Total Pageviews

Tuesday, February 14, 2012

Menegur Diri


"Sudah jadi macam kambing hari ini..." rungut saya sendirian.

Entah kali keberapa saya mundar-mandir di ruang sempit rumah sewaan, memandang sekilas ke meja, pergi ke dapur dan akhirnya ke ruang depan, sambil mendengar-dengar suara lunak DJ IKIMfm membicarakan topik fatwa sambutan Hari Kekasih.

Saya menjenguk ke luar. Di sebalik langsir dengan grafik zirafah dan anaknya itu, saya melihat cuaca panas. Tiada yang berjalan-jalan di luar, kecuali beberapa anak kecil yang mengayuh basikal dengan laju. Barangkali mahu cepat lari dari terik panas matahari petang. Seekor ibu kucing warna cicak sedang mengawasi dua anaknya yang melompat-lompat bermain di celahan rumput-rumput yang telah dimesin. Dua ekor lagi entah di mana. Empat anak sekali gus; dan amat nakal pula! Hebatnya si ibu kucing yang pastinya sangat kepenatan meladeni karenah si anak.



Saya kembali ke meja. Melihat lagi hidangan yang mematikan selera. Sayur rebus, masak asam sayur (bende sahaja) dan sayur goreng campur bilis sedikit. Di tepi meja sudah tersedia deretan suplimen. Ada yang saya beli, ada yang suami beli. Paling tidak tahan ialah mahu minum minyak zaitun produk dari Syria yang suami beli. Juga madu asli yang sangat manis melekit itu.

Sebenarnya tidak perlu makan nasi. Makan suplimen sudah kenyang.

Kawan-kawan Kuala Pilah yang lama tidak berjumpa, terkejut.

"My Dear Laila, what happened to you? Takkan rindu TMS sampai jadi macam ni?" Jerit bekas bos saya. Saya ketawa, tak terkata apa.

"Ibu sudah kurus...tapi cerah sedikit" komen anak angkat saya  makan-makan di gerai. Makanan saya pula hanyalah semangkuk tomyam cendawan kosong. Kalau dulu, dia gemar makan tomyam yang saya masak dan teh tarik pekat. Tetapi sejak beberapa waktu ini, tiada lagi masakan itu, apalagi teh tarik yang terhidang.

Ya. Kita dapat apa yang kita minta, atau paling tepat, apa yang kita rungutkan saban hari. Itu pengajaran bagi saya yang tidak pandai bersyukur dengan apa yang telah diberi-Nya.

Syukur itu bukan hanya pandai diucap di mulut tetapi mesti terus ke hati.

Sebetulnya, rasa syukur kita seperti cuaca yang tidak menentu.

Kadang-kadang kita bersyukur apabila musim hujan bermula. Sejuk. Tidak perlu pasang pendingin hawa atau kipas di nombor maksima. Jimat elektrik. Bunga tak payah disiram. Tapi lama-lama, kita mula merungut-rungut. Kain lambat kering. Mahu pergi ke sana sini, sudah terganggu akibat hujan lebat.Terkepung dan terkurung dek banyaknya curahan air dari langit.

Semuanya sudah jadi serba salah. Hujan salah, panas pun salah.

Makan sayur merungut-rungut. Kena makan suplimen banyak pun bising juga. Bayangkan kalau orang yang tidak punya wang, diuji sakit pula. Mana mahu dicari biaya untuk beli suplimen yang harganya...aduhai?

Teringat kambing-kambing abang sulung saya yang sihat-sihat di kampung sebab makan rumput (kecuali seekor yang masih tidak membesar sebab termakan plastik).

Kambing sihat sebab tak makan rendang daging, nasi Arab, piza domino atau ayam goreng.

Kalau begitu? Contohilah kambing...

Saya pun duduk di meja, membaca doa, mengambil sesudu sayur dan menyuapnya ke mulut.

Syukur, tekak saya masih boleh menelan. Ada orang mahu makan, terpaksa ditebuk lehernya. Ada orang lagi, tidak boleh makan makanan pejal. Kasihan melihat dia terkial-kial menelan. Apa boleh buat, perut lapar. Sedap atau tidak, kena makan juga supaya tidak mati kelaparan.

Tuhan, Engkau memang Maha Penyayang. Engkau selalu dekat, selalu melihat, selalu mengampuni meskipun hamba-Mu masih tak pandai-pandai untuk bersyukur!

Alhamdulillah.