Total Pageviews

Wednesday, April 18, 2012

Lelaki Tua dan Kucing Jalanan





Sudah lama saya mencari lelaki tua itu.

Emak pernah bercerita tentang lelaki ini dan keistimewaannya. Entah bagaimana, hari itu Allah mempertemukan saya dengan dia. Emak menuding ke arah seorang lelaki yang sedang terbongkok-bongkok di hadapan pasar pagi.

"Pak cik, saya minta izin untuk mencatat ya" kata saya sambil mengeluarkan buku nota kecil.

Namanya Mohd Rodhi, berusia sekitar delapan puluh tahun. Isterinya sudah lama meninggal dan dia tinggal bersendirian di Kampung Teluk Batu. Anaknya empat, seorang lelaki dan tiga perempuan. Setiap hari dia akan menanak secupak beras dan merebus sekilo ikan. Makanan tersebut akan disejukkan, digaul dan dimasukkan ke dalam beg plastik.

Seawal jam delapan pagi, lelaki tua itu akan mengayuh basikal usangnya ke pekan Lenggong. Tujuannya hanya satu iaitu memberi makan kucing-kucing jalanan yang terbuang dan merempat di sekitar pekan kecil itu.

"Ada lebih tiga puluh ekor juga di sekitar pekan ini" dia memberitahu.

"Di rumah ada?" tanya saya.

"Ada. Dua ekor memang pak cik bela dalam rumah. Empat lagi hanya duduk di luar" Dia menjawab sambil meletakkan longgokan nasi di atas kertas suratkhabar. Beberapa ekor kucing berwarna kuning emas, belang-belang cicak sedang enak menjamu selera.

"Ini binatang kesayangan nabi..." Saya mendengar dia bersuara.

Saya terkenangkan kisah sahabat nabi, Abu Hurairah.

Saya duduk lama dengan lelaki itu. Orang yang lalu lalang memandang-mandang. Dalam hati berkocak rasa. Masih ada orang semulia ini dalam dunia yang warnanya sudah hitam kelabu ini.

Wajahnya jernih dan nampak muda.

"Pak cik, mesti kucing-kucing ni selalu doakan pak cik sihat!" Dia tersenyum memandang saya.

Memang dia nampak muda. Wajahnya manis.

Balik ke rumah, saya melihat pula sesuatu. Emak sedang menabur nasi di halaman.

"Mahu beri makan burung ciak rumah. Kasihan!" Oh begitu rupanya. Burung-burung kecil itu memang selalu melompat-lompat masuk ke dalam rumah emak, kadang-kadang sampai ke dapur.

Kalau lupa menutup hidangan, memang rezeki burung-burung itulah.

Burung-burung ini, kata emak, berkawan baik dengan kumpulan murai tetapi menjadi musuh pula kepada burung gembala kerbau.

Saya dengar emak meleteri kumpulan burung gembala kerbau yang datang menghalau burung-burung comel itu.

"Mentang-mentanglah saiz awak besar!" leter emak.

Selain gembala kerbau, kucing-kucing yang selalu menumpang di halaman rumah emak juga gemar menghendap-hendap kumpulan burung comel itu.

Tetapi kecil jangan disangka anak. Mereka sangat cekap dan si kucing hanya mampu memandang burung-burung yang sedang "mengetawakannya" dari atas bumbung rumah emak.

Apa yang saya lihat dan alami itu memberitahu saya bahawa rupa-rupanya dunia ini masih punya manusia!