Total Pageviews

Tuesday, January 3, 2012

Pertarungan Untuk Menang


Tertarik betul dengan barisan kata dalam buku Leo The Africa, "ketika Yang Maha Tinggi melemparkan kamu dengan tangan-Nya yang satu, maka tangan-Nya yang lain akan menangkapmu".

Maksudnya, kita tidak perlu takut. Cuma perlu memahami kehidupan ini dengan baik dan siap sedia hadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Allah itu sangat adil. Dia menurunkan hujan yang menutup pintu rezeki penoreh, tetapi Dia juga yang menumbuhkan benih.

Seorang rakan lama menghadapi masalah sel darah merah. Nampak dia gelisah menghadapi ujian baru itu. Saya menulis, "kita mesti bertarung dan menang. Selebihnya hanya Allah yang tahu".

Kalau kita derita, ada orang lain lebih derita; seperti yang saya tonton dalam filem hebat "The Slumdog Millionaire" di TV petang Isnin lepas.

Ada seorang manusia yang masih hidup, saya jadikan contoh. Kekuatan dalamannya seperti banjaran gunung. Dia dihenyak dengan tsunami tuduhan demi tuduhan, dikhianati ribuan pengkhianatan, dipukul, dikeji saban hari sehingga rongga telinga orang yang berfikir sudah tidak mampu menerima, jasadnya dipenjara, dia cuba dimatikan dalam sejarah; meskipun Allah belum mahu mengambil nyawanya.

Kesakitan? Sudah jadi perkara biasa.

Tapi bagaimana dia? Orang itu masih senyum, masih mampu berdiri dengan gagah yang bersisa. Wajah kacaknya tetap terpelihara. Dia dikagumi sebagai figur pejuang di luar sempadan negaranya. Meskipun ada ramai yang menyintai, tetapi imejnya dihitamkan segelap-gelapnya.

Tapi jangan lupa wahai mereka yang sedang menyiksanya, Allah sedang melihat. Dia sedang melihat.

Kita dan dia mesti bertarung. Bangun daripada kesakitan dan ujian yang merebahkan. Sasarannya ialah menang. Selebihnya hanya Dia yang tahu.