Total Pageviews

Friday, April 6, 2012

Hari Sastera Nasional Ke-15


Saya dihubungi Puan Rosmiaty Shaari mengenai undangan ke Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka. Kak Ros, seorang penulis dan pernah menjadi mentor saya semasa bertugas sebagai editor di Teks Publishing sebaik sahaja saya tamat kertas peperiksaan terakhir untuk ijazah penulisan saya di UM.

Mulanya saya keberatan mahu ikut serta sebab saya cepat letih. Saya berfikir lama. Urus setia memberi jaminan ada bilik penginapan untuk siapa yang menemani saya. Saya menghubungi doktor dan beliau membenarkan dengan pesanan, jaga makan dan minum, juga cukupkan tidur dan wajib ada peneman!

Anak bongsu yang memandu ke Melaka. Dia memang selalu ikut jika ada festival sastera. Kebetulan dia baru sahaja cuti semester. Ramai yang masih cam anak saya tetapi terkejut dengan “tumbesaran”nya. Dia benar-benar menjadi pembantu khususnya untuk mengangkat beg, sekali gus menjadi jururawat saya!

Di ruang parkir, ada yang sibuk mencari sebab sudah melihat nama saya dalam senarai peserta.

Kak Mon dan Abang Aziz, suami isteri daripada sekretariat Gapena sentiasa memastikan saya selesa dan dekat dengan mereka. Terima kasih dan syukur kepada Allah. Mereka yang saya anggap keluarga itu sangat mengambil berat. Mati-mati mereka tidak membenarkan saya dihantar ke penginapan lain.

Malam Khamis 29 Mac, ada tahlil di kediaman Ketua Menteri. Oleh sebab kurang pasti dengan jadual acara dan badan saya yang cepat letih, saya tidak ikut serta.

Esoknya 30 Mac, sebelah pagi merupakan agenda penting untuk seluruh kerabat Gapena. Mesyuarat agung pertubuhan itu untuk kali yang ke-41. Walaupun saya datang atas tiket ahli seumur hidup LEPAS tetapi saya tidak mengundi. Saya hanya berfungsi sebagai pemerhati. Hanya selepas mesyuarat, barulah Ketua 2 LEPAS terkilan tidak meletakkan saya di meja perwakilan menggantikan Datuk Ketua 1 dan isterinya yang terpaksa pulang ke Kuala Kangsar awal pagi Jumaat ekoran kemangkatan anakanda Sultan Perak.

Pensyarah saya saat kuliah di UM dulu dilantik sebagai Ketua 1 Gapena yang baharu. Ada yang memberi komen mengenai ucapan-ucapan di perasmian buka dan tutup, “macam datang ke perhimpunan agung parti xxx...”

Maklumlah, penuh dengan kempen-kempen untuk PRU ke-13!

Peserta kali ini lebih kurang tiga ratus orang termasuk dari Indonesia, Selatan Thailand, Singapura dan Brunei.

Petangnya kami dibawa dengan London Bus untuk ke IPG Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun untuk acara perasmian oleh Ketua Menteri.

Malam, ada aktiviti river cruise menyusuri Sungai Melaka yang pernah saya abadikan dalam sebuah sajak bertajuk “Sungai Melaka” yang disiarkan oleh sebuah akhbar tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi waktu itu sungainya amat kotor dan berbau. Sangat berbeda dengan situasi malam itu.

Selepas itu kami dibawa ke Taman Rempah untuk acara Santai Puisi. Malangnya saya rasa tidak selesa dengan persembahan tarian dan nyanyian yang saya kira merosakkan sedikit “mood” santai puisi itu. Pendeklamasi yang muda-muda pula gemar menjerit-jerit dengan nada yang entah ditiru dari mana.

“Mengapa tidak baca seperti Pak Samad Said saja. Santai dan ada penghayatan. Tidak perlu suara setinggi itu...” saya merungut-rungut. Rupa-rupanya Puan Mahaya Ketua 1 PEN yang sentiasa ada di sisi, sependapat dengan saya.

Wajah anak saya kebosanan kecuali ketika Pak Mahmud Jelani (PENAMA)yang sangat peramah membacakan sajak dengan gelagat lucu! Lucu itu disebabkan matanya yang kabur tidak dapat membaca dalam cahaya suram! Dan juga asyik tersasul!

31 Mac dipenuhi dengan pembentangan kertas kerja sepanjang pagi dan petang. Memang jelas kelihatan “generation gap” dalam majlis yang seperti itu.

Sebelah malam, ada Kenduri Sastera di Umbai. Tetapi saya kelelahan.

1 April sebelah pagi ada pembentangan inter negara. Masa tidak cukup, ramai yang mengangkat tangan untuk memberi saranan, mengeluh hampa.

Hampir jam dua belas, majlis penutup diadakan.

Saya mengesan ucapan-ucapan di majlis itu seperti ada unsur-unsur yang tidak digemari oleh gemulah Usman Awang. Terlalu politikal. Saya pulang dengan tangisan di hati. Saya terkenang-kenang sajak Usman Awang yang selalu tiada batasan kaum; harmonis dan humanis!

Mungkin sebab saya seorang guru, yang selalu pula tidak rasis!

Namun, segunung puji untuk kepimpinan negeri Melaka yang sangat mesra penulis. Akan dibangunkan perkampungan penulis di negeri itu dalam beberapa waktu lagi. Pembangunan fizikalnya seiring dengan pembangunan budaya dan seni. Cuma pendidikan kerohaniannya, saya tidak tahu sama ada turut dibangunkan atau tidak.

Apa pun, berbual-bual dengan Pak Rejab F.I, Pak Ahmad Sarju, Marsli NO, Dr Zurinah Hassan, Puan Mahaya, Jasni Matlani, Ibu Lily dari Indonesia, Bapak Nik Rakib yang saya anggap “saudara jauh” saya dari wilayah nenek moyang saya, Pattani dan penulis yang lain memberikan saya kegembiraan.

Kegembiraan yang berfungsi sebagai penyembuh, meskipun dua hari selepas itu saya hanya mampu terbaring di katil!