Total Pageviews

Friday, November 11, 2011

Sebatang Pokok Roselle dan Kenangan


Ada sebatang pokok roselle yang sudah berbuah di pinggir jalan rumah sewaan saya.

Sebatang pokok dengan bunga dan buah  yang berwarna cantik itu selalu mengingatkan saya kepada tanaman roselle yang emak dan ayah tanam di halaman rumah menuju ke anak sungai, tahun-tahun saat saya masih sekolah rendah dahulu.

Rimbunan tanaman dengan buah yang berwarna cantik itu menghiasi sudut halaman rumah memanjang pula ke tebing sungai, hidup dengan subur dan meriah.

Seringkali pula minda kreatif seorang anak kampung membayangkan sedang berada di negara luar yang dilatari rimbunan bunga roselle yang cantik.

Kebetulan pula saat itu kampung masih sesuci gadis pingitan. Udaranya nyaman. Kabus selalu enggan pergi pada waktu pagi. Kabus mengaburkan pandangan, tetapi amat cantik, apalagi kalau saat padi menguning.

Dingin kampung yang masih gadis itu memang amat serasi dengan tanaman roselle.

Emak akan memetik buah roselle itu dan menjerang untuk dijadikan jus. Jus itu pula dimasukkan ke dalam botol-botol dan ditenggelamkan ke dalam kolah.

Kenapa begitu?

Sebabnya zaman itu elektrik belum menjengah kampung kami. Maknanya tiada lampu elektrik, tiada TV dan tiada peti ais.

Enak dan dingin sekali jus yang ditenggelamkan ke dasar kolah. Air dari kolah itu pula air gunung. Sungguh alami. Tiada apa yang tercemar, tiada campuran bahan yang boleh merosakkan sistem tubuh.

Manis masam rasa jus daripada kuntuman bunga roselle adalah manis masam kehidupan.

Biarpun telah lama berlalu, tebing sungai pun sudah ditambak tinggi demi mengelakkan limpahan banjir; saat pulang ke desa, saya masih terbayangkan rimbunan roselle.

Roselle yang memerah selalu menceriakan kami dalam payahnya kehidupan.

Siapa bilang, orang susah tidak pernah hidup gembira?

Sekuntum bunga roselle yang cantik dan jus hasil air tangan emak mampu menjadikan hati kami juga berbunga-bunga.

Sedangkan untuk seorang kaya, rimbunan bunga pelbagai spesis di taman banglo mewah belum tentu mampu menceriakan hati.

Sebatang roselle di pinggir jalan berdepan dengan rumah kecil sewaan saya, setiap pagi sentiasa menerima ucap terima kasih daripada ibu bunga matahari.

Anak melihat saya dengan mata hairan.

Saya beritahu anak, "ini bunga hati, bunga kenangan..."