Total Pageviews

Wednesday, December 21, 2011

Dunia Ini Hanya Rumah Sementara


Ada tetamu datang ziarah. Kami memanggilnya Pak Tam. Nama sebenarnya Haji Nazam. Usianya barangkali sebaya usia bekas pelajar-pelajar saya. Baru 33 tahun, dia sudah berkali-kali ke Mekah. Kerjanya pun memang membawa jemaah menunaikan umrah ke Mekah dan juga mengendalikan pelancongan di sekitar Asia. Dulu emak bekerja dengannya dan sebab itulah emak berpeluang melancong ke luar negara.

Beberapa tahun lepas, saya menghantar emak untuk umrah sepanjang Ramadan, dan sejak itu emak akrab dengan keluarga Pak Tam. Apalagi setelah diketahui mereka mempunyai pertalian darah dengan gemulah ayah.

Dia membawa air yang dibacakan doa-doa untuk saya. 

Pak Tam tidak seperti beberapa penziarah lain yang selalu pula mengaitkan penyakit saya dengan kematian. Saya sudah lali dengan cerita si anu dan si anu telah meninggal sebab penyakit macam sayalah! Saya tidak salahkan mereka sebab mereka orang kampung. Orang-orang yang konon intelek pun macam itulah juga perangainya. Inikan pula orang-orang kampung yang tidak belajar ilmu komunikasi.

Jenuhlah emak menepis cerita mereka dengan kisah yang lebih positif. Melihat emak begitu, saya langsung teringat isi kuliah communication skills yang selalu saya kuliahkan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Hayat di matrix dahulu. Komunikasi yang baik merupakan antibiotik terawal untuk pesakit sembuh.

Sebenarnya saya tidak kisah pun mereka bercakap hal-hal sedemikian. Tapi saya simpati dengan emak. Hati seorang ibu, tuhan sahaja yang mengerti.

Pak Tam menanyakan beberapa soalan. Dia hairan mengapa saya menganggap penyakit yang sedang saya hidapi ini hanya biasa-biasa, ujian kecil Allah, hanya usikan kecil untuk saya.

Melihat dia bersungguh-sungguh, saya pun memberitahu rahsianya!

Saya bercerita, lebih dua puluh tahun lalu saya mengalami kesakitan yang jauh lebih teruk. Fizikal dan mental saya diuji.

Saya bersendirian di tengah kota metropolitan, insan yang berkongsi hidup dengan saya sudah berpergian dengan kekasih genit menawan (junior kami di universiti), gaji saya kecil, tiada kenderaan, tempat kerja yang sangat jauh, punya anak seorang sedang belajar berdiri dan sering sakit-sakitan,dan seorang masih bergelar janin dalam kandungan.

Saya mengalami alahan yang sangat teruk. Dengan tubuh yang lemah itu saya berjalan kaki menghantar anak sulung ke rumah pengasuh dalam dingin dan gelap subuh, terpaksa turun naik tiga buah bas untuk ke tempat kerja. Sedangkan saya melihat dengan penuh luka, si dia mengambil dan menghantar kekasih hati pergi dan pulang ke pejabat setiap hari. Ada satu ketika, selepas musim hujan, mereka bergurauan sehingga tidak menyedari kereta melanggar lopak dan air kotor menyimbah pakaian saya!

Alahan yang teruk itu menyebabkan di tempat kerja, saya memerlukan dinding untuk membantu saya bergerak. Di rumah, saya terpaksa merangkak untuk ke bilik air. Apa sahaja yang masuk ke mulut, akan dimuntahkan semula. Saya sepatutnya perlu dimasukkan ke wad tetapi saya enggan. Persoalannya, jika saya di wad, bagaimana dengan anak sulung saya?

Saya berjuang untuk kelangsungan hidup sehingga bayi saya lahir dengan sihat dan comel. Kewangan yang terhad menyebabkan saya berpindah dari flat tiga bilik ke kawasan setinggan. Malam-malam saya tidak mampu tidur. Orang berhati jahat kadangkala menolak-nolak pintu dan jendela dinding yang reput. Di sisi saya parang dan lampu picit. Saya sentiasa siap siaga mahu menakik kepala sesiapa sahaja yang berniat jahat, meskipun saya tahu kudrat saya tidak akan mampu melawan sekuat itu. Tikus-tikus besar dan serangga merayap di pondok yang usang berlubang itu bila-bila masa boleh mencederakan bayi-bayi saya.

