, memberikan saya peluang memikirkan makna hidup. Melihat gerabaknya yang sering bergantian isi, kadang-kadang kosong dan kadang-kadang begitu sesak dengan manusia; saya melihat warna-warni hidup. Saya memerhati gelagat manusia yang begitu rencam.

Untuk anak, selamat ulang tahun! Terima kasih sebab sanggup kelelahan menemani saat duka ibu. Mudah-mudahan Allah melihat baktimu ini, dan mempermudahkan laluanmu di dunia sini dan sana!