Total Pageviews

Thursday, November 3, 2011

Setelah Hujan

Musim ini musim basah.

Hujung 2011 dan barangkali awal 2012,  beberapa buah negeri di utara, timur dan selatan akan mengalami lebihan hujan. Banjir besar dijangka berlaku. Ada ramalan menyebut bahawa kali ini lebih besar banjirnya daripada yang dahulu.

Negara jiran di hujung kepala kita pun sudah lama banjir. Harga beras dunia dijangka meningkat kerana penanaman padi di Thailand yang terganggu akibat banjir.

Musim basah seperti ini bersamaan pula dengan cuti sekolah yang panjang. Ibu bapa memang perlu awas khususnya jika kediaman mereka berdekatan dengan sungai, parit atau pun longkang besar.

Kita tidak mahu musim cuti menjadi musim tragedi.

Sejak kecil, air selalu naik di kampung kami jika musim itu musim hujan. Rumah di sisi sungai menyebabkan air teh susu dari hulu menerjah masuk ke rumah. Seperti kanak-kanak lain, musim banjir paling seronok. Waktu itu, kami tidak perasan langsung perit dan gusar di wajah kedua-dua orang tua.


Banjir menghanyutkan barangan yang tidak sempat dilarikan ke tempat tinggi. Kampung yang terletak di lembah, dikepung pula dengan aliran air terjun di atas dan sungai kecil di bawah. Kata emak, jika kedua-duanya mengganas, kami akan terkepung di tengah-tengah.

Jika air surut, banyak ikan akan berlompatan di lopak kecil di halaman.

Cuma sekarang, kasihan emak. Emak bersendirian, dengan kudrat usia tujuh puluh tiga, bagaimana emak mahu menentang serangan alam itu?

Selepas hujan, cuaca alam akan berubah. Akan berubah jugakah cuaca hati?