Total Pageviews

Sunday, November 20, 2011

Dia bulan dan matahari saya


Pagi ini asyik teringatkan emak.

Selalunya kalau menghantar anak balik ke kampus, langsung menjenguk emak sekejap di kampung. Tapi kali ini tidak sempat sebab ada keperluan anak yang mendesak dan perlukan masa.

Sempat menelefon emak, anak saudara yang menjawab.

"Nanti kejap. Opah ada dalam semak..." kata anak saudara berusia sebelas tahun itu dengan nafas seakan orang berlari.

"Emak buat apa?" tanya saya setelah mendengar suara emak di hujung talian.

"Sedang menebas semak di belakang rumah..." jawapan emak mengharukan saya.

Usia tujuh puluh tiga, dengan tubuhnya yang kecil; semangat emak tidak pernah sekecil itu.

Seorang lagi manusia penuh energi yang pernah saya jumpa selain suami.

Emak bukan tidak pernah sakit tetapi semangatnya tidak pernah mahu mengalah dengan penyakit. Akhirnya penyakit apa pun angkat tangan dan berlalu pergi.

Cuma entah mengapa, emak begitu awas dengan ujian yang saya hadapi sekarang ini. Kebimbangan emak selalu ditutup dengan tawa. Saya tahu emak tidak mahu saya pergi dahulu sebelumnya. Tetapi saya juga tahu, kekuatan hati emak mampu mengatasi apa pun yang bakal datang.

Jika boleh, saya mahu pulang ke sisi emak sekerap mungkin. Meskipun jauh, saya tetap mahu pulang. Melihat emak memberikan saya kekuatan. Melihat emak seperti melihat tayangan kehidupan penuh berliku. Sekarang, emak terlalu menjaga hati saya. Makanya saya juga wajib menjaga hati emak.


Saya tahu doa emak khusus untuk saya sentiasa menerawang di angkasa lewat dhuha atau di sepertiga malam. Seperti doa emak untuk kekasihnya yang telah menemui Tuhan sebelas tahun lalu.

Minggu hadapan, usai konvokesyen puteri sulung saya, dengan izin Allah saya pasti pulang ke sisi emak. Meskipun sebentar, saya tetap mahu pulang.

Sebab emak adalah matahari dan bulan saya.

Di mana-mana pun dia ada.

Dalam raut wajah, juga di hati saya.