Total Pageviews

Thursday, January 12, 2012

Letih...




Adakalanya benda-benda remeh pun boleh meletakkan diri kita ke tahap berputus asa.

Apatah lagi jika secara tiba-tiba kita terpaksa berhadapan dengan hal-hal yang lebih besar.

Hujung cuti sekolah yang lalu, seorang kawan saya waktu kuliah penulisan di UM dulu telah kehilangan suami. Saya ketinggalan info yang mendukacitakan itu sebab lama tidak menjenguk laman sosial yang penuh dengan ucapan takziah.

Bayangkan saja bagaimana hatinya boleh menerima takdir yang datang tiba-tiba. Mereka sekeluarga sedang bercuti apabila suaminya terkena serangan jantung dan pergi meninggalkan dia yang terpinga-pinga tidak percaya.

Saya beritahu dia, bahawa saya memang tidak memahami perasaannya sebab saya tidak pernah mengalami pengalaman sedemikian hiba. Tetapi saya memberi jaminan untuk meminjamkan telinga mendengar rintih hatinya.

Dia pasti rasa letih dibayangi kenangan.

Dia juga pasti rasa letih tatkala membayangkan beratnya tanggungjawab terhadap anak-anak yang tidak berbapa. Mujur anak-anaknya sudah remaja.

Seperti melambung duit syiling, kita tidak tahu nasib kita kelak.

Itu antara beberapa perkara yang turut meletihkan beberapa hari ini.

Kadang-kadang ada kata-kata yang berjaya menaikkan semangat untuk kita meneruskan agenda hidup.

Tapi tiba-tiba saja, hal-hal kecil berjaya menyentuh hati kita dan meruntuhkan kembali gunungan semangat itu.

Seperti keadaan air laut yang pasang surut.

Kadang-kadang juga kita cenderung berada pada tempat dan waktu yang salah.

Berasa letih apabila pagi-pagi ke sebuah pusat perubatan yang agak jauh, sudah mendaftar, lama kemudian baru diberitahu, doktor yang mahu ditemui hanya ada pada hari lain. Untuk orang yang sudah pernah berputus asa dengan khidmat hospital kerajaan, letihnya berganda!

Saat berasa letih, cepat-cepat bacakan doa ini berulang-ulang pagi dan petang, siang dan malam...

"Sesungguhnya kita semua dari Allah dan kepada-Nyalah kita kembali. Ya Allah, berilah ganjaran pada musibahku ini dan gantikanlah bagiku yang lebih baik daripadanya".

Insya Allah, graf keletihan akan menurun...