Waktu terluang, saya akan membawa anak-anak kecil saya menaiki teksi atau bas mini ke Masjid Negara, Taman Tasik Perdana atau Balai Seni Lukis Negara. Fizikal saya kurus kering, mental saya kacau. Tapi saya tidak meninggalkan Tuhan.

Sekarang, saya hanya diuji dengan kesakitan fizikal.

Sangat kecil ujian itu berbanding kesakitan masa lalu.

Kemudian saya mengumpul wang membeli kereta kecil buruk Honda Civic first generation yang selalu pula berasap atau mati enjinnya di tengah kesesakan jalan raya di jantung Kuala Lumpur. Kadang-kadang melucukan juga apabila vipernya tercabut dalam hujan lebat. Keadaan ini menyebabkan saya hanya mengikut cahaya lampu kereta depan. Saya kuat mempercayai bahawa Dia yang banyak membantu saya apabila tiba saat-saat sukar seperti itu,menyebabkan saya zero kemalangan.

Kereta kecil itu tiada pendingin hawa, menyebabkan jendela dibuka sedikit mengundang air hujan menyerbu masuk. Anak-anak kecil saya saling berpelukan di tempat duduk belakang. Si kakak memujuk si adik, memeluk kemas dan melindungi si adik dengan kain yang memang sentiasa ada di dalam kereta.

Imej comel bayi-bayi saya berpelukan kerana kedinginan tempias hujan selalu tergambar di mata saya sehingga saat ini. Seorang kecil kurus, wajah bujur, tabah dan bermata sepet; dan seorang lagi berwajah bulat, bertubuh montel dan ceria. Meskipun masa, jarak dan kemelut hidup pernah memisahkan mereka sekejap; saya yakin hati mereka saling berdakapan. Mereka hanya berdua beradik. Walau memiliki personaliti berbeza, mereka sangat akrab.

"Seperti kisah dalam filem, kan?" kata saya ketawa.

Dia tunduk menyembunyi mata yang menakung air. "Patutlah makyang masih boleh ketawa setenang ini..." dia berkata.

Saya katakan, ini realiti hidup. Saya tidak malu berkongsi cerita hidup. Saya kuat kerana Allah telah memberikan saya benteng yang begitu kukuh.

Bukankah Allah tidak akan mengambil tanpa menggantikannya dengan yang lebih baik?

Allah telah menunaikan janji-Nya kepada saya. Dia memberikan saya kekuatan, memberikan saya peluang memperbaiki kesilapan dan menebus dosa-dosa saya. Dia menggantikan apa yang telah hilang dengan nikmat peningkatan pendidikan dan anak-anak baik.

Kerja menghukum bukan tugas kita. 

Allah juga telah menginsafkan saya dengan "usikan-Nya". Kemarahan dan kebencian adalah api dan api itu sifatnya syaitan. Kebencian dan kemarahan yang membekam puluhan tahun seperti gunung berapi pendam itu akhirnya memberikan saya penyakit. Penyudahnya saya sedar, kesilapan saya ialah menyimpan segala rasa sedih, terluka, benci dan marah sendirian, yang setelah dua puluh tahun ini, sifat buruk itu akhirnya memakan diri.

Silapnya saya sebab fasa hidup yang saya lalui itu telah menghilangkan seluruh kepercayaan saya kepada orang lain. Saya mengunci segala kelukaan itu seorang diri. Saya menjadi hipokrit, riang ria di hadapan orang sedangkan hati menangis. Saya berpura-pura menjadi kuat sedangkan di tengah malam, saya berteriak mengadu kepada-Nya. Meskipun masih berbaik-baik, saya mula berharap sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka sebagai lampiasan dendam. Bukankah dendam itu sifat syaitan?

Allah telah menyedarkan saya! Betapa lamanya saya menghabiskan masa dengan merintih, membenci dan penuh amarah. Alangkah ruginya masa yang lama itu. 

Alhamdulillah. Saya sebetulnya sangat beruntung diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman yg orang lain hanya mampu membaca ceritanya di dalam novel atau menontonnya di kaca TV. Saya gembira kerana Allah memilih dan menyedarkan saya sebelum terlambat.

Saya mesti belajar perlahan-lahan untuk memaafkan. Sebab dunia ini hanya rumah sementara.

Hanya sebuah rumah sementara. Kita hanya singgah sekejap di sini.

Pak Tam masih menggeleng-geleng kepala, enggan percaya!

Dan saat mahu pulang, mata lelakinya masih berkaca...