Total Pageviews

Friday, May 4, 2012

Haji Secawan


Namanya Haji Sakawi bin Haji Toy. Masyarakat kampung menyebut namanya sebagai Haji Zi Kampung Bukit. Tapi emak memanggilnya Haji Secawan.

Oleh sebab panggilan itu sangat unik, maka ramai orang pun ikut memanggilnya Haji Secawan. Nama Haji Secawan itu lebih popular daripada nama asalnya.

Haji Secawan barangkali berusia sekitar 50-an. Dia bukan berasal dari kampung atau daerah kelahiran saya. Haji Secawan merupakan bekas tentera yang berasal dari Parit, Perak. Perkahwinannya dengan gadis paling cantik di kampung saya membawanya terus bermastautin di kampung. Pak Haji Secawan punya dua anak lelaki. Yang sulung, seingat saya bernama Syamil, seusia puteri sulung saya.

Haji Secawan gemar bergurau. Suaranya juga serak-serak basah. Barangkali kalau dia menukar kerjayanya kepada penyanyi, tentu albumnya laris di pasaran.

Setiap petang, dia akan mengembala kawanan lembunya yang gemuk belaka. Sementara menunggu lembu-lembunya bergerak pulang ke kandang, Haji Secawan akan duduk di meja bulat di halaman rumah emak.

"Mahu kopi?" tanya emak atau abang.

“Boleh! Mai secawan!” demikian dia selalu berteriak berlucu-lucu, meniru aksi iklan TV.

Emak, kakak ipar atau anak saya yang sudah biasa dengan rutin Haji Secawan akan menyediakan seteko kopi pada setiap petang. Haji Secawan hanya minum secawan, bukan bercawan-cawan! Sebab itulah dia digelar Haji Secawan.

Kadang-kadang orang lain yang lalu lalang akan tumpang sekaki minum kopi.

Haji Secawan ringan tulang. Kalau ada kenduri-kendara, dia mudah membantu. Malahan, kenduri akan sunyi kalau dia tidak ada. Masakan gulai kambing air tangan Haji Secawan dikatakan orang memang enak sekali. Saya bukan penggemar masakan kambing, jadi saya kurang pasti sama ada dakwaan orang kampung itu benar atau pun tidak.

“Mahu bawa mak ke sana ke? Jangan lama ya. Susah kami nak makan minum kalau mak tak ada!” Haji Secawan bergurau dengan saya. Maklumlah ada khabar angin bahawa saya akan membawa emak ke Seremban untuk menjaga saya sepanjang rawatan radioterapi selama dua puluh hari itu.

Kalau dia atau yang lain terasa mahu makan sesuatu, mereka akan menyebut dan emak akan sedaya upaya memasak. Air tangan orang tua, mestilah rasanya enak walaupun ringkas. Maka, beramai-ramailah mereka menjamu selera di pelantar simen depan rumah atau di meja bulat di halaman. Itulah nilai kekeluargaan masyarakat desa.

Dia juga rajin mencarikan sireh dan pinang keluang yang lemak rasanya untuk saya. Saya mengamalkan makan bijian habbatus sauda mentah yang dibawa pulang dari kota Mekah. Memakannya begitu sahaja sudah tentu terasa kurang sedap dan payau di tekak. Saya memakannya bersama sireh dan pinang. Kalau saya pulang berehat di kampung, Haji Secawan berusaha mencari berplastik-plastik sireh dan sekarung pinang keluang untuk saya.

Bagi Haji Secawan, dunianya adalah di kampung saya. Orang baik, ke mana pun pergi, orang akan suka. Dia dan emak orang merantau. Persis nasihat Sudirman kepada anak rantau dalam lagunya, “pandai-pandailah membawa diri”. Demikianlah yang dilakukan Haji Secawan.

Melihatkan Haji Secawan, saya pun belajar untuk pandai membawa diri juga. Maklumlah, sebahagian besar usia saya habis di tempat orang.

Entah bila saya akan terus menjadi seluang yang melaut, melawan keinginan yang mendesak-desak mahu menetap ke tanah kelahiran. Tanah asal yang banjaran gunungnya selalu bersembunyi di sebalik kabus pagi. Udara desa yang segar dan manis!