Total Pageviews

Sunday, December 18, 2011

Dan Dia Telah Dipanggil...



Tengah hari itu, anak saudara saya masuk ke rumah. Dia memberitahu saya perlahan, "Mak Yang, Pak Lang Leman meninggal. Tadi kena langgar treler di dataran. Jenazahnya masih ada di situ..."

Saya bertanya semula, bimbang tersalah dengar. Emak ada di dapur,saya dan anak saudara agak serba salah. Bagaimana cara mahu memberitahu emak.

"Mak, ni mahu beritahu. Leman kita, anak Pak Deris kemalangan. Dia baru meninggal tadi..." akhirnya saya yang membuka mulut.

Wajah emak bingung. Kemudian emak bertanya dan bertanya. Emak memaut tangan anak saudara saya. Kemudian emak ke serambi dan bercakap-cakap dengan adik lelaki saya yang baru tiba dari Kuantan dan tertidur kepenatan. Ahli keluarga yang lain sedang berkelah di air terjun hujung kampung.

Pagi tadi, saat sarapan; saya terdengar bualan emak dan anak saudara saya yang berusia 30 tahun.

"Malam tadi Epul mimpi Tokwan balik. Tokwan berikan Epul bungkusan. Kemudian Tokwan senyum dan pergi. Bila Epul buka, ada kupiah putih bersih yang berlipat kemas di dalamnya," saya dengar Saiful bercerita. Saya tidak dengar jawapan opahnya sebab mata saya sangat kantuk, semalaman saya tidak lena.

Mungkin itulah tanda...

Sulaiman, atau Leman seperti yang biasa dipanggil orang adalah sepupu saya. Dia tua beberapa tahun daripada saya. Masa mudanya dihabiskan untuk ke serata dunia sebagai kelasi kapal. Waktu masih sekolah, dia memang dikenali sebagai orang yang kuat semangat Melayunya.

Leman sepupu yang kuat pertalian darah dengan kami. Sebab, ibunya adalah sepupu ayah.Juga sekaligus pernah menjadi adik ipar ayah (arwah kakak ibunya pernah dikahwinkan dengan ayah; selepas meninggal barulah dijodohkan pula dengan emak). Bapanya pula abang kandung emak.

Sehabis merantau, dia pulang ke kampung. Dia berkahwin dan punya anak seorang. Perkahwinannya gagal. Dia beralih kepada agama. Waktu ayah saya masih hidup, dia berguru dengan ayah. Belajar agama dan tajwid.

Sejak ayah tiada, dia akrab dengan abang sulung saya. Dia bercita-cita mahu menjadi imam masjid. Dia menjadi ahli surau. Selesai berniaga roti canai di pekan, dia tekun belajar agama. Pengalamannya hidup di rantau, menjadi guru paling berkesan. Dia ikut serta dalam gerakan Islam di daerah kelahiran kami.

Semalam, ada kenduri sepupu saya yang berjiran pula dengan rumah arwah Leman. Oleh sebab itu, Leman belum berkesempatan menjenguk saya. Dia mahu menziarahi saya hari ini sepulangnya dari pekan untuk belajar agama.

Rupa-rupanya saya yang akan dibawa menziarahi jenazahnya kerana dia yang terlebih dahulu dipanggil pulang.

Di raga motosikal yang ditungganginya ada dijumpai senaskah al-Quran. Subuh sebelum kemalangan, dia mengimami solat dan mengajar kesemua anak-anak saudaranya mengaji.Kata orang, dia meninggal di tempat kejadian sebelum dibawa ambulans ke Hospital Gerik. Jubah yang dipakainya berlumuran darah.

Rezekinya baik. Proses pengebumiannya lancar dan cepat.

Jenazahnya tidak menunggu lama. Sebelum Asar kemalangan, dibedah siasat di hospital yang agak jauh dan usai Maghrib, sudah disimpan. Ramai sekali orang yang menyembahyangi jenazahnya. Jemaah dari Markas PAS Banggol Belimbing memenuhi ruang solat. Majlis tahlilnya juga begitu, jemaah melimpah hingga ke luar rumah.

Kebetulan pula, abang sulung dan adik lelaki saya ada di kampung. Abang menggali kubur dan adik menguruskan hal-hal lain. Allah memberi peluang kepada dua orang yang akrab dengan allahyarham berbakti pada saat-saat dia paling memerlukan.

Malam ini Leman sendirian di liang lahadnya. Meninggalkan kenangan dan kejutan. Tapi dia pergi dengan kisah-kisah baik, yang sedikit sebanyak mampu mengubati pilu sedih hati kami yang ditinggalkan.

Begitulah kehidupan. Giliran kita entah bila. Kita warga akhirat. Dunia ini hanyalah rumah sementara.

Kejutan dan kesedihan itu memang menyebabkan luka saya kembali pedih.