Total Pageviews

Saturday, January 7, 2012

The Kite Runner


Sejak akhir-akhir ini saya ada masalah tidur. Bukan insomnia pun, hanya sedikit masalah tidur.

Saya banyak berfikir.

Kadang-kadang tentang hal anak-anak. Memang semua ibu begitu. Dulu saya pun merantau juga, duduk di tempat orang, saya dewasa oleh pengalaman. Nah, sekarang giliran mereka pula!

Habis berfikir tentang anak, saya teringat hal kerja pula. Patutlah bos dan senior minta saya menyambung cuti. Kata super senior Puan Hajah Rafeah, musuh utama kanser ialah stres!

Mungkin juga Allah mahu saya bangun dan solat malam.

Selesai menjalankan apa yang Allah suruh, saya menelaah buku Ustaz Sharhan Safie yang dihadiahkan Ustazah Mukarramah. Buku Ubat, Doa dan Penyembuhan. Gembira saya kalau dapat hadiah buku. Nasib baik bukunya kecil, mampu tangan saya memegangnya sambil baring.

Oleh sebab malam tadi mata enggan lena, saya menghabiskan novel Dr. Khaleed Hosseini, bertajuk The Kite Runner. Saya melihat catatan kecil saya di halaman kosong bahagian depan yang tertulis tarikh 12/11/2011. Sudah lama saya beli bersama beberapa naskah lain. Hanya yang ini saya belum sempat baca sepenuhnya. Jam tiga pagi, saya selesai membaca novel 340 muka surat ini.


Aneh, saya tidur bermimpikan ceritanya.

Barangkali imbas kembali ceritanya yang berlatarkan Afghanistan sekitar 1970-an, sebelum dan selepas penjarahan Rusia ke atas bumi Afghan, juga kisah Taliban; amat dekat dengan pembacaan saya sekitar tahun-tahun itu. 1970-an, saya di sekolah rendah dan awal menengah.

Novel pertama Khaleed ini juga telah difilemkan.

Wataknya Amir, seorang anak ahli perniagaan yang membesar bersama Hassan, anak orang gaji, Ali. Ayah Amir yang dipanggil Baba juga membesar bersama Ali yang dianggapnya sebagai ahli keluarga sendiri, meskipun mereka berbeza mazhab. Ali daripada keturunan Hazara, berfahaman Syiah yang kuat pegangan agama. Mereka dihina oleh masyarakat sekitar kerana kaum Hazara dianggap kaum yang jelek.

Banyak sekali konflik yang berlaku menyebabkan air mata saya bercucuran. Saya tidak sukakan Amir dan amat simpati kepada Hassan. Setelah kematian Baba, Hasan dan Ali, barulah Amir tahu bahawa Hasan adalah adiknya daripada perbuatan mungkar bapanya dengan isteri Ali.

Saya bermimpi sekumpulan orang menjeritkan ejekan, "Hazara, Hazara..."

Seperti seorang "Kite Runner", kita juga mesti tahu arah angin yang membawa layang-layang dan di mana dia akan jatuh.

Hidup kita pun macam itu juga. Mudah-mudahan layang-layang kita akan jatuh di tanah yang indah dan bukan di perlimbahan!